Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang sudi membaca journal saya yang tidak seberapa ini. Setelah sekian lama menghabiskan cuti semester
yang panjang lebih kurang 4 bulan lebih, agak terasa kaku sedikit untuk menuntut ilmu semula seperti menghadiri kuliah, menyiapkan tutorial dan tugasan-tugasan
yang sudah lama saya tinggalkan. Pada minggu pertama khursus ini iaitu ZZZT2263, Kemahiran Membuat Keputusan, saya telah pun terlepas kuliah yang pertama.
Terasa agak rugi sedikit kerana pada kuliah yang pertama itu pensyarah bagi khursus ini, Dr. Zamri telah pun menerangkan serba sedikit mengenai khursus ini dan
mengikut pandangan rakan yang telah menghadirinya mengatakan khursus ini agak menarik untuk disertai.
Namun begitu pada awalnya, satu perkara yang agak mengganggu fikiran saya iaitu mengenai tugasan pertama yang telah pun diberikan oleh Dr. Zamri yang pada kuliah
pertamanya yang merupakan tugasan individu. Tugasannya ialah setiap pelajar perlu menghasilkan jurnal pembelajaran. Hal ini kerana tugasan yang diberikan bukanlah
calang-calang tugasan seperti tugasan yang diberikan oleh khursus-khursus yang saya pernah ambil sebelum ini. Ini lah kali pertama saya menghasilkan jurnal
sepanjang hidup saya. Namun begitu itu bukanlah menjadi penghalang untuk saya untuk tidak melaksanakan tugasan yang sudah diberikan. Pada pandangan saya,
sekurang-kurangnya saya dapat mempelajari sesuatu yang baru dan ini merupakan satu proses pembelajaran yang agak unik yang cuba digunakan oleh Dr. Zamri
berbanding pensyarah-pensyarah lain gunakan.
Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai khursus ini, definisi membuat keputusan itu sendiri perlu kita fahami dengan betul. Apakah itu membuat keputusan?
Pada pandangan peribadi saya, membuat keputusan itu bermaksud memilih salah satu opsyen untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan memikirkan baik dan buruk
sesuatu opsyen tersebut. Tetapi menurut pandangan Massie (1987) membuat keputusan bermaksud tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternatif
dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan manakala menurut Koontz & Dannel (1978) pula bermaksud aktiviti pemilihan dari pelbagai alternatif dan merupakan
nadi dalam perancangan. Situasi membuat keputusan pula dapat dikelaskan kepada 3 bahagian iaitu situasi mudah, situasi sederhana dan situasi sukar. Dalam situasi
yang mudah ini sering kita lakukannya tanpa kita sedari contohnya memikirkan menu untuk makan tengahari, memikirkan apa hendak dilakukan di waktu lenggang dan
pelbagai aktiviti harian kita. Bagi situasi ini tidak mendatangkan kesan yang serius sekiranya keputusan yang dibuat itu salah. Seterusnya, situasi yang
sederhana pula contohnya seperti membuat keputusan untuk memilih tempat untuk melanjutkan pengajian. Hal ini kerana keputusan yang dibuat perlu di teliti dengan
rapi kerana keputusan yang dibuat akan menentukan masa depan. Situasi akhir sekali ialah membuat keputusan dalam situasi yang sukar. Situasi ini agak jarang
berlaku dalam jangka masa yang pendek namun keputusan yang dibuat perlu dilakukan dengan baik contohnya keputusan yang perlu dibuat oleh perdana menteri
sesuatu negara bagi menetapkan belanja negara yang ditadbirnya itu. Hal ini kerana keputusan yang bakal diambil akan memberi kesan kepada banyak pihak.
Dalam semua situasi ini kita perlu membuat keputusan dengan betul agar tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada diri kita sendiri dan orang lain.
Dalam kuliah yang disampaikan oleh Dr. Zamri pada 20/9/2011, saya begitu tertarik dengan satu slot tayangan video yang dipersembahkan. Slot ini dapat
menarik minat dan menghilangkan rasa bosan seperti kuliah-kuliah lain, maklumlah manusia khususnya pelajar akan cepat berasa bosan sekiranya melalui proses
pembelajaran yang sama sepanjang hari. Video yang ditayang berkisarkan seorang wanita yang menggelarkan diri sebagai doktor perubatan ingin memohon pinjaman
kewangan kereta. Pengurus pinjaman itu menjangkakan wanita tersebut kaya dan mempunyai kewangan yang kukuh bagi melangsaikan pinjaman kelak. Oleh itu beliau
terus meluluskan pinjaman yang dimohon tanpa menyelidik terlebih dahulu kewangan wanita tersebut dengan mengharapkan dapat meraih keuntungan dari pinjaman
yang diberikan. Namun wanita yang dikatakan doktor itu hanyalah satu penipuan semata-mata bagi mengaburi mata pengurus pinjaman yang tamakkan keuntungan itu.
Di sini dapat saya katakan, pengurus pinjaman tersebut membuat keputusan yang tidak betul sama sekali. Ini kerana dalam membuat keputusan yang betul seseorang
itu perlu meneliti ketepatan maklumat yang diberikan. Analisa yang teliti juga perlu dilakukan bagi mengenalpasti baik dan buruk yang akan dihadapi selepas
membuat sesuatu keputusan. Bagi pengurus pinjaman yang berpengalaman seharusnya tidak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan seperti ini.
Di akhir kuliah ini, saya mempelajari bagaimana untuk membuat keputusan dengan baik dan setiap perkara mempunyai jalan penyelesaian yang berbeza, hanya kita
perlu memilih cara yang tepat. Akhir kata, selamat membuat keputusan semua!
No comments:
Post a Comment