Sunday, October 16, 2011

A132513 AMALUDIN KOSNIN LJ04 SUDAH LUMRAH DUNIA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Selamat bertemu kembali, selamat menyiapkan diri dengan pengalaman-pengalaman berguna yang boleh membawa kebaikan kepada kita pada masa akan datang. Kali ini pada jurnal yang keempat saya ingin bercerita tentang kemahiran membuat keputusan yang seterusnya iaitu melalui persepsi, ingatan dan perhatian. hanya tiga sahaja kaedah yang dipelajari, jadi tidak banyak yang boleh diperkatakan pada kali ini.

Persepsi, seperti mana yang kita sedia maklum ialah pandangan kita terhadap sesuatu perkara atau benda. selalunya ia membabitkan masalah atau situasi umum. Jika hendak dilihat kepada pengalaman saya dalam ruang lingkup persepsi ini, saya mempunyai pengalaman di mana persepsi saya mengatakan bila kita sebut mahasiswa, pasti saya akan memikirkan lurus, skema, naif dan sebagainya. Tapi itu dulu! kini tidak lagi. persepsi sedemikian terlalu dangkal dan tidak tepat. Namun itu kerana pada masa itu saya belum mengalaminya sendiri. 

Kedua ialah ingatan. Selalunya datang daripada kita berpersepsi. Apa yang boleh saya kongsikan, ingatan kerana rupa. Pelik, tapi benar. Kadangkala atau selalu juga, bila saya berjumpa dengan orang yang rupanya seiras-iras orang yang pernah saya kenal, pasti saya akan ingat pada orang itu dan mengakibatkan layanan atau pandangan saya pada orang baru itu saya akan samakan dengan orang yang saya kenal. Hanya kerana wajah yang hampir serupa, tapi saya akui harus mengubahnya.

Yang terakhir ialah perhatian. Saya boleh memberikan contoh yang pada saya amat bertepatan dengan kaedah ini. Saya pasti, bukan saya seorang, bahkan terjadi di mana-mana, bila ada sekumpulan orang tengah berhimpun di stesen bus dan kelihatan serius, sudah pasti selalunya berbincang tentang tiket bas. Seperti saya juga, pernah duduk bersama rakan-rakan ingin membeli tiket bas tapi tidak tahu (pertama kali pada masa itu) kemudian datang 'sukarelawan' menyelesaikan masalah iaitu penjual tiket bas. 

Jadi, itulah serba sedikit pengalaman saya dan tulisan saya pada jurnal kali ini. Diharap akan berjumpa lagi pada masa akan datang. 


From: Amal Ludin <amal0490@yahoo.com>
To: "ayahlong_azm.jurnalkmk@blogger.com" <ayahlong_azm.jurnalkmk@blogger.com>; "tugasan2263@gmail.com" <tugasan2263@gmail.com>
Sent: Sunday, October 9, 2011 10:52 PM
Subject: A132513 AMALUDIN KOSNIN LJ03 GERAK HATIKU

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pembelajaran kuliah Kemahiran Membuat Keputusan yang lepas amat ringkas untuk saya fahami. Teori membuat keputusan heuristika dan bias ini sebenarnya sangat mempengaruhi kehidupan kita tanpa atau dengan kita sendiri menyedarinya. Heuristika mengandungi empat elemen iaitu jalan-jawapan, analogi (perbandingan), representatif dan ketercapaian. Bias pula teori yang tercapai atas dasar wujudnya elemen representatif dan ketercapaian. 
 
            Heuristika jalan-jawapan merupakan pencarian keputusan dengan mengkaji dahulu apa masalah atau penyelesaian, kemudian baru memikirkan jalan atau cara yang sesuai untuk melaksanakannya. Contoh paling mudah ialah saya sekarang sedang bekerja di kedai runcit di Kolej Ibrahim Yaakub kerana memikirkan masalah kewangan yang selalunya saban semester berlaku. Jadi jalan penyelesaian kepada masalah itu ialah dengan bekerja ekoran masalahnya ingin menambah wang saku. Mudah bukan? Bagi mengambil contoh yang lebih baik, kita lihat kepada usaha mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya maksudkan pembentukan Wawasan 2020. Beliau melihat kepada masalah atau penyelesaian untuk melahirkan masyarakat yang celik IT, harmoni, berdaya saing dan macam-macam lagi. Semua itu boleh dilihat dalam 8 dasar yang ingin dicapai. Kemudian untuk merealisasikan impian tersebut, Tun telah membuat pelbagai dasar yang tujuannya semata-mata ingin pastikan matlamat Wawasan 2020 tercapai. Jadi dasar-dasar negara seperti Dasar Derindustrian Berat, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Belilah Barangan Buatan Malaysia dan pelbagai dasar lain telah dibentuk sebagai jalan untuk menggapai matlamat Wawasan 2020.
 
            Heuristika analogi atau perbandingan pula keputusan yang dibuat dengan berdasarkan pengalaman lalu yang seakan-akan sama dengan keputusan yang ingin dibuat. Banyak pengalaman lalu yang sebenarnya menjadi rujukan untuk saya membuat keputusan dalam satu-satu perkara. Contoh paling mudah ialah semasa ingin membeli tiket bas untuk pergi ke tempat yang jauh atau khususnya kampung halaman. Saya memang setiap kali ingin pulang ke kampung, saya akan menggunakan bas yang lain berbanding sebelumnya. Selalunya setiap semester saya menggunakan bas yang tidak sama atas tujuan suka-suka. Jadi, heuristika analogi yang ada di sini ialah kaedah yang digunakan untuk membeli tiket biasanya sama sahaja. Paling-paling beza hanyalah sesetengah bas ingin melihat kad pengenalan terlebih dahulu. Untuk contoh yang lebih luas, saya suka mengambil contoh akan pemimpin-pemimpin kita yang saya pasti pengalaman-pengalaman mereka berdasarkan jawatan yang dipegang untuk sebelum itu biasanya akan menjadi pembimbing mereka dalam melaksanakan tugas dalam jawatan yang baru dipegang. 
 
            Heuristika representatif pula bermaksud keputusan yang dibuat atas faktor mengambil kira sampel yang diambil, atau dengan istilah lain, wakilnya sahaja. Contohnya, pengalaman saya ialah rumah saya pernah dimasuki orang (pencuri). Kemudian laporan dibuat, dan polis pun datang ke rumah untuk melihat bukti-bukti kes. Masalahnya, polis tersebut beritahu kes ini mudah dan akan selesai tak lama lagi. Namun sesudah berbulan-bulan, tiada sebarang khabar berita yang dilaporkan. Malah, semasa membuat rondaan juga seperti sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh. Pengalaman saudara saya pula, juga berkaitan dengan polis, di mana dia ditangkap dan dibawa ke balai hanya kerana dia melepak dengan kawan di tepi jalan dan bertubuh kurus, dan polis tersebut mengesyaki dia seorang penagih dadah. Jadi, pandangan saya terhadap polis ini semakin kurang percaya dan tidak lagi mengagumi mereka sebagai penyelamat negara. Satu kes lagi, polis trafik, pernah satu ketika depan mata saya mereka duduk 'bersantai' di tepi jalan sedangkan kenderaan sedang bersesak-sesak ekoran tiada lampu isyarat. Itulah, ibarat pepatah Melayu menyebut, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 
 
            Heuristika ketercapaian pula merujuk kepada perkara yang melekat dalam fikiran kita yang dijadikan sandaran dalam menentukan sesuatu keputusan. Contoh untuk diri saya, ekoran pernah makan nasi goreng ikan masin di kolej dot.dot yang tersangat la masin, memang saya takkan beli lagi. Memang saya akan ingat sampai bila-bila. Contoh lain pula, berkaitan dengan bas yang saya gunakan untuk balik ke kampung. Ada sesetengahnya yang sangat tidak menghormati penumpang, kurang ajar dan tidak tepati janji. Oleh itu, saya berani jamin tidak lagi menggunakan khidmat mereka kerana pengalaman yang lalu mengajar kita supaya berhati-hati dalam membuat pilihan. 
 
            Teori kedua iaitu bias pula cukup ringkas untuk difahami iaitu membuat keputusan yang berat sebelah. Contoh-contoh mudah seperti seorang guru yang lebih menyanyangi muridnya yang pandai, orang yang rapat dengan pihak atasan mudah untuk mendapat kelulusan projek dan pemohon biasiswa yang mendapat biasiswa kerana orang dalam yang menolong. Oleh itu wahai rakan-rakan sekalian, dalam kita membuat keputusan, carilah pilihan yang betul dan terbaik. Jangan membuat sesuatu keputusan atas faktor yang tidak munasabah dan boleh menyulitkan pihak lain. Sekian sahaja daripada saya, kita jumpa lagi dalam penulisan jurnal akan datang. 


No comments:

Post a Comment