Tuesday, October 4, 2011

A134528 NAZRIN BIN NORDIN LJ03 BERAT SEBELAH

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Kini telah masuk minggu ke-4 perkuliahan bagi khursus Kemahiran Membuat Keputusan (KMK) dan ini merupakan jurnal yang ketiga dihasilkan oleh saya. Tajuk yang kami semua pelajari pada minggu ini adalah  heuristika dan bias dalam membuat keputusan. Untuk pergi lebih lanjut dalam tajuk ini, heuristika ini bermaksud teknik atau peraturan yang digunakan bagi menjawab soalan-soalan. Dalam erti kata lain ia merupakan pedoman am atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian yang betul. Buat pengetahuan umum konsep heuristika ini sebenarnya diperkenalkan oleh Herbert Simon.  Heuristika mempunyai peranan dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Menurut Tversky & kahneman (1959), yang menjalankan kajian mengenai bagaimana manusia membuat keputusan mendapati manusia membuat keputusan berpandukan beberapa jenis heuristika dan mereka mencadangkan pembuat keputusan biasanya menilai kebarangkalian sesuatu peristiwa dengan menggunakan heuristika.
Heuristika khususnya terbahagi kepada 4 bahagian. Kita pergi kepada bahagian yang pertama iaitu heuristika jalan-jawapan. Heuristika ini merupakan satu kaedah berfikir kearah menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diingini, kemudian barulah kita mencari jalan atau cara untuk menyelesaikannya. Menggunakan kaedah ini kita boleh menyelesaikan mana-mana bahagian yang kita mahu asal kan mencapai matlamat yang kita inginkan. Contoh  yang dapat saya berikan disini, seorang mahasiswa yang ingin melanjutkan pelajarannya ke peringkat seterusnya. Beliau harus menetapkan matlamat dalam bidang mana yang beliau lebih mampu seterusnya mencari jalan untuk mencapai cita tersebut. Heuristika yang kedua ialah heuristika analogi yang berperanan menyelesaikan masalah berdasarkan keserupaan masalah dari segi struktur. Untuk lebih mudah memahami, penyelesaian masalah lain digunakan untuk menyelesaikan masalah yang baru contohnya masalah dalam membaiki enjin kereta yang berlainan jenama tetapi struktuk enjinnya hamper serupa jadi kepakaran yang sama dapt digunakan untuk membaiki enjin kereta tersebut.
Sekarang kita beralih pula kepada heuristika yang seterusnya iaitu heuristika representatif atau nama lainnya heuristika perwakilan. Dari nama heuristika ini kita dapat mengagak maksud apa maksud sebenarnya. Heuristika menggunakan sesuatu peristiwa dengan bentuk prototaipnya dan jikalau terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya, kita akan percaya ianya lebih munasabah. Heuristika yang terakhir ialah heuristika ketercapaian yang berdasarkan peristiwa-peristiwa yang melekat dalam ingatan kita. Ia berkait rapat dengan ingatan jangka masa panjang. Pembuat keputusan selalunya menyelesaikan masalah berdasarkan kepada apa yang mudah diingat semula dalam ingatan mereka. Contoh yang mudah disini seperti keputusan yang diambil oleh pemimpin sebuah negara yang berbilang kaum bagi menentukan sesuatu dasar yang baik dan tidak berat sebelah kepada sesuatu pihak sahaja agar tidak menimbulkan pertelingkahan antara kaum seperti peritiwa 19 september.
Tajuk yang seterusnya yang saya pelajari ialah bias. Mengikut  pemahaman saya sebelum kelas, bias merupakan sesuatu keputusan yang berat sebelah dan tidak dipertimbangkan dengan pelbagai perspektif. Namun apakah maksud sebenar  bias? Bias ialah kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh persepektif tertentu dan kecenderungan ini mengganggu keupayaan seseorang untuk menjadi objektif dan tidak prejudis. Heuristika kadangkala membawa kepada kesilapan dan bias yang bersistematik. Biasa selalunya terbit daripada heuristika representatif dan heuristika ketercapaian. Contoh bias representatif yang ada dalam kehidupan sekarang ini ialah persepsi seorang ibu untuk memilih lelaki yang bakal menjadi suami kepada anak perempuannya. Jika terdapat dua calon; seorang mempunyai motosikal dan seorang lagi mempunyai kereta. Sudah tentunya si ibu gadis tersebut mempunyai tanggapan bahawa lelaki yang menaiki motosikal tidak mempunyai masa depan dan akhlak yang kurang baik berbanding calon lelaki yang mempunyai kereta. Tanggapan buruk ini timbul kerana orang ramai memandang rendah mereka yang menaiki motosikal dan digelar mat rempit seterusnya mempengaruhi keputusan yang akan dibuat oleh ibu gadis tersebut untuk memilih lelaki yang mempunyai kereta yang dianggapnya lebih baik. Berbeza pula bagi contoh bias ketercapaian. Keputusan bias selalunya dibuat berdasarkan apa yang tersedia dalam minda seseorang . Contoh yang paling mudah difahami seperti seseorang yang selalu pulang ke kampung halaman dengan menaiki bas persiaran namun ditakdirkan suatu hari bas yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan tetapi dia selamat dalam kemalangan tersebut. Selepas dari kejadian itu dia tidak lagi menggunakan pengangkutan bas untuk pulang kerana ingatannya tentang kemalangan itu masih menghantui fikirannya dan menganggap keselamatannya tidak terjamin sekiranya dia menaiki bas.
Jenis-jenis bias yang lain ialah seperti;
1)      Bias terlalu yakin- begitu mempercayai kebolehan diri dalam membuat keputusan.
2)      Bias tersangkut- menggunakan maklumat awal sebagai asas membuat keputusan.
3)      Bias pengesahan- menggunakan fakta yang hanya menyebelahi keputusan kita.
4)      Bias peningkatan komitmen- walaupun terdapat maklumat yang negative, keputusan dilakukan kerana terdapat peningkatan komitmen.
Terdapat satu istilah yang menarik perhatian saya dalam cabang bias ini iaitu 'groupthink'. Ia bermaksud kecenderungan untuk sesuatu kumpulan untuk berfikir secara seragam dan sebarang idea yang bertentangan tidak akan dilayan sebaliknya akan diperlekehkan. Selalunya keputusan ini dipengaruhi individu penting walaupun maklumat yang bertentangan itu lebih tepat. Situasi ini selalunya terjadi dalam mesyuarat sesuatu organisasi atau pimpinan yang besar. Sehingga ini sahaja ulasan kuliah saya untuk LJ03 Kemahiran Membuat Keputusan.  Akhir kata, selamat membuat keputusan semua!

No comments:

Post a Comment