Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan buat semua. Alhamdulillah ini merupakan penulisan jurnal saya yang pertama bagi minggu pembelajaran yang kedua di dalam kursus Kemahiran Membuat Keputusan (ZZT2263) ini. Pada hari isnin iaitu hari pertama minggu kedua kuliah bersamaan dengan 19 September 2011 yang lepas, saya telah menghadiri kuliah yang pertama untuk kursus ini. Kuliah pada kali ini kami membincangkan serba sedikit mengenai definisi keputusan, situasi membuat keputusan, ciri-ciri membuat keputusan dan sebagainya yang berkaitan.
Sebelum itu saya akan menerangkan serba sedikit tentang pemahaman saya mengenai definisi membuat keputusan. Bagi saya,proses membuat keputusan merupakan proses yang paling penting untuk kesempurnaan dalam bidang pengurusan seharian kita. Proses membuat keputusan bukan hanya wujud dalam bidang pengurusan tetapi juga dihadapi oleh setiap individu, baik keputusan tentang diri sendiri, keluarga, soal cinta, kewangan iaitu sama ada di rumah mahupun di tempat kerja. Kadang-kala kehidupan kita terdapat beribu-ribu keputusan yang perlu kita lakukan, baik kecil mahupun yang besar. Terdapat tiga jenis situasi dalam membuat keputusan iaitu situasi mudah, situasi sederhana dan situasi rumit. Dalam kehidupan seharian kita, mungkin kita sering menghadapi situasi mudah iaitu sebagai contoh saya sentiasa menghadapi masalah dalam membuat keputusan sama ada ingin memakai baju apa ke kelas pada hari tersebut. Bagi saya, apabila seseorang itu ingin mebuat sesuatu keputusan, dia hendaklah mempunyai kemahiran membanding dan membezakan. Kemahiran ini membolehkan seseorang itu meneliti persamaan dan perbezaan antara 2 objek, peristiwa dan sebagainya berdasarkan aspek-aspek tertentu. Sebagai contoh kemahiran membanding dan membezakan adalah seperti contoh diatas dimana saya membandingkan 2 jenis baju, sama ada pergi ke kelas memakai baju kurung atau t-shirt dengan mengikut kesesuaian. Manakala bagi situasi rumit pula, selalunya seseorang individu itu akan berfikir secara lebih kritikal kerana setiap keputusan yang dipilih haruslah sesuatu keputusan yang terbaik. Bagi mendapatkan sesuatu keputusan yang terbaik, seseorang itu juga haruslah mendapatkan sumber yang boleh dipercayai. Situasi rumit ini pernah dialami saya sendiri iaitu ketika saya dilema dalam memilih kos apa yang sesuai untuk saya pohon bagi meneruskan pembelajaran saya di IPTA. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk bertanya kepada saudara dan rakan-rakan saya yang lebih berpengalaman mengenainya. Dan alhamdulillah, sekarang saya sudah menjalani pembelajaran di IPTA dengan kos yang saya mohon. =)
Seterusnya Doktor Zamri ada menghuraikan kepada kami mengenai "Categories of Decisions" yang terbahagi kepada dua iaitu "Programmed Decisions" dan "Nonprogrammed Decisions". Serba sedikit yang saya fahami, keputusan yang diprogramkan merupakan sesuatu keputusan yang dibuat berdasarkan kepada masalahnya yang diketahui jelas. Informasi juga telah tersedia secara mencukupi dan ia boleh diolah sehingga keputusan boleh diprogramkan. Bagi keputusan yang tidak boleh diprogramkan pula, ia merupakan masalah yang tidak diketahui secara jelas. Ketika di dalam kuliah, saya ada mengutarakan contoh kepada Doktor Zamri iaitu permasalahan mengenai "Nonprogrammed decisions". Dan melalui pengalaman saya dalam permasalahan ini, adalah seperti dimana saya telah membuat keputusan untuk pergi ke kelas menaiki motorsikal, tetapi disebabkan hujan, saya terpaksa membuat keputusan untuk menaiki bas. Bagi contoh yang telah saya berikan ini, ia menunjukkan bahawa keputusan yang terpaksa kita lakukan dengan tanpa kita jangka dan duga.
Pada hari kedua kuliah bagi minggu yang kedua iaitu hari Selasa, 20 September, Doktor zamri ada menayangkan kepada kami video yang berkaitan dengan "Bias". Bias bermaksud sesuatu keputusan yang kita lakukan adalah berat sebelah.Berdasarkan video yang ditayangkan, ia menceritakan mengenai seorang doktor yang yang terus diambil bekerja tanpa ditemu duga oleh pihak syarikat hanya kerana status nya sebagai doktor. Berdasarkan apa yang saya faham, pihak syarikat berkelakuan "bias" kerana dia terus menerima permohonan doktor tersebut tanpa melihat secara terperinci data doktor tersebut. Bagi saya, bias tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan seharian kita kerana sesuatu keputusan yag kita ambil hendaklah bukan hanya terbaik untuk diri kita, malah untuk kebaikan orang lain juga. Hal ini pernah berlaku pada saya ketika pemilihan jawatan di dalam kelab persatuan Sains dimana orang yang dipilih sebagai Pengerusi adalah berdasarkan paras rupa yang mereka miliki. Ia merupakan hal yang tidak adil kerana kita melantik seseorang tersebut dalam sesuatu jawatan tanpa melihat kebolehan dan kredibaliti seseorang itu.
Akhir kata, saya merasakan keputusan saya dalam mengambil kursus Kemahiran Membuat Keptusan adalah terbaik kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam menyelesaikan masalah dan berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan. Saya juga berharap, saya akan dapat lebih informasi mengenai kemahiran membuat keputusan supaya saya dapat membantu rakan-rakan saya dan ahli keluarga yang mungkin bermasalah dalam membuat sesuatu keputusan. Insyaallah =)
No comments:
Post a Comment