Sunday, October 9, 2011

A132363 Halimatus Sa'diah Binti Yusoff LJ03 Heuristika vs Bias????
Assalamua'laikum dan selamat bertemu kembali. Maaf kerana 'learning journal' kedua saya tak dapat diterbitkan dalam blog minggu lepas kerana berlaku sedikit kesilapan teknikal. Bak kata pepatah 'barang yang lepas usah dikenang' jadi perkara yang lepas tu biarkan berlalu, sekarang kita kena fikir perkara yang sedang berlaku dan kemungkinan akan berlaku. Tapi, apa yang saya katakan tadi bukan bermaksud dibuang atau dilupakan terus tetapi diambil pedoman dan pengajaran daripadanya. Sebenarnya, apa yang saya merepek-repekkan di atas ini ada perkaitan dengan apa yang kita akan bincangkan hari ini. Tentang apa ya???Haaa..jom saya bawa anda menerokai apa yang dimaksudkan dengan heuristika dan bias. Ishhhh… dengar bunyi pun macam pelik je...
            Apa kata kita tengok dulu apa itu heuristika. Bukan anda sahaja yang baru dengar istilah ini, saya pun baru pertama kali dengar istilah heuristika ni. Haa ni la untungnya belajar KMK ni, dapat berkenalan dengan banyak istilah baru yang sebenarnya berada disekeliling kita saja tanpa kita sedar. Ok la, heuristika ni mempunyai kaitan yang rapat dengan kaedah  membuat keputusan. Apa tidaknya, melalui heuristika ini kita akan membuat keputusan atas sesuatu perkara atau masalah berdasarkan pengalaman dan peristiwa yang pernah dialami sendiri oleh kita seperti kemalangan, pengalaman bekerja dan sebagainya. Heuristika ini terbahagi kepada empat bentuk iaiti heuristika jalan-jawapan, heuristika analogi, heuristika representatif dan heuristika ketercapaian. Setiap heuristika ini mempunyai pendekatan dan bentuk yang berbeza. Seseorang yang menggunakan heuristika jalan-jawapan ni, ialah seseorang menetapkan target atau keputusan terlebih dahulu dan kemudiannya baru fikirkan bagaimana cara atau langkah yang akan dilakukan bagi mencapai target atau keputusan tersebut. Bentuk keputusan macam ni selalu kita tengok dalam filem-filem atau drama-drama di kaca televisyen. Bukan itu saja, di alam realiti ini lagi banyak kita dapat lihat, contoh paling popular ialah hendak memilih jodoh. Selalunya berlaku pada kaum Adam la, sebab mereka yang nak meminang. Orang lelaki ini selalunya kalau sudah berkehendak untuk berkahwin, mereka akan cuba mencari sasaran. Haah..dah bunyi macam nak kena tembak dah.. Bila mereka sudah mendapat atau berjumpa dengan perempuan yang berkenan di hati, baru mereka akan fikir strategi-strategi terbaik untuk 'tackle' gadis tersebut dan mereka akan cuba pastikan yang strategi yang mereka lakukan untuk mendapatkan (berkahwin) gadis tersebut akan berhasil. Selain itu, matlamat untuk selamatkan orang yang hendak bersalin, macam peristiwa yang pernah saya saksikan di Muzium Negeri Kedah sewaktu saya berusia14 tahun. Sewaktu saya melawati muzium tersebut bersama keluarga saya, kebetulan pada hari itu, keadaan agak sesak disebabkan terdapat rombongan dari beberapa buah sekolah tadika yang membuat lawatan.  Tiba-tiba saya lihat, suasana di situ menjadi agak 'ribut' apabila seorang daripada guru tadika tersebut sakit hendak bersalin. Oleh kerana ambulans yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba, akhirnya guru tersebut selamat melahirkan anaknya di situ. Perkara yang paling saya tak dapat lupakan ialah apabila seorang daripada pegawai muzium tersebut telah memberikan sampin baju Melayunya untuk dibuat alas untuk menyambut kelahiran bayi guru tersebut. Katanya, "Biaq la apa pun nak jadi asaikan cikgu dengan anak dia selamat". Maka, ramai la yang jadi bidan terjun hari itu kerana terpaksa menyambut kelahiran yang tidak dijangka. Berdasarkan peristiwa diatas kita dapat lihat bagaimana tindakan pegawai tersebut dan 'bidan-bidan terjun' yang lain menetapkan sasaran untuk memastikan guru tersebut selamat sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat untuk selamatkan guru tersebut terlaksana. Mudah kata, letak 'target' atau keputusan dan kemudian baru bertindak untuk mencapainya.          
            Heuristika Analogi pula ialah menyelesaikan sesuatu masalah berdasarkan masalah yang lalu yang hampir serupa. Ia juga berbentuk penyelesaian bagi  masalah baru  berdasarkan masalah lain. Contohnya, menyelamatkan orang yang sesak nafas dan pengsan dalam kebakaran disebabkan menghidu asap yang terlalu banyak dengan menggunakan taktik keselamatan yang digunakan untuk menyelamatkan orang dalam kelemasan iaitu melakukan CPR. Hal ini disebabkan oleh bentuk masalah yang sama iaitu pengsan kerana sesak nafas.
            Seterusnya ialah Heuristika Representatif. Heuristika jenis ini menjadikan tanggapan pertama sebagai mewakili keseluruhan perkara tersebut. Kalau anggapan tersebut banyak persamaan antara keduanya, ia akan menjadi lebih munasabah. Contohnya, fenomena penjualan buah di pasar malam, peniaga akan memberikan sebiji atau sepotong buah sebagai representatif atau mewakili keseluruhan buah tersebut. Kalau kita hendak membeli buah anggur, dikatakan oleh peniaga bahawa buah anggur yang dijualnya berasa manis dan kebetulan buah yang dirasai oleh kita juga manis rasanya. Maka, selalunya kita akan beranggapan bahawa kesemua buah anggur tersebut rasanya manis, sedangkan kemungkinan besar buah yang lainnya tidaklah manis. Andaian ini dianggap sebagai Heuristika Representatif.
            Setiap individu mempunyai kenangan dan pengalaman yang tersendiri termasuklah diri saya dan anda semua. Dalam banyak-banyak peristiwa yang berlaku dalam hidup kita, mesti terdapat satu atau beberapa peristiwa yang susah untuk kita lupakan dan selalunya peristiwa tersebut telah memberikan kesan yang mendalam dalam hidup kita. Peristiwa sebegini akan memberi kesan terhadap keputusan yang akan dibuat dan bentuk keputusan ini dinamakan Heuristika Ketercapaian. Kebanyakan keputusan yang dibuat berkait rapat dengan ingatan jangka panjang sama ada ingatan tersebut merupakan peristiwa yang baru berlaku ataupun peristiwa yang sukar dilupakan.
            Sekarang kita lihat pula apa yang dimaksudkan dengan bias. Bias ialah kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Maksudnya, keputusan yang dibuat tersebut dipengaruhi oleh sesuatu perkara. Bias dipengaruhi oleh dua jenis heuristika iaitu Heuristika Representatif dan Heuristika Ketercapaian. Bila sebut tentang bias yang dipengaruhi oleh Heuristika Representatif, saya teringat sesuatu perbualan di antara guru saya dengan kawannya dari negara Belanda. Guru saya bertanya kepada kawannya berkaitan gambaran beliau terhadap Malaysia sebelum melihat Malaysia secara realiti. Katanya sebelum ini beliau beranggapan semua rakyat Malaysia seperti rakyat tradisional di Hawaii yang hanya memakai pakaian dalam seperti pakaian tradisonal yang dipakai oleh rakyat bumiputera di Sabah dan Sarawak. Sedangkan pakaian tersebut hanyalah pakai tradisional salah satu kaum yang terdapat di Malaysia. Bila beliau sudah menjejaki kaki di tanah Malaysia ini baru beliau tahu bahawa rakyat Malaysia ini berbilang kaum. Haaa ni menunjukkan ramai masyarakat diluar sana yang telah pun beranggapan salah terhadap rakyat negara kita disebabkan hal yang kecil sahaja. Apa tidaknya setiap kali terdapat 'event' besar dibuat terutamanya melibatkan masyarakat luar negara, agensi-agensi Malaysia selalu memperkenalkan kita di mata dunia dengan gambar-gambar rakyat di Sabah dan Sarawak sahaja. Maka, ramai yang menganggap keseluruhan kita adalah seperti itu. Tanggapan seperti ini amat bahaya kerana ianya akan melibatkan reputasi dan kesan yang lebih besar baka kata pepatah 'kerana susu setitik habis susu sebelanga'. Oleh itu, kita perlulah mengelakkan diri dari membuat keputusan dengan cara yang hanya melihat dari satu aspek sahaja, sedangkan terdapat banyak aspek penting lagi yang perlu dilihat sebelum membuat keputusan. Ok, setakat ini dahulu perbincangan kita kali ini. InsyaAllah kalau dipanjangkan umur kita sambung lagi ye…Wassalam    

No comments:

Post a Comment