Tuesday, September 27, 2011

A134528 NAZRIN BIN NORDIN LJ02 MODEL

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Kali ini buat kali kedua nya saya menghasilkan jurnal pembelajaran Kemahiran Membuat Keputusan. 26 september jam 12 tengahari, kelas yang berlangsung di DK3F203 di bangunan FSSK merupakan kelas yang ke-3 buat saya pada permulaan hari ini. Terasa agak sedikit keletihan kerana kelas saya telah pun bermula sejak jam 8 pagi lagi sehinggalah perkuliahan KMK. Walaupun terasa keletihannya namun saya membuat keputusan untuk terus gagah dalam meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu ini. Dalam perkuliahan ini saya perasan satu kelainan iaitu semakin kurang pelajar yang datang kuliah pada kali ini. Mungkin mereka menggugurkan subjek ini kerana tidak sesuai dengan waktu jadual mereka atau kurang berminat dengan isi kandungan bagi khursus ini. Tidak pun mereka tidak mampu untuk menghasilkan jurnal pembelajaran bagi 5 minggu pertama. Yang pastinya mereka sudah tentu mempunyai sebab masing-masing itu mungkin keputusan yang terbaik bagi mereka. Namun begitu perkara ini tidak mengganggu fikiran saya untuk terus mengambil dan mendalami khursus KMK ini.
Pada sesi perkuliahan kali ini, tajuk besar yang kami pelajari ialah mengenai model-model yang ada dalam membuat keputusan. Secara jujurnya saya sendiri agak kabur dalam memahami apa itu sebenarnya model-model dalam membuat keputusan. Mengikut apa yang diterangkan oleh Dr. Zamri fungsi model ini adalah untuk memahami sesuatu perkara dan menerangkan perkara tersebut dalam membuat keputusan. Terdapat tiga jenis model dalam membuat keputusan ini antaranya ialah model klasik, model pentadbiran dan model politikal.
Sebelum kita pergi lebih jauh, seharusnya kita perlu memahami terlebih dahulu beberapa istilah seperti kerasionalan, kerasionalan terikat dan juga pendapat Herbert Simon. Mengikut pemahaman saya, kerasionalan itu bermaksud sesuatu yang boleh diterima akal dan logik. Tetapi ini berbeza dengan apa yang di terangkan oleh Dr. Zamri. Kerasionalan itu lebih kepada mempunyai pengetahuan dalam semua alternatif yang mungkin dan pengetahuannya lengkap mengenai akibat yang mengikut setiap alternatif. Keupayaan mengira bagi membandingkan akibat dan menentukan yang mana satu perlu diutamakan juga boleh dikaitkan dengan kerasionalan.  Dalam membuat langkah yang rasional, seseorang itu perlu mengenalpasti masalah, menjana penyelesaian, memilih jalan yang terbaik dan seterusnya melaksanakan penyelesaian tersebut. Namun selalunya langkah terakhir sekali iaitu menilai keputusan jarang sekali di lakukan. Kerasionalan terikat pula mewakili tanggapan bahawa pembuat keputusan dibatasi oleh pelbagai kekangan apabila membuat keputusan.  Batasan ini termasuklah pengaruh peribadi dan pengaruh luar yang mengurangkan kerasionalan dalam membuat keputusan. Pendapat Herbert Simon mengatakan
"The assumptions of perfect rationality are contrary to fact. It is not a question of approximation; they do not even remotely describe the process that human beings use for making decisions in complex situations"
Seterusnya simon mencadangkan bahawa membuat keputusan dapat dibuat dengan memproses maklumat yang terhad, penggunaan jalan pintas dan 'satisficing'. Dalam kuliah ini kami di tugaskan untuk membincang apa dimaksudkan dengan 'satisficing'. Rata-rata daripada kami mempunyai tanggapan bahawa 'satisficing' ini seperti kepuasan diri. Definisi yang lebih tepat ialah memilih penyelesaian yang memenuhi beberapa kelayakan minimum dalam kata lain hanya cukup makan.
Model pertama yang dibincangkan ialah model klasikal dimana pembuat keputusan beroperasi untuk mencapai matlamat yang diketahui dan dipersetujui.  Pembuat keputusan juga mempunyai maklumat yang lengkap, dapat menilai setiap alternatif yang dikenali dan keputusan yang dibuat lebih rasional menggunakan logik. Saya juga berusaha untuk memberi contoh seperti dalam usaha menghasilkan produk minuman baru. Maklumat yang lengkap perlu dicari dengan menjalankan survey bagi mengetahui kehendak pelanggan dari segi rasa, khasiat, rekabentuk botol dan sebagainya. Contoh yang terbaik yang dikemukakan oleh pelajar lain bagi model ini ialah perbentangan belanjawan oleh perdana menteri. Beliau seharusnya mengkaji dan menilai sesuatu sebelum menetapkan belanjawan pada sektor-sektor tertentu.
Model yang seterusnya ialah model pentadbiran. Model ini merupakan model yang saya tidak fahami sepenuhnya. Model ini menerangkan bagaimana keputusan dibuat dalam situasi yang kabur dan tidak ada kepastian. Terdapat dua konsep yang memainkan peranan penting dalam membentuk model ini; kerasionalan terikat dan 'satisficing'. Matlamat dalam model ini sering samar-samar, prosedur rasional juga tidak selalu digunakan.  Instuisi iaitu gerak hati juga digunakan dalam membuat keputusan berdasarkan pengalaman lepas. Model politikal merupakan model terakhir yang dipelajari. Model ini menyerupai suasana sebenar dan keputusan yang dibuat selalunya rumit berbanding model-model yang lain. Ini kerana masalah yang timbul banyak dan percanggahan pendapat bagi membuat keputusan sering berlaku dan percanggahan ini sudah dianggap normal. Pilihan dapat dibuat dengan mengadakan rundingan atau tawar menawar . Dalam proses membuat keputusan, pakatan tertentu juga kadang-kadang wujud secara tidak rasmi bergantung kepada matlamat tertentu yang sama diperjuangkan. Contohnya berlakunya bantahan oleh pihak tertentu dalam pembinaan kilang-kilang yang berdekatan dengan kawasan perumahan. Selalunya penduduk di kawasan berkenaan akan berpakat dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dapat membantu memperjuangkan usul-usul penduduk tersebut.
Di akhir kuliah saya mempelajari , bagaimana model-model yang ada ini dapat membantu dalam membuat keputusan yang baik. Pada pendapat saya, dalam membuat keputusan kita harus menggunakan pendekatan 'maximizing' berbanding 'satisficing' kerana 'maximizing ' menggunakan maklumat yang ada dengan selengkapnya seterusnya dapat menghasilkan pilihan yang lebih tepat. Akhir kata selamat membuat keputusan semua!

No comments:

Post a Comment