Sunday, October 2, 2011

A132513 AMALUDIN KOSNIN LJ02 HIDUP PERLUKAN PILIHAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Pada kuliah KMK yang lepas, saya belajar mengenai beberapa lagi bentuk-bentuk kaedah membuat keputusan, iaitu 'satisficing' dan 'maximizer'. Saya sememangnya memahami maksud model tersebut iaitu satisficing merupakan sikap pembuat keputusan yang melakukan sesuatu secara ala kadar dan hanya memenuhi kehendak yang disyaratkan sahaja. Sebagai contoh ialah seorang mahasiswa hanya menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarahnya secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh, seperti terlalu ringkas dan hanya memenuhi syarat asalkan kerjanya siap. Sebenarnya sikap satisficing ini pada pendapat saya memang ada pada sertiap orang, namun bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mampu mengambil langkah yang dirasakan perlu. Ini kerana kadangkala apabila tempoh masa terlalu pendek, tiada pilihan lain boleh dibuat melainkan menggunakan kaedah ini, namun harus diingat tidak semua kaedah ini memberi kesan yang buruk. Terdapat juga kerja-kerja yang dilakukan pada saat akhir atau terdesak itu lebih baik kerana banyak juga saya baca pengalaman orang lain tentang sikap satisficing ini. 
Pernah saya terbaca kisah seorang pagawai syarikat (saya tidak ingat nama dan syarikat tersebut) yang memberi coretan di dalam sebuah majalah tentang pengalaman beliau apabila tugasannya telah hilang pada saat beliau ingin menghantarnya pada keesokan hari. Namun, dengan masa yang ada, beliau tetap berusaha membuat kertas kerja yang baru dalam tempoh waktu sehari, berbanding tugasan sebelum itu yang mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan. Alhamdulillah, beliau dapat menyiapkan kerja tersebut, dan yang paling membanggakan ialah apabila ketua beliau megatakan itu merupakan kertas kerja terbaik yang pernah dilihat. Sama juga, saya pernah membaca akhbar tentang seorang mahasiswa yang mendapat anugerah pada majlis konvokesyen (juga tidak ingat nama dan universiti) mengatakan beliau belajar pada saat akhir walaupun menyedari sikap itu membawa kepada risiko. Namun menurut pendapat saya, pelajar ini belajar, dengan mengikut kaedah belajar yang betul, justeru, tidak hairan lah jika walaupun pada saat akhir beliau mampu menguasai pelajarannya. Mengulas tema yang sama, saya juga pernah membuat sesuatu keputusan hanya untuk memuaskan hati ekoran jangka masa yang singkat. Contohnya, saya ini jenis yang tidak terlalu cerewet tentang makan. Jadi, bila makan di sesuatu kedai, kebiasaannya saya jarang mengomel tentang makanan tersebut sama ada sedap atau tidak, (melainkan jika memang langsung tak sedap!) yang penting ada 'rasa' sudah.

Maximizer pula, membawa maksud membuat sesuatu keputuan secara maksimum, bukan hanya memenuhi keperluan asas. Sifat ini adakalanya wujud dalam diri saya. Sebagai contoh, saya ini seorang yang sangat cerewet dalam membeli pakaian, terutama sekali baju. Jika ada sesiapa mahu shopping dengan saya, mahu sejam dua masa diambil hanya dengan memerhatikan sehelai baju. Bukan apa, saya cuma mahu pastikan baju tersebut baik, tidak lah benangnya terkeluar, tahan, dan bermacam benda yang perlu difikirkan. Almaklumlah, saya ini bukan orang senang, justeru jika mahu membeli apa pun, lebih-lebih lagi pakaian berjenama, saya harus pastikan saya tidak akan menyesal di kemudian hari. Jika diambil pengalaman orang lain, suka saya menyebut tentang Harith Iskandar, seorang pelakon dan pelawak, juga seorang usahawan yang berjaya. Saya pernah membaca perihal bagaimana beliau membangunkan syarikat beliau (saya tidak ingat), tapi yang saya tahu beliau mengusahakan penjualan bola golf. Beliau telah menggubal satu dasar yang teratur dan holistik dari peringkat bawahan sehinggalah kepada pihak atasan, semua diberi peranan penting untuk memikul tanggungjawab bagi menaikkan keuntungan syarikat. Usaha tersebut berjaya dengan mencapai lebih daripada apa yang diharapkan. Itu semua kerana pemikiran dan idea kreatif Harith iskandar yang digunakan secara optimum bagi mencapai sesuatu kejayaan. 

Selain daripada dua kaedah diatas, saya juga belajar mengenai model-model tingkahlaku. terdapat tiga model iaitu Model Klasikal, Model Pentadbiran dan Model Politikal. Model Klasikal ialah cara biasa dalam membuat sesuatu keputusan. Model ini mempunyai masalah dan matlamat yang jelas, penuh kepastian, maklumat yang lengkap, pilihan dibuat secara rasional dan hasilnya memuaskan atau maximising. Contohnya, dalam situasi biasa, jika saya mahu membuat majlis kahwin, dengan matlamat yang jelas, situasi yang penuh yakin, kepelbagaian maklumat berkaitan dan keputusan yang dibuat pasti rasional dan wajar kerana segalanya sudah ditangan dan dinilai. Hasilnya, pastilah memuaskan. Jika mengambil contoh lain, saya melihat model ini digunakan oleh anggota polis dalam menjalankan tugas seperti kes-kes jenayah. Sebagai contoh, dalam satu-satu kes pembunuhan, mereka harus melihat apakah masalahnya? Sudah pasti ingin mencari siapa yang membunuh mayat tersebut. Kemudian keadaan pula memang menunjukkan kepastian bahawa mayat tersebut dibunuh dengan beberapa bukti yang ada. Seterusnya dilihat pula maklumat, jika bedah siasat sudah lengkap, pasti dapat membuat keputusan dengan yakin dan berpuas hati dengan mengetahui siapa pembunuh tersebut.
Model Pentadbiran pula menerangkan masalah dan matlamat yang kabur, keadaan yang tidak pasti, maklumat tidak lengkap, pilihan dibuat hanya sekadar memenuhi syarat dan hasilnya cuma satisficing. Sebagai contoh, seorang penulis yang ingin membuat biografi tentang tokoh tertentu, tapi maklumat yang diperoleh hanya sedikit dan tokoh tersebut pula tidak begitu terkenal atau sudah meninggal dunia, pasti hasilnya nanti sekadar yang perlu sahaja tanpa pengisian yang memukau orang lain. Sama juga seperti kita, jika ingin membuat sesuatu keputusan misalnya, jika maklumat yang ada tidak begitu lengkap, pasti hasilnya nanti cukup-cukup makan sahaja. Saya memberi contoh jika saya ingin memohon sesutu kerja di sesebuah syarikat, mestilah saya patut mengambil tahu serba-serbi tentang syarikat tersebut bagi membolehkan pihak penemuduga berpuas hati sepenuhnya, bukan sekadar 'ok la'. 

Model Politikal pula boleh dianggap yang paling banyak kontranya kerana masalah dan matlamat bercanggah, keadaan pula kabur, maklumat yang ada juga kabur, bercanggah, pilihan keputusan harus melalui rundingan dan tawar-menawar, dan hasil akhirnya ialah rumit untuk dicapai. Saya memberi contoh bagi sesebuah negara, untuk mencapai keputusan dalam meluluskan sesuatu projek seharusnya mengambil kira pelbagai kriteria dan pandangan yang bernas. Isu PPSMI misalnya, pelaksanaan dasar tersebut dibuat tanpa kajian yang mendalam. kemudian setelah bertahun dilaksanakan, kini timbul pandangan banyak pihak yang sesetengahnya menyokong dan sesetengah lagi menolak. Walaupun keputusan sudah dibuat, namun sebenarnya pilihan keputusan tersebut sangat rumit kerana sebenarnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Jadi, sampai di sini sahaja coretan saya pada minggu ini, semoga kita bertemu lagi pada masa akan datang..

No comments:

Post a Comment