Saturday, September 24, 2011

A134167 Nor Adinah Mohamad Ali LJ01 Kemahiran dan Keputusan

Assalamualaikum dan salam sejahtera serta salam satu Malaysia saya ucapkan. Alhamdulillah kerana saya dapat menghadirkan diri untuk pertama kalinya ke kelas Kemahiran Membuat Keputusan pada 13 September 2011 lalu.

Sebelum memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran, Dr Zamri telah membuat satu aktiviti 'ice-breaking'. Disini saya ingin berkongsikan pengalaman dan pendapat saya tentang aktiviti ini. Kebiasaannya 'ice-breaking' ialah sesi memperkenalkan diri dengan memberitahu ahli kumpulan yang lain tentang latar belakang diri kita. Tapi Dr Zamri membuat sedikit kelainan. Dalam aktiviti ini, kami dikehendaki mengeluarkan sekeping kertas. Kami diberi masa dalam tempoh 15 minit untuk melukis gambar kita sendiri dengan menggunakan tangan yang kita jarang atau tak pernah guna untuk menulis atau melukis. Bagi mereka yang biasa menggunakan tangan kanan seperti saya, mereka hendaklah melukis menggunakan tangan kiri. Begitu juga dengan sebaliknya. Bagi saya, melukis dengan menggunakan tangan kiri adalah tidak sepantas dengan melukis menggunakan tangan kanan. Daripada aktiviti ini, saya mendapat sedikit pengajaran. Saya tak dapat bayangkan, bagaimana orang-orang yang kurang upaya seperti tiada tangan, boleh melukis dengan baik dengan hanya menggunakan kaki. Jadi, kita sebagai insan sempurna tiada kecacatan haruslah bersyukur kerana kita masih mempunyai tangan untuk melakukan sebarang aktiviti.

Selain itu, di atas kertas yang dilukis dengan gambar kami itu juga, Dr Zamri meminta kami menulis sedikit informasi tentang kami seperti nama fakulti, asal, jawatan yang dipegang di UKM dan juga keistimewaan. Kami  agak pelik kenapa Dr Zamri suruh buat demikian. Setelah masa yang diberi telah tamat, kami diminta untuk menghantar kertas tersebut kepadanya dan kami diminta untuk ke hadapan untuk mengambil kertas pelajar-pelajar yang lain secara rawak. Oleh yang demikian, kami diminta untuk mencari pelajar berdasarkan informasi dan lakaran wajah pelajar berdasarkan kertas yang diberi. Daripada aktiviti ini, dapatlah kita berkenalan bersama pelajar-pelajar lain dengan bertanyakan soalan seperti apa yang kita tulis diatas kertas tersebut. Setelah semua identiti dikenalpasti, Dr Zamri dapat berkongsikan sedikit keistimewaan pelajar-pelajar lain. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan di kalangan pelajar kursus KMK.

Sebelum memulakan sesi pengenalan kepada Kemahiran Membuat Keputusan, kami mengadakan sedikit perbincangan tentang kefahaman kita tentang membuat keputusan. Di sini, saya bahagikan kefahaman membuat keputusan kepada tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas.
i)                Sebelum
-        Cari maklumat
-        Pendapat orang lain
-        Banyak pilihan
-        Dilemma
 
ii)              Semasa
-        Yang terbaik
-        Yakin
-        Tidak boleh berpatah balik
 
iii)            Selepas
-        Tawakkal
-        Jangan merungut
-        Buat yang terbaik
 
Terdapat pelbagai jawapan yang boleh diberi dengan definisi membuat keputusan. Menurut Massie (1987), membuat keputusan ialah tindakan yang diambil secara sedar dari pelbagai alternative dengan tujuan mencapai hasil yang diharapkan. Menurut Koontz&Dannel (1978) pula, membuat keputusan ialah aktiviti pemilihan dari pelbagai alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan.

Membuat keputusan juga terdapat dalam beberapa situasi.
i)                Situasi mudah – situasi yang tak memberikan apa-apa kesan
ii)              Situasi sederhana
-        Contoh : pilih bekerja atau sambung belajar. Pelajar-pelajar lepasan diploma menghadapi masalah untuk membuat keputusan sama ada mahu bekerja atau sambung ke peringkat ijazah.
iii)            Situasi rumit
-        Contoh : ingin membuka kampus cawangan
 
Bagaimana pula dengan ciri-ciri membuat keputusan? Bagi saya dan apa yang dapat saya fikirkan terdapat banyak ciri-ciri membuat keputusan. Antaranya yakin, jangan merungut, rasional dan jangan takut. Tapi lain pula apabila Dr Zamri membincangkan topik ini.
Antara ciri-ciri membuat keputusan :
i)                Merupakan satu proses
ii)              Pemilihan yang sengaja dan reflektif
iii)            Mencipta sesuatu ketentuan atau pendapat
iv)             Memerlukan penelitian dan pengetahuan yang mendalam
v)               Pemilihan pelbagai alternative

Daripada ciri-ciri tersebut, apakah yang menjadikan keputusan yang baik? Jawapannya adalah pengalaman, kecekapan, ketepatan maklumat dan analisa yang betul. Jika kita mempunyai pengalaman ataupun kita minta pandangan dari mereka yang lebih berpengalaman dalam sesuatu bidang, insya Allah keputusan yang kita ambil itu adalah tepat. Begitu juga dengan ketepatan maklumat dan analisa yang betul. Jika kita mendapat maklumat yang benar dan membuat kaji selidik dengan baik, kita mungkin akan membuat keputusan yang bijak.

Pengurusan keputusan pula dibahagikan kepada dua.
i)                Keputusan yang diprogramkan
 situasi yang kerap berlaku dan panduan dibuat untuk atasi masalah
- dibuat sebagai respon kepada masalah yang sering berlaku
 
ii)              Keputusan yang tak diprogramkan
-        Dibuat sebagai respon kepada situasi yang unik,sukar dan sebahagian besar tidak berstruktur.
-        Kebanyakan melibatkan perancangan strategic.
 
Perbezaan antara kedua-dua keputusan ini adalah berdasarkan 4 jenis element iaitu kepastian, risiko, ketidakpastian dan ketidakjelasan. Kepastian bermakna bahawa segala maklumat yang mana pembuat keputusan perlu adalah boleh didapati sepenuhnya. Risiko pula satu keputusan yang jelas matlamatnya dan penerangan sedia ada sangat baik, tetapi masa depan dikaitkan dengan tertakluk pada nasib. Ketidakpastian ialah pembuat keputusan tahu yang mana matlamat mereka mahu capai, tetapi maklumat tentang alternatif dan peristiwa masa depan tidak lengkap. Ketidakjelasan adala situasi yang paling sukar, ketidakjelasan bermaksud matlamat yang hendak dicapai adalah tidak jelas.

Di sini, saya ingin berkongsikan sedikit perumpamaan yang berkaitan dengan membuat keputusan.
  1. sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
  2. ditelan mati emak, diluah mati bapak
  3. nasi sudah menjadi bubur
 
Kesimpulannya, dalam kehidupan seharian, kita akan menghadapi situasi untuk membuat keputusan. Jadi kita haruslah membuat langkah yang bijak agar keputusan yang kita buat adalah terbaik buat diri kita. Memang tidak dapat saya nafikan, kadang kala saya akan membuat keputusan terburu-buru tanpa memikirkan baik buruknya pada masa akan datang dan saya juga pernah hadapi situasi dimana saya harus membuat keputusan yang bijak. Sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke matrikulasi dalam aliran sains fizikal ataupun memilih untuk pergi ke program diploma dalam pengajian yang memang saya minati iaitu sains statistik di UiTM. Setelah saya meminta pendapat dan mendapatkan maklumat, akhirnya saya memilih untuk pergi ke matrikulasi. Dan ternyata, keputusan yang saya ambil adalah tepat. Kerana selepas tamat program matrikulasi saya Berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang telah saya lepaskan dahulu.  Sekurang-kurangnya saya dapat menjimatkan masa untuk melanjutkan pengajian ijazah saya. Oleh itu, saya berharap agar penyertaan saya dalam kelas Kemahiran Membuat Keputusan ini akan memantapkan lagi kemahiran saya untuk membuat keputusan dalam pelbagai aspek dari segi waktu, masa, tempat dan situasi keadaan juga.
 
Sekian dari saya untuk jurnal KMK yang pertama ini. 

No comments:

Post a Comment