Thursday, September 22, 2011

A132948 NOR FARHANA BINTI IDRIS LJ01 FIRST JOURNAL

Salam perkenalan. Nama diberi Nor Farhana Binti Idris. Tempat kelahiran terkenal dengan sate iaitu di Kajang. Lahir pada hari yang indah bersamaan dengan empat hari bulan Sepetember. 'Horoskop' bulan kelahiran adalah Virgo. Selalunya virgo ini dikaitkan dengan menyukai kecantikan, kesempurnaan dan materialistik. Tetapi aku adalah diriku. Tiada kaitan dengan horoskop kerana ia hanyalah satu andaian dari pakar psikologi mengenai tingkah-laku manusia berdasarkan tarikh lahir. Selain itu, apa yang ingin aku kongsikan ialah aku anak yang keempat dari lima orang adik beradik. Keluargaku mempunyai keterunan benih kembar yang kuat. Tetapi, tidak bermaksud aku mempunyai kembar. Cuma kakak sulung aku adalah kembar. Selain itu, kami juga mempunyai sepupu kembar dan adik-beradik keluarga ayahku juga mempunyai kembar serta keluarga sebelah emak juga ada kembar. Jadi, jika aku berkawin nanti, aku mempunyai potensi untuk mendapat anak kembar. Hahahaha. Maka, itulah serba sedikit tentang dirkiku dan asal-usulku.

Kursus kemahiran membuat keputusan merupakan satu kursus yang unik dan menarik. Tanggapan pertama aku mengenai kursus ini adalah penuh dengan perasaan ingin tahu dan mengapakah seseorang itu memerlukan kemahiran dalam membuat keputusan? Bukankah hal ini merupakan satu perkara yang lazim dilakukan dan adakah kita memerlukan kemahiran dalam membuat keputusan. Maka aku telah mendaftar kursus ini sebagai U2 kerana menarik minatku untuk megetahui apakah kemahiran yang akan diketengahkan dan dibincangkan dalam membuat sesuatu keputusan.

            Setelah aku menghadiri dua kuliah pertama kursus ini pada minggu yang pertama, aku mendapati bahawa membuat keputusan sebenarnya satu jalan yang dilakukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut definisi yang diberikan, "tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternatif dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan." – Massie 1987. Manakala menurut Koontz & Dannel (1978) – " aktiviti pemilihan daripada pelbagai alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan."

Pada pendapat aku, membuat keputusan adalah satu tingkah-laku manusia dalam menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Tingkahlaku tersebut merupakan satu langkah yang membolehkan manusia ini terkeluar dan bebas dari kekusutan yang dihadapinya itu. Maka, disebabkan hal sedemikian ia perlu dilakukan secara bijak supaya tidak merugikan apa-apa perkara. Seterusnya, mencapai kehendak atau perkara yang diharapkan itu berlaku.

            Justeru, sebelum keputusan dilakukan kenalpasti permasalahan yang dihadapi terlebih dahulu. Adakah masalah kita itu akan melibatkan perkara yang dapat merubah hidup kita secara drastik ataupun tidak. Jadi, masalah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mudah, sederhana dan rumit.

Contoh perkara yang mudah adalah seperti aku membuat keputusan sama ada mahu keluar atau tidak bersama-sama dengan rakan pergi menonton wayang sedangkan kerjaku masih lagi belum disiapkan. Perkara seperti ini tidak dapat mengubah keseluruhan hidupku yang akan menyebabkan kematian atau kerosakan secara kekal. Cuma hal ini akan meningkatkan atau menurun tahap sosial aku dengan rakan-rakanku. Maka, ia merupakan perkara yang mudah dalam penyelesaian masalah. Tidak memerlukan nasihat daripada yang pakar cuma memerlukan pemikiran yang bijak untuk berfikir atau pengalaman yang lepas sama ada pilihan yang dibuat memberikan kesan yang positif atau negatitif.

            Seterusnya, pemasalah yang sederhana. Contohnya seperti aku telah menerima lamaran daripada seorang jejaka yang dikenali. Tahapnya permasalahannya adalah sederhana. Aku masih lagi tidak mempunyai pengalaman untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segeara. Keputusan tidak boleh terus dilakukan tanpa melakukan perbincangan dan melibatkan diriku dan keluarga. Memberikan kesan kepada mental dan emosi aku juga. Merasakan perasaan seperti gembira, gementar, keliru dan terkejut. Perasaan yang bercampur–baur. Berkemungkinan boleh mengubah haluan hidup aku untuk selamanya. Oleh itu, aku tidak boleh mengambil keputusan secara sambil lewa dan perlu difikirkan secara serius. Tetapi masih lagi belum dianggap terlalu serius kerana tidak menyebabkan kecederaan dan kematian diri dan orang lain atau pun kerugian harta yang bermillion ringgit. Oleh itu, hal ini adalah permasalahn yang sederhana.

Kemudian, contoh bagi permasalahan yang rumit pula adalah seperti ingin melakukan projek pembinaan hospital di pusat kota raya. Melibatkan kerja pembinaan yang mengambil masa yang bertahun serta masalah-masalah sampingan yang lain perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ianya seperti masalah tempat meletakkan kereta dan kesesakan lalu lintas kerana pembinaan hospital di tengah metropolitan. Sokongan dan kejersama daripada pihak kerajaan, pihak kementerian kesihatan, pihak bomba, pihak keselamatan jalan raya diperlukan supaya dapat memenuhi keselesaan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, peruntukan dana untuk pembentukan hospital diperlukan kerana hospital merupakan sektor awam negara. Hal ini merupakan perkara yang rumit dan jika keputusan yang salah dilakukan akan melibatkan kerugian pada banyak pihak.

Terdapat beberapa ciri untuk membuat keputusan. Berdasarkan idea dan pendapat saya, yang pertama dalam membuat keputusan ialah kawalan emosi. Emosi yang terkawal berada dalam keadaan yang tidak terikat dan tenang secara psikologi lebih dapat memberikan keputusan yang baik. Keputusan yang dibuat secara berfikiran panjang- baik dan buruk, tidak terburu-buru serta sabar supaya keputusan yang dibuat itu betul, muktamad dan tidak menimbulkan masalah yang lain serta kerugian yang perlu ditanggung pada masa akan datang.

Selain itu, sikap rasional sangat penting dalam hal ini kerana keputusan yang diambil berdasarkan logik akal, fakta dan juga analisis yang sahih menjadikan keputusan yang dibuat tidak boleh disangkal dan menimbulkan kekeliruan pada orang lain.

Kemudian, yang ketiga berdasarkan kepentingan dan keperluan yang utama. Keadaan ini menyebabkan kita kurang menanggung risiko yang sedia ada. Contohnya, sama ada ingin menggunakan kad kredit atau tidak. Jika kad kredit memudahkan kita untuk berbelanja dan lebih terjamin keselamatannya, maka kad kredit akan digunakan. Sebaliknya, jika kita ingin berjimat cermat, kad kredit tidak diperlukan. Penambahan jumlah hutang akan bertambah disebabkan caj perkhidmatan.

Seterusnya, tidak berat sebelah dalam membuat keputusan. Biarlah dibuat secara adil dan saksama supaya tiada pihak yang tidak berpuas hati. Seperti dalil Allah, " Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kalian orang-orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap diri kalian sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu masalahnya. Maka janganlah mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kalian memutar balikkan (kat-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan." (QS. An. Nisa : 135) .

Berdasarkan apa yang apa yang saya pelajari di ruang kuliah ZZZT2263, membuat keputusan merupakan satu proses. Melihat pada kesemua pilihan yang ada, memilih antara pilihan tersebut, penuhi kriteria yang diperlukan dan selepas itu barulah keputusan dilakukan. Pemilihan secara sengaja iaitu bukan dipaksa atau terikat dengan sesuatu perkara dan merefleksikan keinginan yang diharapkan daripada keputusan yang dilakukan. Malah, penelitian, pengetahuan dan pengalaman yang mendalam diperlukan supaya keputusan yang diambil tepat. Seterusnya, pembuat keputusan digalakkan penciptaan sebarang pendapat dan ketentuan berdasarkan jenis masalah yang dihadapi dan cara penyelesaian masalah tersebut. Hal ini adalah kerana tiada satu keputusan yang muktamad yang dapat menyelesaikan semua masalah. Memerlukan pengumpulan maklumat lengkap dan tepat sebelum keputusan diputuskan. Selain itu, masalah merupakan satu perkara yang tidak diingini dan tidak dapat dijangka. Oleh itu, dalam penyelesaiannya memerlukan si pembuat keputusan menggunakan kretiviti yang ada pada mereka.

Selain itu, keputusan yang diambil boleh terbahagi kepada dua. Yang pertama keputusan yang telah ditetapkan atau diprogramkan dan yang kedua keputusan yang perlu dilakukan tanpa apa-apa tetapan atau tidak diprogramkan. Contoh bagi keputusan yang ditetapkan ialah seperti denda RM 50 untuk kesalahan tidak memakai topi keledar di sekitar kawasan universiti. Bagi yang tiada diprogramkan contohnya adalah seperti kecurian berlaku di rumah dan perompak mengugut untuk mendapatkan wang dan sama ada wang atau nyawa, maka keputusan perlu dibuat berdasarkan kebijaksanaan. Perbezaan antara kedua jenis keputusan ini ialah kepastian, risiko, ketidakpastiaan dan kekaburan. Maka, rakan-rakan ini sahaja yang dapat saya kongsikan. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment