Saturday, September 24, 2011

A134527 MOHD AMIRUL SHAFIQ BIN SHAFIEE LJ01 KEPUTUSAN?



Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Kenapa saya membuat keputusan untuk menyertai kuliah ini? Saya berpendapat bahawa seseorang itu perlu mempunyai kebolehan untuk membuat keputusan dengan baik terutamanya bagi seorang mahasiswa.
Sebelum saya menyertai kelas ini, saya telah dapat menjangkakan bahawa kelas ini akan memberi pendedahan tentang teknik-teknik dalam membuat keputusan. Tetapi setelah menyertai kelas ini barulah saya sedar bahawa membuat keputusan adalah satu proses yang tidak keterlaluan jika saya katakan agak teknikal. Di dalam jurnal pembelajaran yang pertama ini, saya akan menyentuh tentang perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam dua minggu pertama perkuliahan ini. Terdapat dua definisi tentang membuat keputusan yang dinyatakan dalam kuliah ZZZT 2063 ini. Membuat keputusan ialah tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternatif dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan - Massie (1987). Menurut Koontz & Dannel pula, membuat keputusan ialah aktiviti alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan. Dengan kata mudah, keputusan adalah pilihan yang dibuat daripada pelbagai alternatif manakala pembuatan keputusan pula adalah proses pemilihan alternatif tersebut untuk memyelesaikan sesuatu masalah. 
Sebagai seorang manusia, kita memang tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Terdapat keputusan yang perlu dibuat daripada situasi mudah, situasi sederhana, dan situasi rumit. Saya percaya kita berdepan dengan situasi mudah setiap hari sejak dari kecil. Contohnya situasi memilih makanan untuk makan tengah hari, memilih warna baju untuk hari raya Aildilfitri dan sebagainya. Namun apabila kita meningkat dewasa, kita akan berdepan dengan situasi-situasi yang lebih memerlukan ketilitian dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Satu contoh pembuatan keputusan dalam situasi sederhana ialah membuat pilihan sama ada untuk menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh atau meneruskan pelajaran di sekolah asal. Berbanding situasi mudah, untuk situasi sebegini, penelitian yang lebih amat diperlukan. Hal ini kerana, untuk kedua-dua pilihan ini terdapat kelebihan dan kekurangan yang tertentu. Seseorang berkemungkinan besar untuk menghadapi situasi rumit apabila berada di alam pekerjaan. Senario ini dapat dilihat apabila seseorang individu yang berpangkat lebih besar perlu membuat keputusan yang secara langsung atau tidak langsung melibatkan kehidupan orang lain terutamanya orang bawahannya. Sebagai contoh, keputusan untuk menggubah polisi syarikat.
Di dalam kuliah ini, Dr Ahmad Zamri Mansor telah menyenaraikan beberapa ciri dalam mebuat keputusan. Saya tertarik dengan satu ciri iaitu tiada keputusan yang muktamad dalam menyelesaikan segala jenis masalah. Perkara ini memang ada benarnya kerana setiap perkara di dumia ini boleh dilihat dari pelbagai perspektif. Keputusan yang baik untuk seseorang individu mungkin tidak baik untuk individu yang lain. Sebagai contoh, seorang pengurus yang terpaksa memilih antara dua orang bawahannya untuk kenaikan pangkat. Tidak mustahil disebabkan perkara ini, hubungan antara individu yang tidak dinaikkan pangkat dan pengurus itu akan renggang dan produktiviti individu yang tidak dinaikkan pangkat itu akan turun kerana rasa rendah diri dan hilangnya motivasi akibat kepercayaan dalam diri bahawa dia kurang berkebolehan. Dari perspektif lain pula, mungkin individu yang tidak dinaikkan pangkat itu akan lebih berusaha untuk memajukan dirinya sendiri dan mungkin lebih berjaya daripada orang lain. Justeru, pengurus tersebut perlu membuat keputusan yang palimg rasional. Ciri-ciri yang akan melahirkan keputusan yang baik adalah kecekapan, ketepatan maklumat, analisis yang betul, dan pengalaman. Pengalaman mematangkan manusia. Vernon Sanders Law, yang merupakan bekas pemain besbol pernah berkata, "pengalaman adalah guru yang kejam sebab ia menguji terlebih dahulu, kemudian baru memberi pengajaran". Maka, maanfaatkanlah setiap pengalaman yang kita ada. 
Keputusan dapat dibahagikan kepada dua iaitu keputusan yang diprogramkan dan keputusan yang tidak diprogramkan. Perkataan program membawa pelbagai maksud namun dalam skop ini, maksud perkataan program terarah kepada rancangan yang menentukan langkah-langkah yang akan dijalankan. Maka dapat kita fahami bahawa keputusan yang diprogramkan merujuk kepada keputusan yang dibuat berdasarkan rancangan yang telah ditetapkan terlebih dahulu langkah-langkah yang akan diambil. Keputusan dibuat berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Sebagai contoh, apabila berlaku kebakaran di sesebuah bangunan, keputusan untuk jalan keluar paling cepat dari bangunan tersebut telah ditetapkan dan diberi nama 'Pelan pengosongan bangunan'. Untuk keputusan yang tidak diprogramkan, pembuat keputusan perlu membuat keputusan pengalaman atau jangkaan tersendiri. Keputusan tidak diprogramkan adalah berpunca daripada keadaan yang tidak begitu jelas dan tidak berstruktur. 
Terdapat beberapa keadaan dalam pembuatan keputusan iatu kepastian, risiko, ketidakpastian dan kekaburan. Perbezaan keempat-empat keadaan ini adalah berdasarkan beberapa kriteria iaitu matlamat yang ingin dicapai, alternatif yang ada, dan ketercapaian maklumat. Justeru itu, kita perlulah mempunyai matlamat yang jelas yang ingin dicapai sebelum membuat keputusan.
Berdasarkan apa yang telah dipelajari dalam dua minggu pertama perkuliahan kursus ini, saya percaya saya akan dapat mempelajari lebih banyak perkara baru yang tidak pernah saya pelajari sebelum ini. Mudah-mudahan, apa yang bakal saya pelajari dalam kuliah dapat saya manfaatkan dalam kehidupan saya dan dapat menjadikan saya insan yang lebih baik. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment