Saturday, September 24, 2011

A134517 Nur Aqilah Syazwani Binti Mohd Nor LJ01 Diari Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Salam Aidilfitri kepada Dr. Zam dan rakan-rakan kuliah Kemahiran Membuat Keputusan untuk semester ini.  Pada hari Selasa dua minggu lepas adalah kuliah pertama yang saya hadiri dan saya amat menyukainya. Dr. Zam merupakan seorang pensyarah yang membuat saya berasa selesa dan tidak terpaksa untuk mengikuti kursus ini.hehe.
Kuliah tersebut lebih kepada sesi 'brainstorming' iaitu perkara wajib dilakukan di dalam kelas baru dan rakan-rakan baru. Walaupun kebanyakkannya merupakan pelajar tahun 2 tetapi kami masih kelihatan seperti adik-adik tahun 1 yang malu-malu. Alhamdulillah, penerimaan semua orang amat memberangsangkan.
Aktiviti 'brainstorming' kami dimulakan dengan seni lukis. Dr. Zam mengkehendaki kami mengeluarkan sekeping kertas dan melukis wajah masing-masing. Pada mulanya, saya berfikir itu sesuatu yang terlalu biasa. Tetapi apa yang berbezanya adalah jika anda biasa menggunakan tangan kanan, anda harus melukis menggunakan tangan kiri. Begitu dengan sebaliknya. Ia nampak mudah tetapi payah. Melakukan sesuatu yang kita tidak pernah dan tidak tahu amat menguji kesabaran.
Selepas dikumpulkan, Dr. Zam mengagih-agihkan lukisan tadi secara rambang kepada semua pelajar dan kami mesti mencari pemilik wajah tersebut. Saya mendapat secebis kertas yang terdapat lukisan seorang lelaki berkepala botak, bermata bulat seakannya kartun 'Usop Santorian'. Lucu. Apabila saya meneliti  tulisan insan tersebut, secara automatiknya saya tahu, dia adalah seorang lelaki. Fakulti Pengajian Islam. Saya berpendapat dia mestilah memakai songkok atau kopiah dan selayaknya. Hebat bermain bola sepak. Sudah semestinya seorang lelaki sejati. Haha
Sesi cari-mencari bermula. Semua orang gigih bertanya sana-sini. Tidak kurang juga ada yang tampak segan untuk bertegur sapa. Saya mula melangkah ke arah seorang lelaki berkopiah hijau lumut. Jejaka itu nampak mudah berbicara. Naluri saya kuat mengatakan, dia adalah orang yang saya cari seperti dalam lukisan.
"Ini awak punya?" saya memulakan perbualan. "Haah, saya punya." Dia tersenyum mengangguk. Alhamdulilah, mudah pencarian saya. Nik Muhammad Ikhwan atau lebih selesa dipanggil Wan. Berasal dari Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang. Setelah berkenalan serba sedikit, saya berlalu ke tempat duduk asal saya. Suasana masih hingar-bingar dek kalutnya sesi perkenalan ini. Jujur, saya berasa bebas dan tidak rimas seperti kursus-kursus yang lain. Rakan-rakan sekuliah juga amat terbuka dan ini amat memudahkan urusan kami.
Kemudian, Dr. Zam meneruskan kuliah kami selama dua jam itu dengan memberi pendahuluan tentang membuat keputusan. Apa itu membuat keputusan? Secara amnya, membuat keputusan adalah satu pilihan untuk mencapai matlamat. Membuat pilihan yang baik secara konsisten adalah kunci kejayaan dalam kehidupan. Kadangkala membuat keputusan adalah sesuatu yang sukar, maka elakkan dari mengambil keputusan secara terbu-buru. Membuat satu keputusan yang baik memerlukan kesabaran dan pemikiran yang berhati-hati.
Seterusnya, kami dikehendaki berdiskusi dalam kumpulan tentang membuat keputusan. Saya dan rakan saya telah mengelaskan tiga fasa atau proses dalam membuat sesuatu keputusan iaitu sebelum, semasa dan selepas membuat keputusan. Secara terperincinya, sebelum kita memutuskan untuk membuat keputusan terakhir, kita haruslah mencari maklumat dari sumber yang boleh dipercayai disamping bertanya pendapat orang lain. Contohnya kawan baik dan keluarga.
Ya, disebabkan terlalu banyak pilihan juga boleh membuatkan kita berasa dalam dilema dan berasa sangat tertekan. Namun, ada beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kita dalam membuat sesuatu keputusan. Misalnya emosi. Apabila seseorang itu berada dalam emosi yang tak stabil, dalam keadaan marah secara tak langsung, keputusan yang diambil turut terpengaruh. Selain itu, rakan sebaya dan masyarakat juga menyumbang kepada faktor-faktor mempengaruhi kita dalam membuat keputusan. Pendapat mereka ada sesetengahnya boleh diguna pakai dan ada juga yang tidak.
Dalam membuat keputusan, seseorang itu haruslah yakin dengan kata hati. Ini kerana, setelah itu tiada jalan kembali ke pangkal jalan. Redha dan tawakal kepada Tuhan disamping buat yang terbaik agar apa yang dipilih itu tidak sia-sia. InsyaAllah, semuanya akan berjalan dengan lancar.
Ciri-ciri yang diperlukan dalam membuat keputusan pula merangkumi:
  1. Rasional dalam berfikir serta mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
  2. Mengetahui punca masalah yang dihadapi.
  3. Bergantung pada jenis masalah dan sedar baik buruknya
  4. Mencari maklumat yang tepat.
Dalam kuliah ini juga, sempat saya belajar beberapa peribahasa dan bidalan-bidalan Melayu yang berkaitan dalam membuat keputusan. Antaranya :
  1. Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak ada gunanya.
Fikirkan masak-masak, sebelum berbuat sesuatu supaya jangan menyesal. 
 
  1. Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Keadaan yang amat serba salah.
 
  1. Nasi sudah menjadi bubur.
Sudah tidak dapat diubah lagi.
 
  1. Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
 
Untuk kuliah seterusnya pada hari Isnin yang lepas, kami meneruskan kuliah dengan membuat kuiz. Alhamdulillah, walaupun tidak lah mendapat markah yang penuh, tapi cukup memberangsangkan. Di dalam kuiz ini, saya telah belajar untuk membuat keputusan dengan teliti. Misalnya, ketika memilih jawapan untuk soalan berkenaan  pepatah Massie(1987), Koontz dan Dannel (1078). Ini kerana, jika kita tisak perhati dengan teliti, memilih jawapan yang betul, kita akan terkeliru dan akhirnya salah memilih jawapan.
Kemudian, kami meneruskan kuliah berkenaan situasi membuat keputusan. Di dalam pembelajaran ini, terdapat tiga jenis situasi dalam membuat sesuatu keputusan. Pertama, situasi mudah. Contohnya, memilih pakaian. Saya merupakan seorang yang tidak cerewet dalam pemakaian. Cukuplah dengan selipar kesayangan saya. Apa-apa pun boleh dipakai. Cuma, saya amat sukar membuat pilihan jika hendak bersiar-siar ke tempat formal dan ke rumah terbuka.
1)   Nak pakai seluar jeans dengan t-shirt. Macam sempoi sangat pula.
2)   Baju kurung? Euwwwwwww. Nanti semua simple, aku pula over.
Kedua, situasi sederhana. Misalnya, membuat pilihan untuk ke kolej atau universiti. Hal ini berlaku kepada saya. Ketika itu, saya sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara di utara tanah air. Keluarga saya memberitahu yang saya telah mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Melaka iaitu kolej pilihan pertama saya. Setelah membuat persiapan dan saya sendiri dijadualkan keluar serta tamat latihan awal, saya mendapat kejutan. Tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat asasi di Universiti Malaya. Ini merupakan sesuatu yang tidak saya jangka langsung. Setelah timbang baik-buruk dan bertanya kepada mereka-mereka yang berkenaan, saya membuat keputusan untuk merasai kehidupan seorang mahasiswi di Universiti Malaya selama setahun.
Ketiga adalah situasi rumit. Seperti yang Dr. Zam terangkan. Antara contoh untuk situasi rumit adalah apabila seorang menteri ingin membina sebuah hospital. Untuk menjalankan projek ini, pelbagai aspek perlu diberi pemerhatian yang cukup cekap dan teliti. Jika tidak, rugi dan sia-sia sahajalah pelaburan yang kerajaan telah laburkan.
Seterusnya merupakan ciri-ciri dalam membuat keputusan.. Terdapat 4 isu utama dalam penyenaraian ini iaitu pertama, jenis keputusan bergantung kepada jenis masalah. Kedua, Tiada satu keputusan muktamad dalam menyelesaikan segala jenis masalah. Ketiga, pengumpulan maklumat secara tepat. Dan akhir sekali, punca masalah biasanya diluar kawalan si pembuat keputusan dan pentingnya sesebuah kreativiti agar kemelut masalah boleh ditangani dengan bijak.
Dalam membuat keputusan, ada dua jenis kategori iaitu Keputusan diprogramkan dan keputusan yang tidak diprogramkan.  Perbezaan antara keduanya bergantung kepada empat cirri utama iaitu  certainty, risk,uncertainty dan ambiguity.
Kuliah seterusnya akan disambungkan berkenaan bab 2. Kesimpulannya, saya berpuas hati denga kursus ini buat dua minggu pertama ini.:D
 
 
 

No comments:

Post a Comment