Sunday, September 25, 2011

A133740 Nurhidayah Binti Mohd Darunai ~ DILEMA

A133740 Nurhidayah Binti Mohd Darunai ~ DILEMA

            Dilema adalah fenomena yang sering berlaku dalam kehidupan saya. Terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan andai penulisan ini membuat anda jemu untuk membacanya almaklumla saya ini orang sains matematik dan agak lama sudah tidak membuat penulisan yang sebegini panjangnya. Bagaimana untuk memulakan penulisan journal pertama ini juga agak sukar kerana bermacam-macam ayat dan idea yang saya terfikir, sehingga tidak tahu langkah mana yang baik untuk memulakan penulisan ini. Jadi, saya terfikir akan situasi dilema disebabkan saya sering sukar untuk membuat pilihan yang tepat terutamanya perkara yang menentukan masa depan saya dan lebih susah untuk membuat keputusan apabila pilihan yang saya adalah perkara yang saya impikan dan amat saya minati. Kadang-kadang saya membuat keputusan untuk pilih kedua-duanya sekali walau saya terpaksa menanggung risiko di masa hadapan kerana saya takut rugi untuk melepaskan salah satu darinya. Akan tetapi saya perlu yakin dengan diri saya yang saya mampu untuk menangani masalah yang akan datang. Oleh itu, saya telah  mengambil keputusan untuk memilih kursus Kemahiran Membuat Keputusan yang saya harap akan membantu saya membuat keputusan dengan cara yang lebih baik dan bijak walau pada mulanya saya mengalami masalah untuk memilih kursus apa yang perlu didaftarkan dan alhamdulillah setelah masuk minggu kedua perkuliahan saya telah membuat keputusan yang jitu dan yakin untuk mengambil kursus ini. Saya lebih yakin lagi setelah masuk ke kelas Dr. Zamri pada hari Isnin lalu kerana saya suka kaedah atau cara pengajaran Dr. Zamri yang menimbulkan rasa teruja  untuk lebih mendalami perkara-perkara yang berkaitan dengan kemahiran membuat keputusan.

Seperti yang telah dimaklumkan, membuat keputusan adalah satu proses dimana kita mengenalpasti masalah dan kepentingannya kemudian menyelesaikannya manakala keputusan adalah memilih satu alternatif penyelesaian yang terbaik daripada beberapa alternatif berdasarkan kriteria tertentu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan, melalui beberapa langkah pelaksanaan. Tentunya kita hendak mengelak daripada membuat keputusan yang merugikan. Justeru, kita tidak boleh berfikir secara terburu-buru tanpa ada maklumat yang lengkap. Kita perlu menggunakan sumber maklumat yang berasas serta mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk mencari pilihan yang terbaik. Maka kita perlulah bertindak dan berfikir secara rasional, sabar, dan berfikir secara mendalam supaya keputusan yang dibuat itu tepat dan muktamad tanpa sebarang keraguan dan kerugian. Berikutan itu,, Massie(1987) memberikan definisi membuat keputusan adalah tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternatif dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan. Sebagai contoh, saya membuat keputusan untuk mengambil kursus kemahiran membuat keputusan walau saya ada pilihan lain untuk mengambil kursus-kursus lain yang ditawarkan denganharapan saya akan lebih matang dalam membuat keputusan.

 

Setiap orang tidak akan terlepas daripada mengalami pelbagai situasi dan masalah dalam membuat keputusan. Cuma yang membezakan antara setiap individu tersebut adalah bagaimana kaedah dan cara untuk membuat keputusan yang terbaik. Seperti yang dikatakan Dr. Zamri, terdapat tiga situasi dalam membuat keputusan iaitu situasi mudah, sederhana dan rumit. Contoh situasi mudah yang berlaku dalam kehidupan seharian saya adalah seperti kasut apa yang saya perlu pakai untuk aktiviti tersebut teruatama untuk keluar bersuka ria dan bersukan. Saya akan mengambil masa untuk memilih kasut yang sesuai berdasarkan keselamatan dan keselesaan untuk melakukan aktiviti tersebut. Bagi saya, kasutlah yang akan mempengaruhi segala aktiviti seharian saya. Manakala situasi yang kedua iaitu situasi sederhana telah berlaku dalam hidup saya ketika saya mengalami masalah tawaran untuk membuat pilihan sambung belajar. Saya tidak tahu sama ada mahu menerima tawaran ke program prasiswazah atau diploma sebab program diploma yang ditawarkan itu adalah program yang memang saya nantikan dan minat manakala program prasiswazah yang ditawarkan adalah  program yang saya tidak minta dan langsung tidak tahu bidang tersebut. Akhirnya saya hanya menurut keputusan ibu bapa setelah meminta nasihat daripada guru, sahabat dan keluarga untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat prasiswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Statistik. Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya sudah semakin minat bidang yang agak baru untuk saya dan ia menjadi lebih mudah sebab saya suka nombor.

 

Saya mengambil situasi-situasi yang hanya berkaitan dengan diri saya supaya saya lebih faham dan mudah untuk menjelaskan kepada anda. Situasi rumit adalah satu keadaan yang memerlukan proses yang lebih lama untuk membuat keputusan seperti kajian, mendapatkan maklumat dan menganalisis. Selalunya situasi rumit ini berlaku untuk pembangunan Negara. Perkaitannya pada diri saya pula adalah soal masa depan sebagai contoh cita-cita dan impian saya, adakah saya akan terus menjadi ahli statistik atau usahawan muda? Dengan itu saya perlu memikirkan apa yang saya mahu dalam kehidupan ini. Adakah dengan kepuasan bekerja dalam bidang yang diminati atau hanya akan mengikut arus sekali lagi seperti kes untuk sambung belajar dan banyak lagi perkara-perkara yang lebih serius saya perlu fikirkan dan risiko yang saya akan tanggung. Dengan itu, saya cuba untuk mempraktikkan kaedah bayangan mempunyai sekumpulan pembuat keputusan dan kmpulan tersebut terdiri daripada idola saya atau pakar- pakar industri masing-masing. Ramai orang berjaya menggunakan kaedah lama ini hasil daripada buku "Think & Grow Rich" tulisan Napolean Hill.  

 

Dalam kelas Dr. Zamri, saya juga mempelajari dua kategori membuat keputusan iaitu keputusan yang diprogramkan dan tidak diprogramkan. Dr. Zamri kali ini menggunakan kaedah dua hala bukan sehala iaitu dengan meminta para pelajar memberi contoh dan idea apa sahaja yang terlintas dan faham berkenaan keputusan-keputusan tersebut. Pada masa itu, rakan-rakan saya berasa gelisah sebab mereka masih kurang faham apa yang dimaksudkan dan bagaimana untuk membezakan kategori tersebut. Jadi saya cuba untuk memahamkan rakan saya berdasarkan contoh yang telah diberi oleh Dr. Zamri kerana bagi saya tidak salah kita berkongsi ilmu dan Alhamdulillah apa yang saya sampaikan pada rakan saya itu benar. Membuat keputusan yang tidak diprogramkan adalah berlaku dalam sesuatu situasi yang tidak dijangka berlaku sebagai contoh hujan lebat secara tiba-tiba dan menyebabkan banjir kilat di kawasan anda yang selama anda duduk di situ tidak pernah berlaku hal sedemikian. Keputusan yang diprogramkan pula adalah situasi di mana anda telah bersedia seandainya sesuatu berlaku seperti anda membuat jamuan di rumah, anda jangka hanya seramai 50 orang sahaja yang akan hadir dan makanan anda sediakan untuk 60 orang sahaja tetapi pada hari tersebut seramai 100 orang yang hadir. Tetapi anda telah mempunyai pelan ke-dua dimana jika perkara tersebut berlaku apa yang harus anda lakukan dan bagaimana untuk anda memberi mereka juadah untuk dimakan. kategori tersebut dapat dibezakan dengan empat keadaan atau kriteria iaitu risiko, kepastian, kekaburan dan ketidakpastian.

 

Jadi saya rasa sampai di sini dulu penulisan saya untuk entri yang pertama ini. Kita berjumpa lagi di sesi yang seterusnya. Sekian.

"Berfikirlah secara bijak untuk mendapat keputusan yang terbaik.." :)

No comments:

Post a Comment