Wednesday, September 28, 2011

A131258, ROZAINI NOR BIN ROSTAMIZI, LJ02, SEMANGAT BARU

LJ O2 ( SEMANGAT BARU )

Pagi yang sangat kesejukan dan damai, namun aku tetap gigihkan diri ini menaiki keretaku untuk dipandu ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semata-mata menghadiri kuliah Kemahiran Membuat Keputusan. Aku tiba lewat 15 minit  kerana jalan raya yang sesak dipenuhi kenderaan-kenderaan lain. Maklumlah, perjalanan dari Shah Alam ke Bangi juga bukan memakan masa yang singkat. Minggu ini merupakan minggu ketiga aku menghadiri ke kuliah Kemahiran Membuat Keputusan. Namun demikian, minggu ketiga ini semakin ramai pelajar yang gugur akan subjek ini. Aku pun tidak tahu mengapa mereka yang gugur akan kursus ini membuat keputusan untuk tidak meneruskan pengajian subjek ini. Kemungkinan mereka semua telah berfikir semasak-masaknya sebelum mereka mengambil keputusan untuk gugur akan subjek ini.
            Aku tiba di dewan kuliah, pensyarah telah memulakan sesi pembelajaran. Pada awalnya, aku rasa agak kekaburan kerana aku tidak hadir kuliah pada hari Isnin disebabkan masalah-masalah tertentu. Apa yang aku sedia maklum, kuliah unutk minggu ini telah masuk tajuk kedua iaitu Model-Model Membuat Keputusan. Aku tidak dapat nak mengulas sesi pembelajaran pada hari Isnin kerana aku tidak dapat hadir ke kuliah pada hari tersebut. Namun, aku berusaha ingin berkongsi apa yang aku telah pelajari pada hari Selasa ini mengenai tajuk model-model membuat keputusan.
            Aku sempat mempelajari mengenai perbezaan diantara Satisficing dan Maximixing ketika hendak membuat keputusan. Satisficing lebih ringan jika hendak dibandingkan dengan Maximixing ketika hendak membuat keputusan. Hal ini demikian kerana, Maximixing memerlukan maklumat yang lebih tepat, pilihan inisiatif yang lebih banyak dan lebih teliti ketika hendak membuat keputusan. Berbeza dengan Satisficing dimana ia lebih ringan dan mudah ketika hendak membuat keputusan. Aku teringat  ketika aku kehilangan telefon bimbitku semasa berada di tingkatan 5. Aku rasa sangat terdesak hendak menggunakan telefon bimbit ketika itu kerana banyak kepentingan yang perlu aku lakukan dengan menggunakan telefon tersebut. Kebetulan pada ketika itu, aku tidak cukup wang ringgit untuk membeli henset yang mahal dan memenuhi keinginan aku. Aku membeli henset ala kadar di salah sebuah kedai alat telekomunikasi tanpa banyak berfikir kerana desakan yang tinggi untuk menggunakan telefon bimbit. Situasi yang pernah aku alami ini boleh dikira sebagai mengambil keputusan secara Satisficing kerana aku cuma membuat keputusan tanpa berfikir panjang dan ala kadar sahaja.
            Setelah itu, aku telah mempelajari tiga model dalam membuat keputusan, iaitu, Model Klasik, Model Pentadbiran dan Model Politikal. Apa yang telah aku pelajari mengenai Model Klasikal adalah keputusan yang logikal untuk meningkatkan ekonomi sesuatu organisasi. Dalam membuat sesuatu andaian, matlamat pembuat keputusan mestilah diketahui dan dipersetujui. Selain itu, pembuat keputusan juga mestilah berusaha mengumpul maklumat dengan lengkap agar dapat mewujudkan kepastian sesuatu keadaan. Kriteria dalam menilai alternatif juga mestilah diketahui agar dapat membuat keputusan dengan jelas serta tepat. Aku tertarik akan pandangan yang diberikan oleh rakan sekuliah ku, Nadiah ketika mengemukakan contoh situasi mengenai Model Klasik. Beliau melontarkan pandangan mengenai seorang Perdana Menteri yang ingin membentangkan bajet belanjawan. Membentangkan bajet belanjawan mestilah mengandungi fakta dan setiap fakta tersebut seharusnya dikaji terlebih dahulu agar dapat membuat keputusan yang paling tepat.
            Berbeza pula dengan Model Pentadbiran yang telah aku pelajari. Dua konsep yang berkaitan dengan Model Pentadbiran adalah kerasionalan terikat ( Bounded rationality ) dan Satisficing. Kerasionalan terikat bermaksud terdapat had serta kekangan sejauh mana seseorang boleh bertindak secara rasional, manakala satisficing memberi makna alternatif pertama yang memenuhi keperluan minima dipilih. Contoh model pentadbiran yang ingin aku kaitkan dengan pengalaman hidupku adalah, semasa aku berada di bangku sekolah tingkatan empat. Semasa itu, aku dilantik menjadi Pengerusi bagi Kelab Koperasi Sekolahku. Suatu hari itu, aku dilantik untuk mengurus suatu pogram besar di sekolahku sempena hari Koperasi peringkat sekolah. Sewaktu majlis pelancaran tersebut, aku tidak berapa sihat untuk meneruskan majlis perasmian itu sedangkan aku merupakan tulang belakang bagi pogram itu. Jadi, ketika itu anak-anak buahku terpaksa mengambil keputusan untuk meneruskan pogram tersebut tanpa aku di situ. Keputusan yang diambil oleh mereka juga ketika itu penuh berhati-hati serta berwaspada agar pogram dapat berjalan dengan lancar. Oleh itu, ini adalah antara situasi jelas yang boleh aku kaitkan dengan contoh Model Pentadbiran.
            Kuliah hampir tamat waktunya, diriku menggigil kesejukan kerana dek penghawa dingin dewan kuliah. Di akhir sesi perkuliahan, aku dan pelajar-pelajar lain telah dimaklumkan oleh pensyarah kami semua mengenai perbezaan diantara ketiga-tiga Model dalam membuat keputusan tersebut. Perbandingan yang dibuat meliputi lima aspek iaitu masalah serta matlamat, keadaan, maklumat bagaimana pilihan dibuat dan hasil daripada keputusan yang dibuat. Aku rasa bersyukur yang tidak terhingga kerana semakin hari aku mendalami subjek kemahiran membuat keputusan ini, aku semakin bijak dan berani dalam membuat sesuatu pilihan mahupun keputusan. Jam tepat menunjukkan pukul 10 pagi. Semua pelajar bersurai dan aku terus bergegas ke kelas seterusnya di Fakulti Pengajian Islam.

No comments:

Post a Comment