A132173, Siti Salwa Borhan LJ03 Heuristika Dan Bias Itu Ape?
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Harap anda semua sihat sejahtera di samping orang tersayang.selamat datang dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membuka laman blog Jurnal KMK ini. Semoga kita dapat bersama-sama memperoleh ilmu yang bermanfaat dari ruangan ini. Masa begitu pantas berlalu. Tidak ku sangka sudah 4 minggu aku belajar di UKM dan ilmu yang ku pelajari semakin bertambah. Rugilah andai aku tidak kongsikan segala ilmu kepada para pembaca sekalian. Ilmu bukannya untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk dikongsi agar sama-sama menjadi insan yang berilmu sepertimana dituntut oleh Yang Maha Kuasa.
Pada minggu ini aku ingin berkongsi dengan pembaca yang budiman tentang Heuristika dan Bias. Anda tahu apakah yang dimaksudkan dengan heuristika dan bias ini? Adakah kedua-duanya berkaitan dengan kehidupan seharian kita? Baiklah,aku akan menerangkan kepada anda semua tentang kedua-dua istilah ini.kita mulakan dengan heuristika.
Heuristika merupakan satu perkara yang berkaitan dengan membuat keputusan.Heuristika bermaksud pedoman am. Manusia membuat keputusan berdasarkan kepada pedoman-pedoman am contohnya melalui pengalaman lepas dan sebagainya. Terdapat empat kategori heuristika iaitu heuristika jalan-jawapan,heuristika analogi,heuristika representatif,dan heuristika ketercapaian. Heuristika jalan-jawapan ialah suatu kaedah kea rah menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diinginkan,kemudian akan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Kaedah ini tiada tertib tertentu sebagai panduan dan boleh menggunakan kaedah ini untuk menyelesaikan mana-mana bahagian yang kita mahu. Contohnya seorang arkitek berhasrat ingin membina sebuah bangunan berkembar di Melaka. Beliau akan berunding dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi mendapatkan pesetujuan dan kelulusan dari segi pembelian tapak projek,bajet dan sebagainya untuk merealisasikan hasrat tersebut. Masalah ini selalu berlaku dalam diri setiap manusia walaupun masalah kecil,betul tak? Contoh yang dekat dengan diri kita ialah ingin membeli sebuah motosikal. Untuk membeli sebuah motosikal kita perlu mengumpul wang yang banyak. Oleh yang demikian kita terpaksa berjimat-cermat dalam berbelanja agar kita dapat membeli motosikal tersebut dengan segera.
Seterusnya,heuristika analogi ialah kaedah penyelesaian masalah berdasarkan kepada masalah-masalah yang serupa dari segi struktur dengan menggunakan penyelesaian masalah lain untuk selesaikan masalah baru. Contohnya memasak di atas dapur gas dengan memasak di atas dapur kayu. Situasi ini berlaku apabila seorang yang biasa dengan kehidupan di bandar terpaksa menetap di kawasan pedalaman yang tidak ada kemudahan infrastruktur. Dalam menyelesaikan masalah ini dia menggunakan pengalaman dan kemahiran yang ada padanya. Heuristika representatif pula bermaksud menggunakan sesuatu peristiwa dengan bentuk prototaipnya, dan jikalau terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya, kita akan percaya ianya lebih munasabah. Misalnya,sebakul rambutan jika ingin mengetahui sama ada buah tersebut elok atau sebaliknya kita akan mencuba sebiji atau lebih tetapi tidak semua untuk mendapatkan penyelesaiannya. Buah rambutan yang dicuba adalah representatif kepada semua buah yang ada dalam bakul tersebut. Apabila aku mengetahui kaedah ini aku teringat ketika menemani ibu ke pasar membeli barang untuk kenduri kesyukuran semasa berumur 8 tahun. Ibu membeli beberapa tandan pisang emas sebagai pencuci mulut dan ketika hendak membelinya ibu telah menilik setandan pisang dan tersenyum menandakan buah tersebut elok dan terus membelinya. Aku pelik kenapa ibu hanya melihat setandan sahaja sedangkan yang dibeli banyak,sepatutnya perlu dilihat kesemuanya. Sekarang barulah aku tahu ibu telah menggunakan kaedah ini. Pandai sungguh ibuku membuat keputusan.
Untuk kategori seterusnya ialah heuristika ketercapaian pula iaitu menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan peristiwa-peristiwa yang melekat dalam ingatan. Peristiwa tersebut adalah yang melekat dalam ingatan dan berkait rapat dengan ingatan jangka panjang. Sebagai contoh Hasan ingin membeli sebuah telefon bimbit di kedai yang hanya terdapat di sebuah pasaraya besar di kota. Ini kerana sebelum ini dia selalu membeli telefon bimbit di kedai berdekatan rumahnya dan telefon yang dibeli cepat rosak. Hasan ingin membeli di kota kerana telefon bimbit di sana adalah asli dan tahan lama walaupun harganya mahal.
Begitulah penerangan mengenai heuristika. Diharapkan agar semua pembaca faham apa yang aku berikan dan bersedia untuk memahami istilah yang seterusnya iaitu bias.
Bias ialah kecenderungan untuk melihat sesuat perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu atau mudah difahami sebagai berat sebelah atau kecondongan pada sesuatu perkara.Kecenderungan ini mengganggu keupayaan seseorang untuk menjadi objektif dan tidak prejudis. Bias berlaku pada heuristika representatif dan heuristika ketercapaian. Bias biasanya berlaku akibat begitu mempercayai kebolehan diri dalam membuat keputusan,menggunakan maklumat yang awal atau yang pertama diterima sebagai asas membuat keputusan,menggunakan fakta yang hanya menyebelahi keputusan kita dan menggunakan maklumat yang sedia ada di tangan kita yang baru diketahui atau yang masih ada dalam ingatan. Selain itu ia terjadi kerana keputusan yang dibuat terdapat peningkatan komitmen walaupun terdapat maklumat negatif. Sebagai contoh menambak pantai untuk membina jalan raya. Perkara ini akan mendapat respon negatif dari masyarakat setempat kerana akan menyebabkan pencemaran dan menjejaskan hasil pengangkapan para nelayan namun ia dibuat bagi tujuan mengurangkan kesesakan jalan raya dan sebagainya.
Oh ya,aku juga ada belajar tentang groupthink iaitu ahli kumpulan mesti bersetuju dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua kumpulannya walaupun keputusan itu tidak munasabah. Jika salah seorang ahli kumpulan mengkritik untuk tujuan memperbetulkan keputusan tersebut,maka dia akan diperlekehkan oleh ketua dan ahli kumpulan yang lain. Mereka menganggap bahawa mereka berada di pihak yang benar sahaja sedangkan segala keputusan yang dibuat ada yang tidak munasabah kerana dipengaruhi oleh beberapa individu terpenting walaupun mendapat maklumat yang tidak tepat.
Begitulah sedikit penerangan mengenai heuristika dan bias serta groupthink. Semua perkara ini sering berlaku dalam kehidupan seharian kita,bukan?sampai di sini sahaja penulisanku pada minggu ini.harap anda semua dapat membuat keputusan yang baik daripada apa yang telah aku tuliskan pada ruangan ini setiap minggu. Apa yang akan dipelajari pada minggu hadapan? Tunggu……..
No comments:
Post a Comment