Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum w.b.t,
Bertemu kita sekali lagi dalam penulisan jurnal KMK minggu yang kedua. Secara peribadinya, ini sememangnya penulisan jurnal saya yang kedua, namun sayangnya untuk blog Jurnal2263, ini adalah 'post' saya yang pertama. Jurnal saya untuk minggu pertama tidak dapat dipaparkan di sini akibat sedikit masalah teknikal. Namun, saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melanjutkan penulisan jurnal KMK saya yang kedua. Saya mulakan penulisan jurnal kedua ini dengan meletakkan gambar seorang tokoh barat yang bernama Herbert Simon. Sebaik sahaja anda melihat gambar yang tertera di atas, adakah anda dapat mengenalinya sebagai Herbert Simon? Ya! Herbert Simon adalah watak utama dalam penulisan jurnal KMK saya pada kali ini. Beliau adalah seorang tokoh pemikir untuk teori membuat keputusan dan pernah dianugerahkan Anugerah Nobel pada tahun 1978 atas pemikirannya dan teorinya tentang 'decision making'. Hebat bukan?Pasti anda mahukan penerangan lanjut tentang beliau. Untuk itu, teruslah mengikuti penulisan jurnal saya ini..
Baiklah, kita teruskan langsung kepada ulasan kuliah untuk minggu kedua bagi subjek KMK ZZZT2263. Seperti biasa, kuliah pada hari Isnin 26 September 2011 berlangsung dengan penuh harmoni. Dr Zamri memulakan sesi pembelajaran dengan menerangkan kepada kami tentang 3 Model utama dalam membuat keputusan. Jika kita ingin mencari cara mudah untuk mengingati ketiga-tiga model ini, beliau menyarankan kami agar hanya cuba untuk mengingati 3 huruf utama iaitu C A P.
C =Clasical, A =Administrative dan P =Political.
Begitu mudah bukan untuk mengingati ketiga-tiga nama untuk model ini? Namun setiap model itu menuntut satu pemahamann yang begitu besar dari kami. Pada ketika Dr Zamri menjelaskan kepada kami tentang ketiga-tiga model membuat keputusan ini, terdetik di fikiran saya tentang kaitan model tersebut dan keperluannya dalam perbincangan subjek ini. Apakah yang dimaksudkan dengan model membuat keputusan? Mengapakah wujudnya perbincangan tentang model membuat keputusan? Bagaimanakah pembelajaran tentang model membuat keputusan ini dapat membantu kami dalam mempelajari kaedah membuat keputusan? Semua persoalan ini pasti ada jawapannya buat saya dan rakan-rakan.
Sedang dalam memikirkan tentang pelbagai andaian jawapan, perbincangan pada hari itu dilanjutkan kepada penerangan Dr Zamri tentang fungsi model membuat keputusan. Beliau menjelaskan bahawa terdapat 2 fungsi utama model ini iaitu; untuk memahami sesuatu perkara dan untuk menerangkan sesuatu perkara. Dua fungsi yang agak mudah untuk diingati bukan? Namun, agak sukar untuk difahami.
Baiklah, teruskan perbincangan kepada 3 perkara utama yang harus anda gunakan untuk memahami model membuat keputusan. Dr Zamri mengatakan bahawa untuk memahami model MK, 3 aspek yang perlu kita fahami adalah; 1) rasional, 2)rasional yang terikat, dan 3)pendapat Herbert Simon. Rasional adalah suatu bentuk tindakan fikiran yang dilakukan dengan logik dan dalam keadaan yang sedar. Manakala rasional yang terikat adalah suatu keadaan yang mana pembuat keputusan tidak dapat menggunakan rasional sepenuhnya akibat wujudnya halangan ke arah itu. Contohnya, apabila seseorang yang membuat keputusan menaiki KTM untuk pergi ke destinasi tertentu, tidak dapat tiba tepat pada masanya akibat dari masalah teknikal yang dihadapi ketika menaiki KTM. Justeru, keadaan KTM yang lambat menjadi sumber rasional yang terikat.
Seterusnya adalah dengan memahami pendapat Herbert Simon, seorang tokoh 'decision making' yang tersohor. Beliau berpendapat bahawa, "andaian untuk mendapat sebuah kerasional yang sempurna adalah sesuatu yang sama sekali bertentangan dengan fakta. Mereka tidak akan dapat menghuraikan proses yang digunakan oleh manusia untuk membuat keputusan terutamanya ketika dalam keadaan yang sukar". Oleh itu, Herbert Simon telah membuat suatu kesimpulan bahawa, manusia tidak dapat membuat keputusan dengan rasional kerana 3 sebab utama, iaitu; (1)pemerosotan maklumat yang terbatas (2)penggunaan jalan pintas (3)penggunaan satisficing. Herbert Simon mengatakan bahawa rasional tidak memainkan peranan dalam proses membuat keputusan malah manusia sering membuat keputusan secara 'bounded rationality' iaitu rasional yang terhalang. Dr Zamri ada menyatakan satu istilah kepada kami iatu istilah 'timeliness'. Menurut beliau, istilah ini bermaksud sesuatu keadaan ketika mana kita mahukan sesuatu, ia tidak ada, tetapi sebaliknya terjadi ketika kita tidak memerlukannya, ia bagai tersedia untuk kita. Bagi pihak saya, situasi ini akan terjadi apabila saya sedang mencari maksud terjemahan untuk satu kosa kata. 'Timeliness' betul..
Kuliah disambung semula pada keesokan harinya dengan perbincangan topik yang masih berkisar tentang model membuat keputusan. Jika kuliah pertama lebih kepada pengenalan awal, kuliah kedua merupakan perbincangan langsung tentang model membuat keputusan ataupun ringkasannya (CAP). Dr Zamri telah meminta kami untuk mengingati kembali konsep 'satisficing' dan perbezaannya dengan 'maximixing'. Disebabkan saya amat memahami kedua-dua konsep ini, jadi tidak perlulah saya ulas lebih lanjut tentangnya. Saya lebih berminat untuk mengulas tentang model membuat keputusan yang pertama iaitu, model klasikal. Pada awalnya, Dr Zamri telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan dan meminta kami untuk memberi satu contoh untuk menunjukkan bahawa kami memahami ketiga-tiga model ini. Amat menarik untuk saya kongsikan bersama anda tentang suatu bentuk contoh mudah untuk model klasikal. Saya bersama dua rakan bersetuju untuk mengatakan bahawa situasi seorang Perdana Menteri untuk membentangkan bajet /belanjawan Negara adalah suatu contoh model klasikal yang terbaik! Kita dapat melihat bahawa apabila seorang Perdana Menteri membuat keputusan tentang sesuatu bajet/belanjawan negara, beliau pasti bahawa keputusannya adalah suatu keputusan yang rasional. Malah semua pihak yang berkaitan maklum tentang keputusan tersebut. Semua pihak juga sedia maklum tentang criteria yang digunakan Perdana Menteri sehingga mendorong kepada penghasilan bajet tersebut. Malah Perdana Menteri telah menjalankan penyelidikan untuk mengumpul sebanyak maklumat untuk mendapatkan satu keputusan yang rasional. Kesemua situasi ini sememangnya sesuai untuk menggambarkan model klasikal. Satu contoh yang mudah untuk kita huraikan dan bayangkan. Seterusnya adalah perbincangan tentang model pentadbiran dan model political. Namun, saya tidak akan mengupas tentang kedua-dua model ini kerana ianya mudah untuk kita fahami berbanding model klasikal. Situasi yang dinyatakan oleh Dr Zamri juga mudah dan tidak sukar utnuk kita bayangkan contohnya. Semoga anda semua bersetuju dengan pendapat saya ini.
Sehingga ini sahaja ulasan kuliah saya untuk LJ02 Kemahiran Membuat Keputusan. Sememangnya kuliah minggu ini agak mencabar pemikiran saya. Perbincangan tentang model membuat keputusan sememangnya menuntut suatu pemahaman yang sebenarnya dari kita semua. Semoga berjumpa lagi pada penulisan jurnal yang akan datang. Wassalam…
No comments:
Post a Comment