Wednesday, October 12, 2011

A132343 Noor Adibah Binti Mohd Khair LJ04 Illusion

 
            Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah sudah tamat minggu kelima perkuliahan aku pada semester ini dan ini merupakan jurnal hasil tulisanku yang keempat dalam kursus kemahiran membuat keputusan. Pada minggu ini, Dr. Ahmad Zamri Mansor telah menerangkan dan memperkenalkan kepada aku dan rakan-rakanku tajuk keempat iaitu mengenai pengaruh persepsi, ingatan dan perhatian dalam membuat keputusan.
 
            Bagi menjalani proses membuat keputusan, kita perlu mempunyai 'peralatan' yang khusus. 'Peralatan' tersebut membolehkan kita melihat, memikirkan serta mentafsir dan akhirnya menyelesaikan masalah dengan membuat keputusan yang paling bijak. Peralatan tersebut adalah peralatan kognitif (cognitive tool). Antara alat-alat kognitif adalah persepsi (perception), ingatan (memory) dan perhatian (attention). Sebelum Dr. Zam menerangkan dengan lebih mendalam tentang alat-alat kognitif tersebut, beliau memberitahu bahawa dalam membuat keputusan seseorang perlu berupaya mengenalpasti keserupaan dan kelainan, berupaya membezakan sebab-sebab berlakunya masalah dan simptom masalah, berupaya memecahkan masalah kepada komponen-komponen yang lebih kecil serta berupaya mengenalpasti masalah mengikut prioriti.
 
            Persepsi. Apa itu persepsi? Menurut Stephen Pepper (1967), persepsi adalah satu aktiviti sedar yang menghubungkan seseorang individu itu melalui data yang diterima oleh deria kita terhadap persekitaran. Dr. Zam mengatakan persepsi kita adalah bagaimana kita melihat dunia menggunakan minda kita. Setiap persepsi kita adalah sangat berbeza kerana kita semua mempunyai sistem kepercayaan, pengalaman dan pemikiran yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Persepsi digunakan dalam melihat masalah secara fizikal atau konseptual. Ianya dilakukan dengan adanya tujuan yang tertentu dan dicapai dengan menentukan rujukan objektif. Dalam proses membuat keputusan, jika persepsi betul dan tepat, pemahaman kita mengenai masalah pun akan jadi betul, dan ini akan membantu pembuatan keputusan yang tepat. Pada sesi perkuliahan, Dr. Zam telah menunjukkan beberapa contoh gambar-gambar optical illusion. Sangat seronok rasanya apabila berteka-teki apa sebenarnya gambar tersebut dimaksudkan. Di atas jurnal ini aku ada sertakan beberapa gambar yang berkaitan dengan optical illusion dan aku yakin para pembaca sekalian akan tergelak seperti mana kami di dalam kuliah.
 
            Alat kognitif yang kedua pula adalah ingatan. Ingatan terbahagi kepada dua iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Apakah pengaruh atau peranan ingatan dalam pembuatan keputusan? Ingatan membantu kita dalam pengenalpastian masalah yang hampir sama dan justeru itu mudah diselesaikan. Namun begitu, ingatan kita juga terbatas. Sebagai contoh kita tidak dapat mengingati baju yang kita pakai pada 18 Ogos 2007, 7 Julai 2004 dan sebagainya melainkan pada hari tersebut berlaku satu peristiwa yang tidak dapat kita lupakan. Antara fungsi ingatan dalam membuat keputusan adalah membantu ingatan semula, mengaitkan keadaan terdahulu dengan keadaan sekarang dan membantu proses pencaman dan perbandingan dengan peristiwa terdahulu atau pengetahuan, pengalaman yang berkaitan. Antara pengalaman aku yang mengaitkan ingatan dalam pembuatan keputusan adalah apabila aku mempunyai masalah untuk mendaftar kursus kerana sudah penuh, tetapi disebabkan aku penah menemani dan menolong rakanku yang mengalami masalah yang sama pada semester lepas jadi ia tidak menjadi masalah padaku untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana aku masih mengingati prosedur yang perlu aku lakukan untuk mendaftar kursus tersebut secara manual.
 
            Seterusnya, alatan kognitif yang ketiga adalah perhatian. Sebelum menerangkan dengan lebih lanjut bagaimana perhatian mempengaruhi kita dalam membuat keputusan, Dr Zam telah memberi satu contoh yang menunjukkan betapa perhatian sangat penting dalam membuat keputusan. Contoh tersebut adalah mengenai kisah pelajar perubatan yang disuruh berkumpul untuk melihat seorang pensyarah melakukan pemeriksaan ke atas satu mayat. Pensyarah tersebut memberitahu di dalam bidang perubatan terdapat dua kualiti yang sangat penting untuk menjadi seorang doktor iaitu yang pertama adalah mereka tidak boleh jijik melihat mayat. Sebagai contoh pensyarah tersebut mencucuk satu jarinya ke dalam mulut mayat dan menjilat jarinya lalu beliau telah mengarahkan pelajarnya membuat perkara yang sama. Apabila semua pelajar telah selesai, pensyarah itu berkata bahawa kualiti yang kedua adalah yang paling penting iaitu pemerhatian yang tajam. Ini kerana, pensyarah tersebut menyatakan sebenarnya beliau memasukkan jari hantu tetapi menjilat jari telunjuk. Sekarang aku yakin para pembaca sekalian sedar betapa pentingnya perhatian dalam membuat keputusan. Menurut Kahneman (1973), perhatian ialah penggunaan aktiviti mental dalam keupayaan untuk pemprosesan maklumat.
 
            Akhir sekali, Dr Zam menyatakan hubungan antara persepsi, ingatan dan perhatian. Persepsi menyebabkan ingatan diransang, ingatan yang diransang pula akan menumpukan perhatian kepada masalah. Ini akan memulakan proses analisis dalam membuat keputusan. Persepsi, ingatan dan perhatian saling berhubung tetapi terbatas. Jika persepsi, ingatan dan perhatian manusia terbatas dan dipengaruhi oleh prioriti, maka usaha untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan pun perlu dilakukan mengikut prioriti. Sekian, terima kasih.
 

No comments:

Post a Comment