Saturday, October 22, 2011

A134528 NAZRIN BIN NORDIN LJ05 THE PERFORMER

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Kini tibalah sudah minggu ke-6 sesi perkuliahan khursus Kemahiran membuat keputusan dan dan jurnal pembelajaran yang terakhir perlu saya siapkan. Sesungguhnya saya berasa bangga dapat menyiapkan semua jurnal pembelajaran saya dengan jayanya. Pada minggu ini, tajuk yang kami pelajari ialah personaliti dan tajuk ini sangat untuk dipelajari. Apakah itu personaliti? Satu takrifan ringkas, personaliti dapat membentuk corak pemikiran, perasaan, dan tingkah laku yang menjadikan seseorang itu unik. Di samping itu, personaliti terbit dari dalam individu dan masih agak konsisten sepanjang kehidupan. Personaliti merupakan bahagian yang paling penting dalam kehidupan psikologi seseorang individu dan personaliti ini dapat menunjukkan seseorang itu gembira, sedih, bertenaga atau acuh tak acuh, pintar atau membosankan. Menurut pendapat Mayer, personaliti dilahirkan menerusi pengaruhnya dalam badan, dalam minda sedar dan dalam tingkahlaku sosial seseorang.
Ketika kuliah hari isnin yang lepas, Dr. Zamri ada beri kepada kami 4 soalan bagi mengetahui personaliti kami dan daripada soalan tersebut kami dapat mengetahui personaliti masing-masing. Soalan-soalan yang diberikan oleh Dr. Zamri ini berdasarkan teori Myers-Briggs Type Indicator (MTBI) dan ia terbahagi kepada empat jenis personaliti iaitu:
1.      Introvert(I) dan Extravert(E)
2.      Sensing(S) dan Intuitive (N)
3.      Feeling(F) dan Thinking(T)
4.      Judging(J) dan Perceiving(P)
 
Bagi pengkelasan yang pertama iaitu Introvert(I) dan Extravert(E) merupakan cara bagaimana seseorang itu berinteraksi. Introvert ialah bagi mereka yang lebih suka bersendirian, lebih senang melakukan perkara seorang diri tanpa melibatkan ramai orang dan golongan ini selalunya pasif dalam kerja-kerja berkumpulan. Bagi extravert pula mereka lebih senang melakukan sesuatu perkara yang melibatkan interaksi dengan orang lain, tidak suka bersendirian dan tahap sosial nampak lebih tinggi berbanding golongan introvert kerana mereka perlukan seseorang atau kawan dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka juga selalunya bertindak dahulu sebelum memikirkan kesan melakukan sesuatu perkara.
Bagi pengkelasan yang kedua iaitu Sensing(S) dan Intuitive (N) merujuk kepada bagaimana manusia memproses data. Mereka yang tergolong dalam 'sensing' memberi tumpuan pada apa yang terbentang, mereka adalah golongan" here and now", yang menerima pakai maklumat yang bersifat fakta dan memprosesnya melalui lima deria dan mereka adalah pemikir yang konkrit. Bagi intuitive pula tumpuan mereka khusus pada masa depan dan kemungkinan yang akan berlaku. Mereka selalunya memproses maklumat melalui corak dan jejak dan membaca apa yang tersirat disebalik sesuatu perkara. Mereka ini adalah pemikir yang abstrak.
Bagi pengkelasan yang seterusnya iaitu Feeling(F) dan Thinking(T) merupakan cara bagaimana seseorang itu membuat keputusan. Thinking ialah bagi mereka yang objektif dan membuat keputusan berdasarkan fakta. Mereka selalunya membuat keputusan berdasarkan pemikiran berbanding perasaan dan menilai sesuatu perkara berdasarkan logik semata-mata. Berlainan pula bagi golongan 'Feeling', mereka  adalah subjektif dan membuat keputusan yang berdasarkan prinsip dan nilai-nilai. Mereka selalunya membuat keputusan dan menilai sesuatu perkara berdasarkan perasaan diri sendiri dan mengambil kira kesan kepada orang lain dengan mencapai kata sepakat. Golongan ini juga tidak gemar untuk menimbulkan konflik dalam membuat keputusan.
Pengkelasan terakhir ialah Judging(J) dan Perceiving(P). Kedua-dua ini merupakan gaya dalam membuat keputusan.  Judging merupakan golongan yang memberi keutamaan yang zahirnya dipaparkan. Judging tidak bermaksud "pertimbangan". Mereka lebih gemar akan perintah, organisasi dan berfikir secara berurutan. Selain itu, mereka suka kepada perkara-perkara yang dirancang dan diselesaikan. Berlainan pula dengan golongan perceiving,mereka merupakan orang yang fleksibel, suka memastikan pilihan mereka terbuka dan berfikir secara rawak. Mereka suka bertindak secara spontan dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Mereka juga boleh melakukan banyak perkara dalam sesuatu masa dan suka menyelesaikan sesuatu tanpa perancangan.
Selepas menjalani ujian yang dijalankan oleh Dr. Zamri, saya mendapat kombinasi ESFP iaitu Extravert, Sensing, Feeling dan Perceiving atau dikenali sebagai 'The Performer'. Antara ciri-ciri yang dimiliki oleh kombinasi ini ialah seseorang yang mudah bekerjasama, suka menikmati keseronokan dan suka pengalaman yang baru. Oleh kerana sifat mereka yang lebih gemar  bersosial, mereka sukakan  kemeriahan dan mudah menarik perhatian orang lain. ESFP juga kadangkala praktikal dan ini membolehkan kami menyelesaikan kerja-kerja dengan cekap dan sering menjadi penyelesai masalah yang baik. Dengan mengenali personality diri sendiri, saya dapat mengenal diri dengan lebih baik. Saya juga dapat menggunakan kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan diri dengan lebih senang. Sampai disini sahaja ulasan saya mengenai personaliti. Akhir kata, selamat membuat keputusan semua.

No comments:

Post a Comment