Sunday, September 25, 2011

A131258, ROZAINI NOR BIN ROSTAMIZI, LJ OI, INI DUNIAKU

LJOI  (INI DUNIAKU)

Kaki ku menjejak semula ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah empat bulan cuti lamanya. Keadaan amat kelam kabut pada awalnya kerana aku sibuk menguruskan pendaftaran subjek untuk semester ketiga ini. Aku juga turut mendaftar untuk subjek pilihan wajib Universiti. Pada awalnya, aku telah memilih subjek Isu-isu Ekonomi sebagai pilihan subjek wajib Universitiku pada semester ini. Namun, fikiranku telah berubah untuk memilih subjek Kemahiran Membuat Keputusan. Hatiku lebih tertarik akan subjek ini disebabkan faktor waktu perkuliahan yang sangat sesuai dengan jadualku. Hal ini demikian kerana, kelas Kemahiran Membuat Keputusan ini diadakan pada waktu pagi dan bukannya waktu petang. Selain itu, antara faktor aku memilih subjek ini juga adalah kerana aku berminat untuk mempelajari bagaimanakah caranya hendak membuat keputusan dengan lebih tepat dan sempurna.
            Hari Selasa bersamaan tanggal 13hb September 2011, tepat jam 8.00 pagi aku sudah berada di dewan Kuliah DK 3B301 bersama sahabatku Adib. Kuliah untuk subjek Kemahiran Membuat Keputusan asalnya selama dua hari dalam seminggu iaitu hari Isnin dan hari Selasa. Namun, aku tidak dapat menghadirkan ke kelas pada hari Isnin kerana belum mendaftar untuk subjek ini ketika itu. Aku bersama sahabatku, Adib masih sempat untuk mendaftar subjek ini pada hari tersebut. Alhamdulilah, rezeki menyebelahi kami kerana masih terdapat ruang kosong untuk aku dan sahabatku sertai subjek Kemahiran Membuat Keputusan pada semester ini.
            Pagi yang segar, sesi perkuliahan telah pun bermula tepat jam 8.00 pagi. Sesi perkuliahan dimulakan dengan suai kenal antara pelajar-pelajar dan juga pensyarah. Pensyarah mengarahkan agar siswa dan siswi melukis gambar masing-masing di atas sehelai kertas dengan menggunakan tangan kiri. Kemudian, pensyarah juga mengarahkan agar ditulis biadota di atas kertas tersebut seperti tempat tinggal, fakulti, dan sebagainya. Setelah selesai melukis dan melengkapkan data-data seperti berikut, pensyarah mengarahkan agar kertas tersebut dikumpulkan dan pensyarah menukar kertas tersebut secara rawak kepada semua siswa dan siswi yang ada di dewan kuliah. Pendapat saya, cara sesi suai kenal ini sangat berkesan dan menarik, kerana ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim sesama rakan, bahkan juga dapat mengenali seseorang dengan lebih mendalam, bak kata pepatah, " tak kenal maka tak cinta."
            Setelah sesi suai kenal, pensyarah telah memulakan perkuliahan dengan menerangkan kepada siswa dan siswi mengenai pengenalan subjek Kemahiran Membuat Keputusan. Pensyarah menerangkan mengenai pengisian kursus sepanjang perkuliahan berlangsung. Antara pemarkahan yang diambil untuk subjek ini adalah dengan menulis " learning journal "di mana ia merupakan tugasan secara individu. Aku telah mempelajari definisi membuat keputusan pada hari ini. Banyak benda baharu yang telah aku pelajari semasa sesi perkuliahan sebentar tadi. Apa yang aku masih ingat, definisi membuat keputusan menurut dua pandangan yang berbeza iaitu pandangan daripada Massie serta Koontz dan Dannel. Persamaan berdasarkan pandangan mereka mengenai definisi membuat keputusan adalah berdasarkan kata kunci pelbagai alternatif. Apa yang aku faham menurut pandangan mereka mengenai definisi membuat keputusan tersebut adalah, kita sebagai manusia mempunyai berbagai pilihan untuk membuat keputusan. Daripada pelbagai pilihan tersebut, kita mestilah pandai untuk mencari pilihan yang paling tepat agar dapat mencapai keputusan yang memuaskan.
            Seterusnya, kami sekelas meneruskan sesi perkuliahan dengan mempelajari situasi untuk membuat keputusan. Seperti yang diterangkan oleh pensyarah, situasi untuk membuat keputusan terbahagi kepada tiga situasi iaitu situasi mudah, sederhana dan rumit. Antara contoh membuat keputusan ketika situasi mudah yang boleh aku kaitkan dengan kehidupan seharian aku ialah ketika hendak membeli belah. Kadang-kadang, sukar untuk aku membuat keputusan ketika hendak membeli barang mandian seperti jenama " Dettol " atau " Shokutbusu ". Namun, jika aku tersalah membuat keputusan sekalipun, ia tidak memberi apa-apa kesan buruk pada diriku kerana kedua-dua tersebut merupakan barangan mandian yang sama kepentingannya. Cuma yang berbeza bagiku ialah bau wangian antara kedua barang mandian tersebut.
            Seterusnya, contoh yang boleh aku kaitkan ketika hendak membuat keputusan dalam situasi sederhana adalah seperti yang berlaku ke atas sahabatku. Beliau terpinga-pinga hendak membuat keputusan samada hendak bekerja secara " part time " sambil belajar ataupun tidak. Tujuan beliau hendak bekerja adalah untuk mencari sedikit wang belanja untuk keperluan beliau. Namun, dalam masa yang sama, beliau berasa bimbang jika beliau bekerja sambil belajar akan menjejaskan pembelajaran beliau. Maka, situasi seperti ini adalah contoh yang paling sesuai jika aku selitkan dengan membuat keputusan dalam situasi sederhana. Akhir sekali, contoh seperti yang diterangkan oleh pensyarah ketika hendak membuat keputusan dalam situasi rumit adalah seperti pelaburan. Adakah wajar jika seseorang hendak melabur di luar Negara? Hal ini demikian kerana, tindakan untuk melabur wang di luar Negara merupakan satu keputusan yang rumit hendak diambil kerana ianya mempunyai risiko yang sangat tinggi.
            Setelah hampir satu jam setengah di dewan kuliah, kini aku mempelajari pula mengenai ciri-ciri ketika hendak membuat keputusan. Dalam sesi perbincangan dengan kumpulan, kumpulan aku telah menyenaraikan beberapa ciri-ciri ketika hendak membuat keputusan supaya boleh mendapat hasil yang memuaskan. Antara ciri-ciri tersebut adalah, berpengetahuan serta berilmu. Dalam membuat sesuatu tindakan, seseorang itu mestilah berpengetahuan serta berilmu mengenai keputusan yang hendak diambil. Contohnya, aku hendak membeli sepasang kasut yang berkualiti. Maka aku mestilah mengetahui serba sedikit mengenai kasut yang hendak dibeli oleh aku agar ia benar-benar memenuhi citarasa aku. Antara ciri lain ketika hendak membuat keputusan seperti yang dibincang oleh kumpulan aku adalah, memenuhi matlamat dan citarasa. Sebagai contoh yang berlaku ke atas diriku pada tahun lepas, di mana aku sukar hendak membuat keputusan samada hendak menyambung pengajian ku di luar Negara, Mesir ataupun di dalam Malaysia sahaja. Harapan ibu dan ayah aku adalah agar aku dapat menyambung pengajian ku di Mesir, bumi Anbiya' tersebut. Aku telah mengikuti kursus Bahasa Arab, menyiapkan passport dan selainnya sebagai persediaan untuk ku melangkah ke bumi Anbiya' tersebut. Namun demikian, setelah aku mendapat tawaran menyambung pengajianku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), aku terus berubah arah untuk mengambil keputusan drastik iaitu menyambung pengajianku di UKM sahaja. Hal ini demikian kerana, aku tahu matlamat dan hala tuju hidupku iaitu aku tidak boleh berjauhan dengan keluargaku, tawaran kos yang ditawarkan di UKM lebih menarik minatku iaitu Pengajian Islam Syariah. Berbanding akan kos yang ditawarkan jika aku menyambung pengajian ku di Mesir iaitu Pengajian Islam, Usuluddin. Jika diikutkan, aku lagi berminat bidang pengajian Syariah berbanding Usuluddin sebagai kos pengajianku. Jadi, tidak salahlah tindakan aku untuk menyambung pengajianku  di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tawaran kos yang aku minat.
            Banyak lagi ciri-ciri yang dikongsikan jika kita hendak membuat pilihan yang tepat. Antaranya adalah merupakan satu proses, pemilihan yang sengaja dan reflektif, memerlukan penelitian dan pengetahuan yang mendalam dan sebagainya. Pemilihan pelbagai alternatif juga merupakan ciri untuk membuat keputusan yang lebih bernas dan tepat. Situasi yang boleh saya kongsikan di sini adalah seperti seseorang yang dilantik untuk menguruskan sesuatu program besar, di mana beliau perlu merangka pelbagai langkah alternatif sebelum mengambil sesuatu keputusan. Dalam pemilihan pelbagai alternatif tersebut, seseorang itu boleh memilih langkah yang paling berkesan sebelum membuat sesuatu keputusan tersebut.
            Jam tepat menunjukkan pukul 10.00 pagi. Sesi perkuliahan minggu pertama bagi subjek Kemahiran mmebuat Keputusan hampir tamat. Banyak benda baharu yang telah aku pelajari hari ini dan ia merupakan ilmu yang sungguh bermakna buat diriku, terutama ketika aku hendak membuat keputusan. Aku akan lebih berhati-hati serta berwaspada sebelum aku membuat keputusan dan aku tidak akan tergesa-gesa menentukan sesuatu perkara itu terutama ketika aku beremosi. Kelas telah pun tamat dan semua telah bersurai pergi ke kelas seterusnya.

No comments:

Post a Comment