Sunday, October 9, 2011

A134527 Mohd Amirul Shafiq Bin Shafiee LJ03 Persetujuan Bersama?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kini kita telah memasuki minggu keempat perkuliahan. Seperti jurnal-jurnal yang sebelum ini, di dalam jurnal ketiga ini saya akan menulis berdasarkan kefahaman saya mengenai perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam kuliah minggu keempat ini.
            Di dalam minggu keempat  ini, dua konsep penting yang telah dibincangkan adalah 'heuristika' dan 'bias'. Konsep heuristika telah dicadangkan oleh tokoh yang telah saya nyatakan dalam jurnal sebelum ini iaitu Herbert Simon. Pemenang hadiah Nobel ini menggunakan konsep ini untuk menerangkan bagaimana manusia membuat keputusan dalam keadaan kekurangan maklumat. Konsep ini juga dapat dikaitkan dengan konsep kerasionalan terikat. Apakah maksud heuristika? Menurut kuliah ini, heuristika adalah pedoman atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian masalah yang betul. Terdapat empat jenis heuristika iaitu heuristika jalan-jawapan, heuristika analogi, heuristika representatif dan heuristika ketercapaian.
            Heuristika jalan-jawapan menjelaskan tentang konsep menentukan dahulu jawapan kemudian barulah jalan penyelasaian dicari dan ditentukan. Contoh mudah untuk konsep ini adalah berkaitan cita-cita seseorang individu contohnya untuk menjadi seorang usahawan. Seseorang itu perlulah mempunyai cita-cita terlebih dahulu dan kemudian barulah langkah untuk mencapai cita-cita dicari dan dibuat agar cita-cita tersebut berjaya dicapai dan langkah penyelesaian tersebut boleh dimulakan dari mana-mana bahagian sekalipun.
            Heuristika analogi pula merujuk kepada panduan penyelesaian masalah berdasarkan kepada keserupaan masalah lain dari segi struktur. Masalah lain yang disebutkan tadi boleh serupa dan tidak serupa. Sebagai contoh, untuk menulis jurnal seperti ini, seseorang boleh merujuk kepada karangan jenis fakta yang telah biasa ditulis sewaktu di peringkat sekolah dahulu. Untuk heuristika representatif, panduan penyelesaian masalah dibuat menggunakan bentuk prototaip. Heuristika representatif kadang-kala amat berguna untuk sesetengah situasi. Contohnya sebuah kilang yang menghasilkan bateri. Ujian dilakukan untuk menentukan jangka jayat bateri tersebut. Tentu sekali ujian tidak boleh dilakukan ke atas semua bateri tersebut. Maka, sampel yang kecil daripada keseluruhan bateri tersebut akan diambil untuk diuji dan setrusnya dijadikan sebagai rujukan. Heuristika seterusnya iaitu heuristika ketercapaian pula merujuk kepada keputusan yang dibuat berdasarkan peristiwa lepas yang kekal dalam ingatan kita. Terdapat dua kemungkinan iaitu peristiwa tersebut baru berlaku atau peristiwa tersebut telah lama berlaku namun meninggalkan impak yang besar dalam hidup seseorang individu tersebut. Contohnya, seseorang yang pernah mengalami keracunan makanan akibat makan di sesebuah restoran mungkin tidak akan makan di restoran tersebut lagi. Tidak mustahil juga, individu tersebut tidak makan di mana-mana restoran sekalipun sejak kejadian tesebut.
            Dua heuristika ini juga iaitu heuristika representatif dan heuristika ketercapaian membawa kepada bias. Bias bermaksud berat sebelah. Di dalam konteks pembuatan keputusan, bias adalah kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Bias juga dapat dibahagikan kepada beberapa kategori. Yang pertama ialah bias terlalu yakin. Bias jenis ini disebabkan keyakinan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri dalam membuat keputusan. Seterusnya ialah bias tersangkut yang menggunakan maklumat yang pertama diterima sebagai asas dalam mebuat keputusan. selain itu, terdapat juga bias pengesahan. Untuk bias pengesahan, pembuat keputusan menggunakan fakta yang hanya menyebelahi keputusan kita. Berdasarkan contoh yang diberi oleh Dr Zamri, bias jenis ini selalu terjadi di dalam sebuah organisasi. Pihak bawahan biasanya akan memberi hanya laporan yang baik kepada pihak atasan untuk menjaga nama baik pihak tersebut. Perkara seperti ini sepatutnya perlu dielak kerana ianya dapat merencat pertumbuhan sesebuah organisasi tersebut.
            Terdapat satu konsep menarik yang telah ditekankan dalam kuliah minggu ini iatu 'Groupthink'. Menurut Janis, 1971, 'groupthink' adalah "the mode of thinking that persons engage in when concurrence-seeking becomes so dominant in a cohesive in-group that it tends to over-ride  realistics appraisals of alternative courses of action.". Dengan kata yang lebih mudah, 'groupthink' adalah kecenderungan untuk satu-satu kumpulan untuk berfikir secara seragam. Di dalam situasi 'groupthink', seseorang yang mempunyai idea yang bertentangan tidak akan dilayan malahan dipulaukan dan diperlekehkan. Selain itu, keputusan yang dibuat dalam kumpulan pembuat keputusan itu banyak dipengaruhi oleh individu-individu penting walaupun terdapat maklumat bahawa keputusan tersebut tidak tepat. Di dalam kuliah ini, Dr Zamri telah menyenaraikan beberapa peristiwa besar yang telah berlaku akibat kesilapan membuat keputusan menggunakan 'groupthink'. Antaranya ialah peristiwa serangan berani mati tentera Jepun keatas tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Pihak perisikan Amerika Syarikat sebenarnya telah mendapat maklumat mengenai serangan tersebut namun komander di pelabuhan tersebut mempertikaikan dan memperlekehkan maklumat dan keupayaan tentera Jepun dan akibatnya, Pearl Harbour mengalami kemusnahan teruk dan banyak nyawa telah terkorban. Sepatutnya seseorang itu perlu tahu membezakan antara 'menghormati pendapat orang lebih berpengalaman' dan 'groupthink'. Seseorang pemimpin yang baik juga perlu terbuka dalam menerima pendapat orang bawahannya agar keputusan yang terbaik dapat dicapai. ". 'Groupthink' juga akan menyebabkan tidak timbul idea-idea baru yang mungkin lebih bernas dan lebih baik.
            Berdasarkan kuliah ini, terdapat dua perkara yang jelas iatitu kita hendaklah mengelak mengamalkan 'groupthink' dan bersifat bias. Sekian saja untuk jurnal kali ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment