Saturday, October 1, 2011

A132343 Noor Adibah Binti Mohd Khair LJ02 Pilihan Terbaik

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur untuk meneruskan kehidupan kita. Bertemu lagi kita dalam pernulisan jurnalku yang kedua dalam minggu ketiga. Minggu ini Dr.Ahmad Zamri bin Mansor telah menerangkan kepada kami tajuk kedua dalam pembelajaran kursus kami iaitu model-model dalam membuat keputusan. Model-model ini berfungsi untuk memahami dan menerangkan sesuatu pekara dalam membuat keputusan. Ia juga merupakan satu tempat rujukan apabila kita perlu untuk membuat keputusan yang terbaik.
 
Menurut Dr. Zam sebelum kita memahami dan mendalami semua model-model membuat keputusan kita mesti memahami tiga perkara iaitu kerasionalan (rationality), kerasionalan terikat (bounded rationality) dan pendapat Herbert Simon iaitu seorang pakar membuat keputusan dan pemegang anugerah Nobel dalam bidang ekonomi atas penelitiannya tentang membuat keputusan pada bidang ekonomi. Pertama, bagi konsep kerasionalan (rationality), kita boleh andaikan bahawa pembuat keputusan mempunyai pengetahuan tentang setiap satu jalan penyelesaian, mengetahui sepenuhnya tentang kesan daripada pemilihan sesuatu alternatif dan dapat menilai kebaikan sesuatu alternatif itu berbanding alternatif lain.
 
Dr. Ahamad Zamri Mansor telah mengatakan bahawa antara langkah-langkah dalam membuat keputusan yang rasional ialah, pertama kita perlulah mengenal pasti masalah yang sedang kita hadapi (identify problem). Kedua adalah mencari jalan-jalan  penyelesaian yang mungkin boleh dilaksanakan (generate solutions). Langkah ketiga pula adalah memilih alternatif atau penyelesaian yang terbaik (select best solution). Seterusnya melaksanakan penyelesaian yang dipilih (implement solution) dan yang terakhir adalah menilai keputusan yang telah dilaksanakan (evaluate decision). Sebagai contoh, aku telah kenal pasti masalah yang aku hadapi di dalam kuliah matematik kewangan iaitu aku tidak dapat memahami apa yang telah diajar oleh pensyarah jadi aku telah mencari antara jalan penyelesaian yang mungkin aku boleh lakukan iaitu cuba untuk merujuk buku-buku  yang aku miliki dan buku-buku di perpustakaan, membuat temujanji bersama pensyarah untuk bertanyakan soalan dalam topik-topik yang aku tidak faham dan cuba untuk berbincang atau bertanya kepada senior atau rakan-rakan yang memahami topik tersebut. Alternatif terbaik yang aku pilih adalah membuat temujanji bersama pensyarah untuk bertanyakan soalan kerana seperti kita sedia maklum pensyarah lebih pakar dalam bidang tersebut. Setelah bertemu pensyarah, aku dapati itu merupakan keputusan yang terbaik kerana aku dapat lebih memahami topik tersebut.
 
Seterusnya, mengikut pendapat Herbert Simon andaian kerasionalan yang sempurna adalah bercanggah dengan fakta. Disebabkan pembuat keputusan tidak dapat mengikut prosedur yang rasional, Simon mengatakan membuat keputusan diklasifikasikan kepada tiga iaitu proses maklumat yang terbatas, penggunaan jalan pintas dan penggunaan 'satificing'. Proses membuat keputusan ini ditentukan oleh kerasionalan terikat (bounded rationality). Pada pendapat aku, kerasionalan terikat ini adalah apabila pembuat keputusan tidak dapat membuat keputusan dengan  betul-betul rasional ataupun apabila terdapat satu garisan yang tidak dapat dilangkau kerana terdapatnya beberapa halangan yang mengurangkan kerasionalan dalam membuat keputusan. Sebagai contoh keterbatasan akal, masalah yang terlalu komplek dan kabur, setakat mana maklumat yang ada, kewujudan maklumat ketika diperlukan, sejauh mana kritikalnya sesuatu keputusan dan tuntutan masa.
 
Pada kuliah minggu ketiga ini juga, Dr. Zam telah menerangakan kepada kami maksud 'satisficing' dan 'maximising'. Menurut Dr. Zam 'satisficing' adalah apabila kita membuat keputusan yang sekadar memuaskan hati (satisfice) kerana kita tidak mempunyai masa, maklumat atau kebolehan untuk menangani kerumitan jika ingin mengikuti proses yang rasional. Ia juga bermaksud memilih penyelesaian yang memenuhi keperluan minimum atau yang agak baik (good enough). 'Satisficing' menyelesaikan masalah yang memenuhi keperluan asas, bukannya bersifat optimal. Manakala 'maximizing' pula merupakan jalan atau cara yang terbaik dalam membuat keputusan. Ini kerana, secara 'maximizing' ini adalah apabila kita ingin membuat keputusan kita mencari seberapa banyak maklumat yang boleh, menyenaraikan pilihan-pilihan yang ada dan memilih yang terbaik antara semua pilihan-pilihan itu. Sebagai contoh, apabila kita ingin membeli komputer riba. Kita menyenaraikan semua ciri-ciri yang kita inginkan dan mencari semua maklumat yang diperlukan. Akhirnya, kita memilih yang terbaik antara semua pilihan-pilihan komputer riba yang ada dipasaran.
 
Selain itu, di dalam kuliah juga aku telah didedahkan dengan model-model membuat keputusan. Antara model-model tersebut ialah model klasik (classical model), model pentadbiran (administrative model) dan model politik (political model). Antara ciri-ciri model klasik ialah matlamat pembuat keputusan diketahui dan dipersetujui, pembuat keputusan berusaha mewujudkan keaadan kepastian dan mengumpulkan maklumat yang lengkap, kriteria dalam menilai alternatif diketahui dan pembuat keputusan bersifat rasional dan logik. Manakala model pentadbiran pula terbahagi kepada dua konsep iaitu kerasionalan terikat (bounded rationality) dan satisficing. Model ini digunakan apabila pembuat keputusan dalam situasi sukar seperti dalam keadaan ketidakpastian dan kabur. Seterusnya model politik  merupakan situasi yang biasa kita alami. Ia digunakan dalam membuat keputusan yang tidak diprogramkan. Dalam situasi ini untuk membuat keputusan sangat rumit. Pada mulanya aku tidak dapat membezakan model-model membuat keputusan ini tetapi diakhir kuliah Dr. Zam telah menunjukkan perbezaan ketiga-tiga model tersebut. Mengikut ringkasan yang diberikan, matlamat dan masalah mengikut model klasik (C) adalah jelas, manakala model pentadbiran (A) adalah kabur dan seterusnya model politk (P) adalah pelbagai dan bercanggah. Pilihan dibuat pula secara rasional bagi C, sekadar memenuhi syarat bagi A dan bagi P secara rundingan dan tawar menawar. Seterusnya perbezaan hasil yang diterima bagi ketiga-tiga model ini ialah C adalah maximizing, A adalah satisficing manakala P rumit untuk dicapai.
 
Kesimpulannya, aku sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai kuliah minggu ini. Model-model yang diterangkan mesti sangat berguna dan menolong aku dalam membuat keputusan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment