Thursday, September 22, 2011

A132343 Noor Adibah Binti Mohd Khair LJ01 Dilema

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini adalah jurnal pembelajaran aku bagi kursus Kemahiran Membuat Keputusan yang pertama. Jurnal ini mengisahkan tentang segala yang telah aku pelajari pada minggu pertama kuliah kami. Pertama sekali aku ingin memohon seribu kemaafan jika penulisan aku ini tidak menarik, maklumlah aku merupakan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi dibawah Pusat Pengajian Sains Matematik. Sudah lama rasanya aku tidak mengarang seperti ini. Pertama sekali apa yang ingin aku katakan disini adalah keputusan yang aku ambil dimana aku telah memilih untuk mengikuti kursus ZZZT2263 Kemahiran Membuat Keputusan yang dikendalikan oleh Dr. Ahmad Zamri bin Mansor atau lebih dikenali sebagai Dr. Zam pada semester pertama tahun dua ini. Kursus ini aku pilih setelah mendengar pendapat rakan-rakan dan senior-senior yang mengatakan bahawa kursus ini sangat membantu mereka dalam membuat keputusan. Walaupun banyak kursus yang ditawarkan, hatiku tetap berkeras untuk memilih kursus Kemahiran Membuat Keputusan ini.
 
            Pada hari pertama aku menghadiri kuliah bagi kursus ini aku dapati tidak ramai pelajar yang menghadirkan diri. Mungkin mereka berpendapat pensyarah tidak akan mengadakan kuliah pada hari pertama. Aku mengambil keputusan untuk mengikuti kursus ini kerana aku merupakan seorang yang sangat susah untuk memutuskan sesuatu perkara dan aku terlalu takutkan risiko-risiko yang bakal aku hadapi jika aku membuat sesuatu keputusan yang salah. Untuk pengetahuan para pembaca aku telah mendaftar kursus ini dan telah mengikuti beberapa kelas pada semester lepas tetapi aku telah membuat keputusan untuk menggugurkan kursus ini kerana aku rasa aku tidak mampu untuk meneruskannya. Seperti anda semua sedia maklum aku merupakan pelajar matematik dan boleh dikatakan semua kursus yang wajib diambil adalah berkaitan dengan matematik. Oleh sebab itu aku merasakan sangat susah untuk aku mengikuti kursus ini pada semester lepas kerana kuliahnya pada waktu petang beterusan selama tiga jam dan sebelum kelas tersebut aku perlu mengikuti banyak kuliah-kuliah matematik. Akan tetapi aku telah mengambil keputusan untuk mendaftar kursus ini pada semester ini meskipun pada semester ini aku wajib mendaftar enam subjek matematik jadi bagi aku, aku sangat memerlukan satu kuliah yang sangat sempoi dan memberi banyak faedah dalam kehidupanku seperti kuliah yang dikendalikan oleh Dr. Zam ini.
 
            Semasa aku menjalani kuliah pada minggu pertama ini, aku sangat teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses membuat keputusan. Membuat keputusan. Membaca dua perkataan itu sangat mudah bukan? Namun dalam membuat keputusan kita terpaksa menanggung setiap kesan daripada apa yang telah kita putuskan kerana kita semua tahu bahawa setiap keputusan yang kita pilih pasti ada sebab dan kesan positif atau negatif tehadap diri kita dan orang sekeliling. Sesampainya aku di dalam kuliah pada hari kedua, Dr. Zam telah menyuruh kami secara individu untuk melukis gambar kami sendiri menggunakan tangan bertentangan dengan tangan yang biasa kita gunakan, menulis fakulti kami, asal, serta keistimewaan kami dan menghantar kepadanya setelah selesai. Kemudian beliau telah memberi kertas pelajar lain kepada diri kami dan menyuruh kami mencari tuan milik kertas tersebut. Ini adalah bertujuan supaya kami lebih mengenali rakan sekuliah kami. Sebelum Dr. menerangkan definisi membuat keputusan, beliau telah mengerahkan kami untuk menyenaraikan konsep atau perkataan yang boleh dikaitkan dengan membuat keputusan. Dr. Zam telah menyuruh beberapa orang pelajar untuk berkongsi apa yang telah mereka senaraikan dan terdapat pelbagai pendapat daripada mereka semua antaranya pilihan dalam membuat keputusan, ketetapan membuat pilihan,mencari maklumat dan lain-lain.
 
            Pada minggu pertama dan kedua kursus ini bersama Dr Ahmad Zamri Mansor telah menerangkan topik pertama iaitu pengenalan kursus antaranya definisi membuat keputusan, situasi membuat keputusan, ciri-ciri membuat keputusan dan kategori membuat keputusan. Dr. Zam telah memberi definisi membuat keputusan mengikut teori Massie (1987) dan teori Koontz & Dannel (1978). Mengikut teori Massie (1987) membuat keputusan adalah tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternatif dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan manakala mengikut teori Koontz & Dannel (1978) membuat keputusan adalah aktiviti pemilihan dari pelbagai alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan. Aku dan rakan-rakan juga telah diarahkan oleh Dr. Zam untuk memikirkan peribahasa yang sesuai yang berkaitan dengan membuat keputusan. Pelbagai peribahasa yang betul telah diberikan oleh semua pelajar antaranya "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna", "Diluah mati mak, ditelan mati bapa", sediakan payung sebelum hujan" dan sebagainya.
 
            Menurut Dr. Zam perbezaan keputusan dan membuat keputusan ialah keputusan bermaksud pilihan yang dibuat daripada beberapa alternatif yang ada manakala membuat keputusan ialah proses mengenalpasti masalah-masalah dan peluang-peluang yang ada kemudian menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa situasi membuat keputusan terdapat tiga jenis iaitu situasi mudah, situasi sederhana, situasi rumit. Situasi mudah adalah dimana kita membuat keputusan yang biasa dan merupakan rutin harian kita seperti "Nak pakai baju apa hari ini?" atau "Nak makan apa hari ini?" dan sebagainya. Situasi sederhana pula ialah dimana situasi jika kita tersalah membuat pilihan ia akan merubah hidup kita dan mempunyai risiko yang agak tinggi sebagai contoh yang diberikan oleh Dr. ialah keputusan kita sama ada ingin bekerja atau ingin menyambung pelajaran. Mengikut pengalamanku, aku pernah melaluinya iaitu apabila aku terpaksa mengisi borang kemasukan ke universiti (UPU) sendiri dan tidak tahu untuk memilih kos yang sesuai dengan diriku sama ada ingin mengambil kejuruteraan atau matematik . Manakala situasi rumit adalah satu proses membuat keputusan yang memerlukan pengetahuan yang tinggi dan pengalaman yang banyak kerana ia mempunyai risiko yang sangat tinggi. Misalnya ingin membuat pelaburan di Afrika Selatan.
 
            Selain itu Dr Ahmad Zamri Mansor juga telah  mengetengahkan ciri-ciri membuat keputusan yang baik kepada kami. Menurut beliau ciri-ciri membuat keputusan adalah merupakan satu proses, pemilihan yang sengaja dan reflektif, mencipta sesuatu ketentuan atau pendapat, memerlukan penelitian dan pengetahuan yang mendalam, pemilihan pelbagai alternatif, jenis keputusan bergantung kepada jenis masalah, tidak ada satu keputusan yang muktamad dalam menyelesaikan segala jenis masalah, pengumpulam maklumat yang tepat dan punca masalah biasanya adalah di luar kawalan si pembuat keputusan serta pentingnya kreativiti. Yang menjadikan keputusan yang diambil adalah yang terbaik adalah seseorang individu itu perlu ada pengalaman yang luas, kecekapan dalam membuat pilihan, ketepatan maklumat yang diperolehi dan akhirnya membuat analisa yang betul mengenai masalah dan pilihan yang perlu kita selesaikan serta yang perlu kita putuskan.
 
            Seterusnya Dr. juga telah menyenaraikan dua kategori keputusan. Pertama adalah keputusan yang diprogramkan (Programmed Decisions) iaitu situasi yang berlaku cukup untuk diaplikasikan di masa hadapan dan dibuat sebagai penyelesaian bagi masalah yang sama berulang-ulang dan yang kedua adalah keputusan yang tidak diprogramkan (Nonprogrammed Decisions) iaitu perkara yang jarang berlaku dan mempunyai kesan yang penting kepada organisasi. Oleh itu, dalam membuat keputusan terdapat 4 elemen penting iaitu kepastian (certainty), risiko (risk), ketidakpastian (uncentainty) dan kekaburan (ambiguity). Kepastian adalah apabila semua maklumat dan suber yang diperlukan sudah sedia ada. Risiko pula mempunyai matlamat yang jelas dan maklumat yang bagus sudah sedia ada namun hasilnya bergantung pada keadaan. Manakala ketidakpastian adalah elemen membuat keputusan dan tahu matlamat yang ingin dicapai tetapi maklumat alternatif penyelesaian dan apa yang berlaku tidak lengkap. Oleh itu pembuat keputusan hendaklah memikirkan pendekatan yang kreatif dalam menyelesaikan masalah dan yang terakhir ialah elemen kekaburan dimana situasi paling sukar untuk membuat keputusan kerana matlamat dan masalah yang tidak jelas, alternatif penyelesaian sukar ditakrifkan dan maklumat tentang masalah tidak wujud.
 
            Akhirnya, aku dengan berbesar hati ingin menyatakan bahawa kursus ini sangat mendatangkan banyak faedah kepada diriku dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan pilihan dan masalah yang memerlukan aku membuat keputusan yang terbaik. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment