Saturday, October 22, 2011

A134527 Mohd Amirul Shafiq Bin Shafiee LJO5 Ujian Personaliti

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.  Telah masuk minggu keenam  perkuliahan dan ini merupakan jurnal pembelajaran kelima yang ditulis. Ini juga adalah jurnal pembelajaran terakhir untuk kursus ini.
           
Untuk minggu ini, topik yang dibincangkan agak menarik. Topik minggu ini adalah Personaliti Dan Emosi. Sebelum itu, apakah itu personaliti? Personaliti adalah corak dalam pemikiran, perasaan dan perlakuan yang membentuk diri individu tersebut. Personaliti seseorang  dapat dilihat menggunakan Myers-Briggs Type Indicator(MBTI).  MBTI adalah satu kaedah untuk mengkaji personaliti seseorang yang diilhamkan oleh seorang pakar psikiatri yang berasal dari Switzerland iaitu Carl G. Jung.  Carl G. Jung  berpendapat bahawa tingkahlaku manusia adalah bukannya rawak, malah boleh dijangka dan boleh dikelaskan. Pada masa yang sama Katherine Briggs telah membangunkan kaedah pengkelasan personaliti dan meneruskan kajian-kajian Carl G. Jung. Anak perempuan Katherine, Isabel turut terlibat dalam kajian tersebut untuk  mengkaji perbezaan antara individu dengan individu lain selama dua puluh tahun. Akhirnya, pada tahun 1942, Isabel  telah membangunkan satu kaedah soal selidik yang dapat mengkaji  personaliti yang juga dikenali sebagai MBTI.
            
MBTI mengkelaskan personaliti manusia kepada 16 kumpulan yang mana setiap kumpulan merupakan kombinasi daripada 4 jenis kriteria. Kriteria-kriteria tersebut adalah jenis interaksi sosial, keutamaan kaedah dalam mengumpul maklumat, keutamaan dalam membuat keputusan dan gaya dalam membuat keputusan. Dalam kuliah minggu lalu, Dr Zamri telah meminta  kami menjawab beberapa soalan dan jawapan soalan-soalan tersebut menjurus kepada personaliti kami.  Selepas menjawab soalan-soalan tersebut, saya tergolong dalam kumpulan personaliti ISFJ.
            
Apa itu ISFJ? Seperti yang dinyatakan secara ringkas sebelum ini, kumpulan personaliti terdiri daripada kombinasi 4 kriteria. Kriteria tersebut boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

         1. Jenis interaksi sosial - Extrovert(I) atau Introvert(E
         2. Keutamaan dalam pengumpulan data - Sensing(S) atau Intuitive(N)
         3. Keutamaan dalam membuat keputusan - Feeling(F) atau Thinking(T)
         4. Gaya membuat keputusan - Perceiving(P) atau Judging(J)
 
            Untuk kriteria pertama, seseorang yang bersifat 'introvert' lebih selesa untuk bersendirian, bekerja di belakang tabir, dan agak susah untuk mengubahsuai keputusan untuk memenuhi kehendak luar. Manakala seseorang yang bersifat extrovert pula selesa untuk mengambil tugas yang terdedah dengan persekitaran yang luas dan bersedia untuk mengubah keputusan untuk memenuhi kehendak luar. Untuk kriteria yang kedua, dalam pengumpulan data, individu yang bersifat 'sensing' mengumpul data dengan menggunakan 5 deria yang ada manakala individu yang bersifat 'intuitive' pula menggunakan 5 deria tersebut dan naluri dalam mengumpul data. Contohnya dalam kuliah yang lalu, Dr  Zamri telah menayangkan gambar sebuah cawan kertas dan meminta kami untuk menghuraikan gambar tersebut. Individu yang bersifat 'sensing' akan menggambarkan cawan tersebut berdasarkan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada gambar cawan tersebut contohnya warna, bentuk dan corak yang terdapat pada cawan tersebut. Namun ada di antara kami yang dapat menghuraikan cawan tersebut dengan lebih mendalam dan menjadikan cawan tersebut sebagi satu elemen personifikasi. Individu sebegini mempunyai ciri 'intuitive' dalam mengumpul data.
           
Seterusnya, untuk kriteria yang ketiga, individu yang bersifat 'feeling' akan membuat keputusan demi kebaikan semua pihak. Individu yang bersifat sebegini akan menggunakan nilai dan moral sebagi asas utama dalam membuat keputusan manakala untuk ciri 'thinking' pula, individu sebegini akan menggunakan logik dan fakta sebagai asas utama. Selain itu, individu yang bersifat 'sensing' akan mementingkan keharmonian dalam sesuatu kelompok dan mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang konflik berlawanan pula dengan individu yang berciri 'thinking' yang menganggap konflik merupakan perkara biasa dalam kehidupan malah dirasakan perlu untuk memajukan diri. Untuk kriteria yang terakhir, individu yang bersifat 'judging' dikatakan lebih sistematik dan lebih tersusun. Hal ini kerana, individu yang berciri sebegini mempunyai perancangan yang lengkap dan akan cuba sedaya upaya untuk mengikuti perancangan tersebut dan tidak fleksibel jika berlaku sebarang perubahan terhadap perancangan tersebut. Berbeza dengan individu bersifat 'perceiving' yang lebih fleksibel terhadap sebarang perubahan yang berlaku dalam perancangan awal. Selain itu, seorang 'perceiver' juga tidak selesa terikat dengan arahan khusus dan tarikh akhir.
           
Dalam setengah jam terakhir kuliah minggu lalu, Dr Zamri telah meminta kami untuk duduk di dalam kumpulan yang mempunyai personaliti yang sama dan berbincang tentang persamaan nyata yang ada pada kami. Dalam kumpulan personaliti ISFJ,  antara persamaan yang berjaya kami kenal pasti dalam tempoh masa yang singkat itu adalah kami suka bergerak dan bertindak berdasarkan jadual. Selain itu, kami juga lebih selesa bergaul dengan orang-orang yang betul-betul dikenali dan kami mudah untuk mengikut keputusan majoriti dan mengenepikan kepentingan sendiri dalam membuat keputusan
            
Sekian saja untuk jurnal pembelajaran kursus Kemahiran Membuat Keputusan yang terakhir ini. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment