Sunday, October 2, 2011

A134527 Mohd Amirul Shafiq Bin Shafiee LJ02 Rasional?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kita untuk jurnal pembelajaran kursus kemahiran membuat keputusan yang kedua. Di dalam jurnal pertama, kita telah membincangkan ciri-ciri keputusan yang baik, kategori-kategori dalam pembuatan keputusan dan keadaan-keadaan dalam pembuatan keputusan. Dalam minggu ketiga ini, Dr Zambri telah menyentuh tentang beberapa model dalam membuat keputusan. Berdasarkan pemahaman saya, saya cuba meghuraikan semula apa yang telah di ajar oleh Dr Ahmad Zamri Mansor dan memasukkan contoh.
            Kenapa model membuat keputusan perlu dibincangkan dalam kuliah ini? Apakah kepentingan model membuat keputusan? Model adalah perlu supaya sesuatu situasi dapat diterangkan dengan lebih jelas sekali gus dapat difahahami dengan lebih mudah. Ini adalah penting kerana dalam membuat keputusan, seseorang perlu arif tentang situasi yang dihadapi supaya segala alternatif yang ada dapat dikemukakan dan alternatif yang terbaik dapat dipilih dan mengahasilkan keputusan yang terbaik.
            Terdapat tiga model dalam membuat keputusan. Model-model tersebut adalah model klasikal, model pentadbiran, dan model politik. Kita lihat kepada model yang pertama iatu model klasikal. Model klasikal adalah model yang paling mudah kerana beberapa faktor. Di dalam model klasikal, matlamat pembuatan keputusan adalah jelas dan dipersetujui bersama jika keputusan perlu dibuat di dalam sesebuah organisasi. Model klasikal adalah dalam keadaan kepastian. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, terdapat empat keadaan dalam membuat keputusan iatu kepastian, risiko, kekaburan dan ketidakpastian. Ini bermakna, untuk model ini, segala maklumat dan alternatif yang ada adalah lengkap dan jelas. Untuk model ini juga, keputusan di buat berdasarkan rasional, logik dan tidak dipengaruhi oleh perkara-perkara lain. Terdapat lima langkah dalam proses pembuatan keputusan yang rasional. Langkah pertama adalah mengenalpasti masalah, seterusnya menyenaraikan langkah penyelesaian dan kemudian memilih langkah penyelesaian yang terbaik. Setelah itu, langkah yang dipilih tersebut hendaklah dilaksanakan dan langkah terakhir adalah menilai keputusan yang telah dibuat itu. Contoh model klasikal adalah keputusan dalam membina kawasan perniagaan yang baru. Pihak kerajaan atau pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan kajian sebelum menjalankan projek ini bagi mendapatkan maklumat selengkap mungkin. Antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah populasi penduduk di kawasan tersebut, kemampuan untuk kawasan perniagaan baru tersebut berkembang dan keperluan untuk kawasan perniagaan baru di kawasan tersebut.
            Walaubagaimanapun, menurut Herbert Simon, yang merupakan pemenang hadiah Nobel berdasarkan sumbangannya dalam kajian pembuatan keputusan, model klasikal jarang berlaku. Menurut Herbert Simon, "The assumption of perfect rationality are contrary to fact. It is not a question of approximation; they do not even remotely describe the process that human being use for making decisions in complex situation". Herbert Simon menerangkan dalam teorinya bahawa manusia membuat keputusan tidak berdasarkan prosedur rasional. Ini merujuk kepada model seterusnya iaitu model pentadbiran. Terdapat dua konsep penting dalam model pentadbiran iatu 'bounded rationality' dan 'satisficing'. 'Bounded rationality' atau kerasionalan terikat merujuk kepada kekangan atau had yang wujud terhadap seseorang dalam membuat keputusan secara rasional. Kekangan ini terdiri daripada pelbagai perkara antaranya emosi. Konsep 'satisficing' pula merujuk kepada alternatif yang dipilih hanya sekadar untuk keperluan minimum. Berbeza dengan konsep 'maximising' yang merujuk kepada keputusan yang dibuat untuk mendapatkan hasil yang maksimum. Konsep 'maximising' dipraktikkan dalam model klasikal. Contoh model pentadbiran yang paling dekat dalam kehidupan seorang mahasiswa dalam membuat keputusan adalah dalam membuat tugasan penulisan esei. Mahasiswa tersebut sepatutnya mampu untuk membuat esei yang lebih baik jika melakukan sedikit kajian dan pembacaan internet namun mahasiswa tersebut mengambil konsep 'satisficing' dengan membuat esei tersebut dengan jumlah minimum perkataan yang telah ditetapkan oleh pensyarah tersebut sahaja. Ini juga mungkin disebabkan oleh kekangan masa dan tenaga.
            Model seterusnya adalah model politik. Model politik adalah lebih mirip kepada situasi sebenar dan berguna dalam membuat keputusan untuk keputusan yang tidak diprogramkan. Keputusan untuk model politik adalah kompleks dan disebabkan itu, percanggahan pendapat berkemungkinan besar akan terjadi. Disebabkan percanggahan pendapat yang wujud antara pihak-pihak tertentu, akan wujud pakatan-pakatan tidak rasmi yang mempunyai matlamat yang sama dalam pembuatan keputusan tersebut. Maka, rundingan perlu dibuat untuk menghasilkan keputusan yang akan menguntungkan semua pihak.
            Sekian sahaja untuk jurnal kali ini dan terima kasih kerana sudi membaca. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment