Sunday, October 23, 2011

A132008, NADIA BT PURI, PERSONALITI = ISFP

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t,
Selamat bertemu kembali ke penulisan jurnal KMK edisi kelima yang mana ini adalah penulisan jurnal saya yang terakhir. Ya, seperti anda semua, penulisan jurnal yang kelima adalah tugasan terakhir untuk kita semua. Oleh itu, marilah kita lakukan yang terbaik untuk penulisan yang terakhir ini. Begitu juga dengan jurnal saya yang terakhir ini, saya sertakan satu tayangan video yang agak menarik agar anda lebih mudah memahami tajuk 'Personaliti' pada minggu ini. Sila lihat video di atas ya….
Kita teruskan kepada topik utama penulisan iaitu ulasan kuliah. Kuliah pada minggu ini adalah berkaitan dengan personaliti. Fungsi personaliti individu yang akan menentukan bagaimanakah sesuatu keputusan dapat dilakukan. Perbincangan tentang topik personaliti telah membawa kami untuk menjawab beberapa persoalan. Dr Zamri menerangkan bahawa jawapan kepada soalan-soalan tersebut akan memberi gambaran kepada personaliti individu. Ketika itu, terdetik di fikiran saya mengapakah perbincangan tentang personaliti tidak diletakkan sebagai topik terawal kuliah. Ini kerana, dengan mengetahui personaliti masing-masing, ia dapat membantu inidividu untuk lebih memahami tentang konsep-konsep taktikal dalam membuat keputusan. Malah, dalam beberapa hal berkenaan kemahiran Insaniah, personaliti adalah perkara utama yang akan dibincangkan terlebih dahulu. Justeru, dalam memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang diutarakan Dr Zamri, fikiran saya masih 'teragau-agau' dengan persoalan tentang topik yang manakah harus didahulukan dalam subjek KMK. Apakah saya akan dapat mengetahui releven persoalan saya ini? Saya akan beritahu anda pada penghujung penulisan ini.
Berbalik kepada penceritaan saya tentang soalan-soalan personaliti tadi, setelah diadakan sesi perbincangan, Dr Zamri cuba memberi bayangan kepada kami tentang konsep  MBTI yang digunapakai untuk menguji personaliti individu. Istilah MBTI (Myers-Briggs Type Indicator) agak asing bukan? Namun, Dr Zamri menegaskan bahawa dengan menggunakan konsep MBTI kita akan mengetahui beberapa ciri-ciri personaliti diri dan menghubungkaitkannya dengan kemahiran membuat keputusan. Sesuatu yang agak mudah didengari tetapi sukar untuk difahami bukan? Tapi, hati ini meyakini kata-kata Dr Zamri bahawa setelah memahami apakah yang dinamakan kosep MBTI, kami pasti akan berpuas hati dengan hasilnya nanti.
Keesokan harinya, sepertimana yang dijanjikan oleh Dr Zamri untuk kuliah yang seterusnya, kami diberi penerangan yang lebih jelas tentang konsep MBTI. Jika kita ingin memahami dengan lebih mudah, saya akan gambarkan bentuknya adalah seperti berikut:
LANGKAH 1: Terdapat empat bentuk soalan yang anda perlu dapatkan jawapan yang paling tepat. Setiap   soalan akan mewakili 1 huruf yang berlainan.
Soalan 1-Interaksi Sosial individu à Extrovert (E)  /  Introvert (I)
Soalan 2 –Cara penilaian untuk mendapatkan maklumat à  Sensing (S) /   iNtuitive (N)
Soalan 3- Cara penilaian dalam membuat keputusan à Feeling (F) /  Thinking (T)
Soalan 4- Cara membuat keputusan à Perceptive (P) / Judgment (J)
 
LANGKAH 2: Tulis setiap huruf pangkal  yang menjadi jawapan anda. Ini bermakna akan ada 4 huruf mewakili 4 jawapan. Pastikan anda dapat 4 huruf yang di susun dari soalan yang pertama. Contohnya, ESFJ, ISFJ, ENTP, ESTJ dan sebagainya.
LANGKAH 3: Dengan melihat hasil keputusan susunan abjad, anda akan diberi beberapa klasifikasi yang akan menunjukkan apakah personaliti anda. Contohnya, ISFP adalah mewakili personaliti 'The Artist' manakala ESFP mewakili personaliti ' The Performer' dan juga pengelasan personaliti yang lain.(saya hanya nyatakan dua personaliti yang berkait rapat dengan diri saya sahaja)
LANGKAH 4: setelah mengetahui apakah huruf MBTI anda dan apakah kategori personaliti anda, anda perlu kaitkan hasil ujian personaliti tersebut dan kaitkan peranannya dalam mempengaruhi individu dalam membuat sesuatu keputusan.
CONTOHNYA ADALAH SEPERTI BERIKUT:
HASIL LANGKAH 1: Jawab soalan personaliti dan hasilnya adalah ISFP
HASIL LANGKAH 2: Suai padankan huruf MBTI dan kategori personaliti. ISFP = 'The Artist'
HASIL LANGKAH 3: Adakan perbincangan dengan rakan yang berada dalam kumpulan personaliti yang sama dengan anda. ISFP =(saya bersama Nurul Nadia dan Salwa). Fokus perbincangan adalah menyenaraikan apakah persamaan di antara 3 individu yang memiliki hasil MBTI yang sama.
HASIL LANGKAH 4: Hasil perbincangan adalah seperti berikut;
"Setelah berbincang dan menyuarakan pendapat masing-masing, kami bertiga sepakat untuk mengtakan bahawa ciri utama yang menjadi titik tolak persamaan kami adalah, KEBEBASAN. Kami amat mementingkan kebebasan dalam melakukan apa perkara sekalipun. Namun, kebebasan yang kami maksudkan masih berbentuk positif. Kebebasan yang kami mahukan bermaksud, contohnya dalam membuat apa-apa tugasan, kami lebih selesa untuk melakukannya sendirian. Kami tidak suka diatur-atur dan diarahkan sedemikian-sedemikian kerana kami merasakan kami tidak dapat mengaplikasikan daya kreativiti yang kami ada. Begitu juga dalam membuat keputusan. Kami lebih mudah untuk melakukannya secara bersendirian dan ini juga menunjukkan bahawa kami tidak mudah dipengaruhi orang lain. Malah tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa kami adalah individu yang tidak mementingkan pandangan orang lain terhadap diri kami. Walaubagaimanapun, kami adalah merupakan individu yang amat mementingkan keluarga berbanding rakan-rakan. Dalam membincangkan tentang perancangan, persamaan kami adalah kami tidak merancang dalam membuat sesuatu pekerjaan. Ya, mungkin kami merangka apakah yang harus kami lakukan pada hari tersebut. Namun, untuk melakukannya, kami amat bergantung kepada 'mood'. Justeru, mudah untuk dikatakan bahawa kami bukanlah seorang yang 'patuh' pada jadual. Seperkara yang penting, kami merupakan individu yang lebih cenderung untuk melakukan banyak perkara secara sendirian. Justeru, dalam membuat sesuatu keputusan, kami tidak memerlukan orang lain untuk membantu atau berkongsi pandangan dalam membuat sesuatu keputusan. Kami cenderung untuk melakukannya secara individu. Berkaitan dengan bagaimanakah golongan 'The Artist' membuat sesuatu keputusan, kami cenderung untuk menggunakan fungsi 'perasaan' berbanding fakta. Contohnya, dalam menilai antara pengalaman dan fakta, kami lebih banyak mengguna pakai kaedah 'feeling' dalam membuat sesuatu keputusan".
Kuliah pada hari itu diakhiri dengan setiap wakil kumpulan menyatakan hasil perbincangan masing-masing. Antara kategori personaliti yang agak menarik yang dibincangkan pada hari itu adalah 'The Visionary'. Ketika itulah, saya mula menyedari bahawa topik perbincangan tentang personaliti sebenarnya membantu kami untuk memahami lebih jelas tentang pelbagai teori kemahiran membuat keputusan. Betapa sebenarnya topik personaliti adalah antara criteria pembelajaran utama yang harus dikuasai oleh setiap pelajar. Tanpa mengetahui tentang teori kemahiran membuat keputusan, kita tidak akan dapat memahami apakah peranan personaliti dalam membuat keputusan. Kiranya benarlah perkiraan terma pembelajaran yang mendahulukan topik tentang teori-teori asas KMK terlebih dahulu, barulah diikuti oleh perbincangan personaliti. Akhirnya persoalan saya menemui jawapannya..
Perenggan terakhir penulisan jurnal ini, saya nukilkan bersama perasaan yang bercampur baur. Adakah saya benar-benar merasa lega kerana tidak perlu menulis jurnal lagi selepas ini, atau saya akan merindui masa-masa yang saya habiskan untuk menghasilkan penulisan KMK. Sebetulnya, penulisan jurnal adalah satu kaedah yang paling efisien jika kita ingin mengulangkaji kembali subjek yang telah dipelajari. Terima kasih kepada Dr Zamri kerana telah beri kesempatan kepada saya untuk merasai pengalaman pertama menulis jurnal secara rasmi. Suatu kelainan yang tidak dapat saya dapati pada subjek yang lain mungkin.
Akhir kata, saya berharap agar penulisan saya yang terakhir ini akan membawa manfaat kepada diri saya dan anda semuanya. Semoga penulisan  ini adalah ilmu saya yang akan sentiasa berpanjangan sebagai 'saham' saya di akhirat sana. Semoga ia menjadi suatu ilmu yang bermanfaat..mohon maaf atas segala salah silap sepanjang penulisan saya sekiranya berlaku kesalahan tanpa saya sedari. Semoga kita bertemu lagi di dalam wadah ilmu yang lain di masa akan datang.Wassalamualaikum w.b.t..

No comments:

Post a Comment