Sunday, October 16, 2011

A134527 Mohd Amirul Shafiq Bin Shafiee LJ04 Persepsi? Buka MInda.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sesi perkuliahan telah masuk ke minggu kelima dan ini merupakan jurnal keempat yang perlu ditulis oleh pelajar kursus ZT2263.
            Topik utama kuliah Kemahiran Membuat Keputusan minggu ini adalah 'Persepsi, Ingatan dan Perhatian dalam Proses Membuat Keputusan. Persepsi, ingatan dan perhatian merupakan alat kognitif dalam membuat keputusan. Di dalam membuat keputusan, kita memerlukan 'peralatan' khusus. Mengapa? Kerana 'peralatan' tersebut membolehkan kita melihat, memikirkan, mentafsirkan dan akhirnya menghasilkan keputusan yang paling bijak. Berdasarkan kuliah ini, dalam membuat keputusan, seseorang hendaklah mempunyai keupayaan dalam mengenalpasti keserupaan dan kelainan, membezakan sebab-sebab berlaku masalah dan simptom masalah, memecahkan masalah kepada komponen-komponen yang lebih kecil dan akhir sekali berupaya untuk mengenalpasti masalah mengikut keutamaan.
            Alat kognitif pertama yang akan dibincangkan dalam jurnal ini ialah 'persepsi'. Persepsi menurut Stephen Pepper(1967) - " Perceptual act as a concious activity linking an individual through received sense data to the environment". Dengan kata lain, persepsi adalah cara kita melihat sesuatu perkara. Persepsi merupakan satu konsep menarik untuk dibincangkan. Di dalam kuliah yang lalu, Dr Zamri telah berkongsi video iklan produk komersial dan banyak gambar 'optical illusion' dalam menerangkan konsep persepsi. Persepsi memang memainkan peranan besar dalam hidup seseorang. Ia mempengaruhi cara kita bertindak dan berfikir. Ia juga mempengaruhi cara kita melihat sesuatu perkara yang telah berlaku, sedang berlaku, dan akan berlaku. Satu contoh menarik berkaitan persepsi ialah pandangan tentang kecantikan. Terdapat peribahasa Inggeris yang menyebut "beauty is in the eye of the beholder" iaitu kecantikan terletak pada mata yang melihat. Kecantikan juga dikatakan sesuatu yang subjektif. Perkara-perkara ini mungkin ada asasnya kerana seseorang orang yang cantik pada individu A mungkin tidak cantik pada individu B. Sebagai contoh, di Uganda, isteri yang gempal dianggap sebagai simbol status dan kebanggaan bagi seseorang lelaki namun perkara yang sebaliknya berlaku di negara barat contohnya Amerika yang menganggap model-model yang terlampau kurus adalah cantik.
            Namun begitu, adakah kecantikan benar-benar subjektif? Jika kecantikan itu sesuatu yang betul-betul subjektif, mengapa boleh dikatakan semua orang bersetuju jika dikatakan seseorang artis itu mempunyai rupa paras yang menarik? Ini kerana, persepsi boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antaranya faktor situasi, faktor pembuat persepsi dan faktor target.
            Alat kognitif kedua ialah ingatan. Terdapat dua kategori ingatan iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Ingatan berfungsi untuk membantu mengenalpasti masalah yang hampir sama dengan masalah yang sedang dihadapi dan seterusnya masalah yang dikenalpasti tersebut sebagai panduan dan pedoman dalam menyelesaikan masalah baru tersebut. Kaedah menggunakan persamaan masalah dalam membuat keputusan mempunyai pendekatan yang hampir sama dengan konsep heuristika yang telah dibincangkan dalam jurnal yang lalu. Dalam membuat keputusan, ingatan berfungsi untuk membuat ingatan semula, untuk mengaitkan keadaan terdahulu dengan keadaan sekarang dan membantu proses pengecaman dan perbandingan dengan peristiwa terdahulu atau pengetahuan, pengalaman yang berkaitan. Namun begitu, kelemahan menggunakan 'ingatan' sebagai alat kognitif adalah ingatan seseorang adalah terbatas. Seseorang itu mungkin mudah lupa perkara yang dianggap tidak penting. Seperti yang dibincangkan dalam jurnal lalu, terdapat dua situasi dimana ingatan tersebut mudah 'melekat' di dalam otak iaitu perkara yang baru berlaku ataupun perkara yang telah lama berlaku tetapi meninggalkan impak yang besar terhadap kehidupan individu tersebut.
            Alat kognitif seterusnya adalah perhatian. "Attention is the allocation of information processing capacity to mental activity"-Kahneman(1973). Perhatian berfungsi sebagai 'selective agent' dan 'task management agent'. Manusia biasanya lebih tertumpu atau memberi perhatian yang lebih kepada aktiviti yang lebih utama dalam ruang lingkup persepsi kita. Ketiga-tiga alat kognitif ini iaitu persepsi, ingatan dan perhatian mempunyai perkaitan dalam membuat keputusan. Menurut kuliah yang diberikan Dr Zamri, peersepsi akan menyebabkan ingatan diransang. Seterusnya, ingatan yang diransang akan menumpukan perhatian kepada masalah dan seterusnya memulakan proses analisis membuat keputusan. Namun begitu, disebabkan perhatian, persepsi dan ingatan manusia terbatas dan dipengaruhi oleh prioriti, maka usaha membuat keputusan juga biasanya dilakukan mengikut prioriti. Konsep ini juga mempunyai persamaan dengan konsep bias.
            Sekian saja untuk jurnal kali ini. Semoga pengetahuan tentang 'peralatan' khusus untuk membuat keputusan ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment