Assalamualaikum…
Semester baru telah bermula dan semua pelajar mula berpusu-pusu untuk mendaftarkan subjek bagi yang belum cukup matapelajaran ataupun kredit. Aku juga tidak terkecuali untuk mendaftar subjek Universiti. Aku terfikir subjek apa yang sesuai dengan diriku dan subjek mana juga yang tidak bertindih masanya. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri bagi subjek Kemahiran Membuat Keputusan(KMK). Aku rasa subjek ini mungkin sesuai buat diriku mentelah lagi mungkin akan ada teori yang tidak ku ketahui. Tidak semestinya sebelum ini aku tidak pandai membuat keputusan, akan tetapi mungkin tidak berapa tepat atau kurang tepat. Dengan mengambil subjek ini, langkah seterusnya di dalam membuat keputusan akan menjadi lebih tepat dan mengikut landasan yang sebenar. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, ingin aku mendalami subjek ini agar aku jatuh cinta dengan teori-teorinya seterusnya dapat dijadikan panduan hidup di masa akan datang.
Kelas pertama yang bermula pada hari Isnin dan kelas kedua pada hari Selasa. Pada kelas pertama, Dr Zam, iaitu pensyarah KMK itu sendiri telah menerangkan serba sedikit tentang subjek ini. Pada fikiranku, agak menarik juga subjek ini. Mungkin, apabila telah mempelajari subjek ini, minat akan mula bercambah dari hari ke hari.
Terfikir di benak fikiranku adakah subjek ini mampu untuk aku fahami dengan lebih mendalam lagi dengan pelbagai persoalan yang timbul. Di sini, di dalam kuliah KMK, definisi tentang KMK itu telah dihuraikan oleh Dr Zam. Definisi yang diterangkan cuba difahami dan diserap ke akal fikiran. Pada mulanya, agak sukar untuk aku memahami secara jelas, akan tetapi setelah diterangkan oleh Dr. Zam, aku sudah mula faham. Menurut Massie, definisi kemahiran membuat keputusan ialah, tindakan yang diambil secara sedarvdari pelbagai alternative dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan. Yang dimaksudkan dengan pelbagai alternative ialah terbahagi kepada dua; yang pertama ialah 'maximising' dan yang kedua ialah ' satisficing'. Pada mulanya aku memikirkan yang 'maximising' itu adalah sesuatu yang maksimal dan 'satisficing' adalah setakat berpuas hati sahaja. Di sini, Dr Zam telah menerangkan bahawa 'maximising' adalah kita menyemak dahulu(survey), kemudian baru membuat keputusan, manakala 'satisficing' pula ialah apabila kita berjumpa dengan sesuatu, terus diambil. Ini adalah dua pendekatan yang mana tidak aku ketahui istilah tersebut, akan tetapi telah diaplikasikan dalam kehidupan seharianku sebelum ini.
Seperti diriku, aku telah dididik oleh ayahku untuk menjadi seorang yang 'maximising', yang mana kita perlu menyemak dahulu akan harga untuk sesuatu benda sebelum membelinya. Dengan menyemak dahulu mungkin akan mengambil waktu yang lama, akan tetapi akhirnya kelak kita akan berpuas hati tentang sesuatu produk tersebut.
Kadangkala, aku juga boleh menjadi seorang yang ' satisficing', yang mana kadangkala apabila aku pergi ke pasaraya, aku terus mengambil sesuatu produk itu tanpa membandingkan harga dahulu. Kadangkala aku boleh jadi seorang yang 'fickle-minded'. Ini yang menyebabkan aku selalu dimarahi oleh ayah kerana bersikap tidak tetap pendirian. Sekejap benar aku menukar fikiran tanpa memikirkan akan natijahnya pada kemudian hari.
Menurut Koontz& Dannel pula, aktiviti pemilihan dari pelbagai alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan. Aku bersetuju dengan kata-kata sedemikian,kerana padaku melalui pemilihan, kita akan mendapat sesuatu yang lebih baik. Dari situ, perancangan kita akan berjalan dengan baik dan lancar.
Aku juga telah pelajari tentang situasi membuat keputusan. Selama aku hidup, tidak aku ketahui rupanya aku telah membuat keputusan berdasarkan situasi. Situasi yang dipelajari ada tiga. Yang pertama ialah mudah manakala yang kedua pula ialah sederhana dan yang terakhir ialah rumit. Yang pertama dan kedua kebiasaannya berlaku dalam kehidupanku manakala yang ketiga setakat ini belum lagi diaplikasikan.
Dr Zam juga telah meneranglan tentang ciri-ciri membuat keputusan. Tidak aku ketahui bahawa ciri-cirinya ada banyak. Yang difahami ialah ia merupakan satu proses yang mana kita perlu ketahui bahawa pemilihan itu adalah sengaja dan reflektif. Kita perlu tahu akan akibatnya jika sesuatu keputusan itu diambil. Seterusnya menjurus kepada penelitian dan pengetahuan yang mendalam. Di sini, aku terfikir sejenak. Kadangkala, keputusan yang aku buat tidak ada penelitian dan pengetahuan yang mendalam. Mungkin disebabkan itu, kadangkala hasilnya amat tidak memuaskan hatiku. Seperti contoh, apabila aku ingin membeli pencuci muka. Aku boleh dikategorikan sebagai boleh terpedaya dengan iklan-iklan di tv, hasilnya apabila aku mencuba sesuatu produk, ianya tidak bersesuaian dengan kulit mukaku dan akhirnya aku mula merasa kulit mukaku berminyak sedikit dan permukaan muka akan merasa sedikit kelainan. Untuk mencari produk yang sesuai dengan diriku tidak berapa susah tapi akhirnya aku hanaya membazirkan wang dan menjadikan produk-produk yang tidak diguna sebagai perhiasan sahaja. Disebabkan ghairah dengan iklan di televisyen sehingga terpengaruh, aku telah membazirkan wangku pada tempat yang tidak sepatutnya ku bazirkan. Aku juga tahu bahawa Allah telah berfirman di dalam Al-Quran bahawa kita tidak digalakkan membazir kerana membazir adalah kawan kepada syaitan.
Seterusnya, aku mula faham bahawa tidak semua masalah perlu pada penyelesaian yang sama. Setiap masalah akan ada jalan penyelesaian yang berbeza bergantung kepada keadaan dan situasi keadaan. Oleh yang demikian, aku mula faham kenapa ayahku apabila mahu menasihati anak-anaknya, dia memakai pendekatan yang berbeza, kerana setiap daripada anaknya mempunyai karakter yang berbeza. Dapat diterapkan dalam fikiran bahawa, janganlah membuat sesuatu fikiran berdasarkan emosi. Oleh itu, kita mesti berfikiran waras untuk membuat keputusan.
Pada minggu kedua pembelajaran, kami sekelas telah mengambil ujian 'open book' yang mana kita diberi soalan dan jawapan boleh dilihat melalui nota. Masa yang diberikan pada setiap soalan adalah selama 30 saat. Agak cuak juga pada permulaannya, akn tetapi setelah dilihat pada soalannya, sikit sebanyak merupakan daripada definisi dan ciri-ciri membuat keputusan. Kumpulanku hanya mendapat 7/10 sahaja, kerana jawapan yang salah itu kami keliru akan soalannya.
Kami juga diberi penerangan dengan lebih lanjut tentang membuat 'learning journal' dan bagaimana untuk menghantar tugasan tersebut. Agak kelam kabut juga aku. Mungkin banyak yang perlu dibuat akan tetapi jika sudah biasa, akan menganggapnya sebagai mudah. Bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.
Tidak dinafikan bahawa subjek ini agak mencabar mindaku kerana aku tidak berapa biasa dengan penulisan formal yang formatnya ala-ala 'diary'. Akan aku cuba untuk mengasah penulisanku dengan baik untuk penulisan yang seterusnya.
Kesimpulanku pada dua minggu pertama sesi pembelajaran bermula, aku akan cuba untuk mengaplikasikan tentang definisi-definisi yang telah diutarakan dan dibincangkan di dalam kehidupan seharianku. Akan ada banyak lagi pelajaran yang akan datang yang tunggu untuk dipelajari. Sampai di sini sahaja catatanku, berjumpa lagi pada minggu hadapan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment