Saturday, October 1, 2011

A133740 LJ02 Nurhidayah Binti Mohd Darunai ~ Model Membuat Keputusan

Semangat untuk meneruskan pembelajaran kemahiran membuat keputusan makin berlipat ganda walau jumlah pelajar semakin berkurang. Mungkin mereka merasa satu bebanan untuk membuat journal pada setiap minggu atau mereka ada sebab tersendiri. Pada mulanya saya pun berasa demikian tetapi setelah saya menghantar tugasan journal pertama saya tidak lagi merasakan ianya sebagai satu beban malahan saya pasti inilah masanya untuk saya kembali berjinak dalam penulisan setelah dua tahun meninggalkannya. Semagat itu makin berkobar-kobar dalam diri saya dan saya berharap akan terus kekal sampai bila-bila bukan hanya pade kursus ini sahaja tetapi untuk semua bidang.

Kali ini saya akan membawa anda sekalian mengetahui lebih lanjut berkenaan kemahiran membuat keputusan. Bukan hanya baju, rumah dan orang sahaja yang ada model tidak terkecuali juga dalam membuat keputusan kita ada model yang tersendiri. Dengar sahaja perkataan model saya terfikir perkataan yang sama erti dengannya iaitu contoh, panduan dan petunjuk. Setiap perkara dalam kehidupan kita mesti ada contoh barulah senang dan lebih mudah untuk kita meneruskan aktiviti apabila ada contohnya. Terdapat tiga model yang biasa diguna pakai dalam membuat keputusan iaitu model klasikal, pentadbiran dan politikal. Model tersebut digunakan berdasarkan jenis keputusan sama ada diprogramkan atau tidak diprogramkan dan mengikut ciri-ciri seperti tahap risiko, kekaburan dan ketidakpastian (hasil bacaan dalam nota tambahan Dr. Zamri).

Model Klasikal adalah satu proses rasional dimana pembuat keputusan memaksimumkan peluang mencapai objektif, menimbang semua alternatif, meneroka semua akibat seterusnya membuat keputusan yang terbaik. Bagi saya, model klasikal adalah model yang paling ideal sekali berbanding dengan model pentadbiran dan politikal yang kita akan melihat perbandingannya selepas ini. Hal ini demikian kerana model klasikal sangat meneliti setiap aspek dan membuat kajian yang teliti sebelum sesuatu keputusan yang tebaik itu dibuat. Saya boleh berikan satu contoh untuk tampak lebih jelas dengan apa yang dimaksudkan sebagai model klasikal. Sebuah syarikat pembinaan ingin membina satu bangunan yang dapat menarik perhatian pelancong. Maka dengan itu, syarikat tersebut mestilah mengkaji kesesuaian bangunan dengan tapak pembinaan. Selain itu, memastikan adakah tempat itu strategik dan akan menghasilkan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Bahan binaan yang akan digunakan serta bentuk bangunan yang bagaimana akan menarik perhatian para pelancong kemudian disesuaikan pula dengan modal yang disediakan barulah keputusan dibuat setelah satu kajian teliti dilakukan. Ini bermaksud, model klasikal sangat penting terutamanya dalam organisasi ekonomi kerana segala perkara sudah dirancang dan amat berguna untuk keputusan yang bercirikan kepastian dan berisiko. Model klasikal dianggap sebagai "normatif", iaitu menyatakan bagaimana pembuat keputusan sepatutnya membuat keputusan. Ia lebih berdasarkan garis panduan yang diberi untuk keputusan yang lebih rasional.

Langkah membuat keputusan yang rasional iaitu pertama; mengenal pasti masalah, kedua; menjana penyelesaian yang bermaksud mencari pelbagai alternatif untuk menyelesaikan masalah, ketiga; memilih satu yang terbaik dari pelbagai alternatif, keempat; melaksanakan penyelesaian yang telah dipilih dan terakhir iaitu menilai keputusan yang telah dibuat sama ada baik dan memberi kesan atau sebaliknya.

Walaubagaimanapun, kerasionalan dalam membuat keputusan adalah sukar dicapai dalam kehidupan manusia sebab manusia akan mengalami proses kerasional terbatas dalam membuat keputusan seperti yang ditulis oleh Herbert Simon merupakan seorang ahli teori membuat keputusan yang mendapat Hadiah Nobel pada tahun 1978.

 "The human being striving for rationality and restricted within the limits of his knowledge has developed some working procedures that partially overcome these difficulties. These procedures consist in assuming that he can isolate from the rest of the world a closed system containing a limited number of variables and a limited range of consequences."  

Terjemahannya: "manusia yang berusaha untuk rasional dan terhad dalam had pengetahuan beliau telah membuat beberapa prosedur kerja yang sebahagiannya mengatasi kesukaran. Prosedur ini terdiri dalam menganggap bahawa dia boleh mengasingkan dari seluruh dunia satu sistem tertutup yang mengandungi bilangan pemboleh ubah yang terhad dan pelbagai akibat yang terhad."

(sumber bacaan http://en.wikipedia.org/wiki/Herbert_Simon)

 Model seterusnya adalah model pentadbiran yang merupakan keputusan yang tidak diprogramkan hasil daripada kekaburan dan ketidakpastian. Terdapat dua konsep untuk membentuk model tersebut iaitu 'satisficing' dan rasional terbatas.  Satisficing bermaksud puas hati atau diertikan sebagai penyelesaian alternatif pertama yang memenuhi ciri-ciri minimum. Lawan bagi satisficing adalah 'maximising' yang amat dititikberatkan oleh Dr. Zamri dalam perkuliahan beliau. Saya berpendapat perkara ini amat ditekankan supaya para pelajar faham dan jelas tiada kekliruan yang berlaku untuk membezakan 'satisficing' dan 'maximising'. Comtoh bagi keadaan satisficing seperti budak A mahu membeli telefon bimbit yang berkamera. Dia pergi ke kedai telefon kemudian bertanya pada tuan kedai supaya menunjukkn telefon yang berkamera. Tanpa berfikir panjang dan melihat pilihan yang lain maka budak A tersebut terus sahaja membelinya. Kita masih menggunakan keadaan yang sama tapi situasi yang berbeza untuk perbandingan. Budak A mahu membeli telefon berkamera dan beliau melihat semua jenis telefon berkamera yang ada di  kedai tersebut. Setelah penelitian dilakukan barulah beliau membuat keputusan untuk membeli telefon yang mana satu dilakukan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa 'maximising' adalah satu keadaan di mana pembuat keputusan membuat pilihan yang terbaik setelah mendapat beberapa alternatif pilihan yang lain manakala satisficing keadaan membuat keputusan dengan maklumat, masa yang terhad dalam keadaan yang kompleks.  Rasional terbatas atau terikat pula adalah seperti yang telah dinyatakan oleh Herbert Simon.

 

Model pentadbiran adalah dianggap sebagai "deskriptif", iaitu yang menggambarkan bagaimana pengurus sebenarnya membuat keputusan dan bukannya bagaimana mereka sepatutnya lakukan. Model pentadbiran lebih realistik berbanding model klasikal. Contohnya, saya mahu ke kelas pada jam 8 pagi dan sepatutnya saya perlu menaiki bas jam 7.30 pagi. Tetapi saya telah terlepas bas jam 7.30 pagi dan bas seterusnya adalah pada pukul 8 pagi. Maka saya akan tiba 15 minit lewat dari waktu bermulanya kelas. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menaiki teksi yang pada masa itu ada berhampiran saya dan saya akan tiba ke kelas tepat pada jam 8 pagi. Bermaksud, saya tidak berfikir panjang hanya menggunakan penyelesaian yang ada di depan mata asalkan saya tiba tepat jam 8 pagi.  

 

Model yang ketiga adalah model politikal yang hampir menyerupai persekitaran sebenar dimana kebanyakan pembuat keputusan beroperasi. Keputusan yang dibuat adalah rumit dan melibatkan  ramai orang, maklumat selalunya kabur, dan percanggahan dan konflik melibatkan masalah dan penyelesaian adalah mennjadi kebiasaan. Saya sendiri kurang jelas dengan model yang ketiga ini. Tapi bila berkaitan dengan poliitik mestilah sesuatu yang sinonim dengannya adalah pakatan atau sokongan  orang ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Secara keseluruhannya, setiap model ada peranan dan kepentingannya tersendiri.

 "Membuat keputusan yang terbaik memerlukan daya fikiran yang kreatif dan kritis."   

No comments:

Post a Comment