Thursday, October 6, 2011

A132343 Noor Adibah Binti Mohd Khair LJ03 Heuristika dan Bias Dalam Membuat Keputusan

            Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Alhamdulillah sudah tamat minggu keempat perkuliahan aku pada semester ini dan ini merupakan jurnal hasil tulisanku yang ketiga dalam kursus membuat keputusan. Pada minggu ini, Dr. Ahmad Zamri Mansor telah menerangkan dan memperkenalkan kepada kami satu konsep dalam membuat keputusan iaitu heuristika dan ketidakadilan (bias) dalam membuat keputusan. Ini merupakan kali pertama aku mendengar tentang heuristika dan ini sangat menarik perhatian aku untuk lebih mendalami konsep ini.
 
            Konsep heuristika ini diperkenalkan oleh Herbert Simon dan kajian tentang bagaimana manusia membuat keputusan banyak dilakukan oleh Tversky dan Kahneman. Heuristika menerangkan bagaimana manusia membuat keputusan dalam keadaan kekurangan maklumat. Tversky dan Kahneman (1974) mencadangkan pembuat keputusan biasanya menilai kebarangkalian sesuatu peristiwa dengan menggunakan heuristika. Heuristika. Apa itu heuristika? Heuristika merupakan teknik atau peraturan yang digunakan oleh individu bagi menjawab soalan-soalan seperti tentang apakah kebarangkalian sesuatu peristiwa itu berlaku. Ia adalah pedoman-pedoman am atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian masalah yang betul.
 
Heuristika mempunyai peranan dalam proses menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Tversky dan kahneman (1959) berpendapat bahawa manusia membuat keputusan berpandukan beberapa jenis heuristika. Antara jenis-jenis heuristika adalah heuristika jalan jawapan, heuristika analogi (perbandingan), heuristika representatif (keperwakilan) dan heuristika ketercapaian. Heuristika jalan jawapan boleh ditafsirkan sebagai satu kaedah berfikir dengan menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diingini. Selepas dapat mengetahui jalan penyelesaian yang diinginkan barulah sesuatu cara dan jalan jawapan dirangka untuk mendapatkan keputusan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, aku telah berjanji dengan rakanku untuk membuat perbincangan di perpustakaan pada pukul 10 pagi dan selepas itu baru aku berfikir bagaimana aku mahu pergi ke sana sama ada menaiki bas atau meminta kawanku untuk menghantar kerana memandangkan kedudukan perpustakaan itu agak jauh dari kolejku.
 
Heuristika analogi pula merupakan sesuatu jalan penyelesaian masalah yang diambil berdasarkan kepada keserupaan masalah daripada segi struktur. Secara lebih mendalamnya, heuristika ini menggunakan penyelesaian masalah lain untuk menyelesaikan masalah baru yang dihadapi. Manakala heuristika representatif adalah merujuk kepada kebarangkalian subjektif bagi sesuatu acara, peristiwa atau sampel. Ia adalah penilaian terhadap darjah pengukuran antara sampel dan populasi. Sebagai contoh, aku ingin membeli sebakul durian tetapi sebelum membeli durian tersebut aku perlu merasai durian tersebut untuk memastikan ia memenuhi citarasaku. Namun begitu aku hanya merasa beberapa ulas durian sahaja dan menganggap ia mewakili kepada semua buah tersebut. Akhirnya, heuristika ketercapaian. Ia merupakan satu keputusan yang harus dibuat berdasarkan peristiwa serta pengalaman yang ada dalam diri seseorang. Peristiwa yang berlaku juga amat berkait rapat dengan ingatan jangka panjang dan pengalaman seharian seseorang. Pengalaman harian menunjukkan peristiwa yang kerap berlaku lebih senang diingati dibandingkan dengan peristiwa yang jarang sekali berlaku.
 
Dr. zam juga telah menerangkan kepada kami mengenai bias dalam membuat keputusan. Bias atau ketidakadilan merupakan kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Kecenderungan ini mengganggu keupayaan seseorang untuk menjadi objektif dan tidak prejudis. Heuristika juga kadanglaka membawa kepada kesilapan dan bias yang bersistematik. Bias terbit dari heuristika representatif dan heuristika ketercapaian.
 
Antara bias-bias dalam membuat keputusan yang selalu terjadi adalah bias terlalu yakin (overconfidence bias) iaitu begitu mempercayai kebolehan diri dalam membuat keputusan, bias tersangkut (anchoring bias) iaitu menggunakan maklumat yang paling awal atau yang pertama diperoleh sebagai asas membuat keputusan, bias pengesahan (confirmation bias) iaitu menggunakan fakta yang hanya menyebelahi keputusan kita, bias ketercapaian (availability bias) iaitu hanya menggunakan maklumat yang sedia ada serta maklumat terkini dan masih segar dalam ingatan, bias representatif (representative bias) iaitu pengambilan keputusan dengan mewakilkan sebahagian data kepada bentuk umum dari data tersebut, peningkatan komitmen (escalation of commitment) iaitu pengambilan keputusan yang tidak rasional berdasarkan satu keputusan di masa lampau atau dengan kata lain untuk membenarkan keputusan yang dibuat sebelumnya, bias implisit (implicit for bias) iaitu cara untuk menjelaskan mengapa diskriminasi tetap ada walaupun pungutan suara dan kajian lain jelas menunjukkan bahawa banyak orang menentangnya (Tversky & Kahneman, 1974), bias menghindar kehilangan (loss aversion bias) iaitu merujuk kepada kecenderungan orang untuk mengelakkan kerugian lebih kuat untuk mendapat keuntungan dan akhir sekali bias pendapat peribadi (personal experience bias) iaitu membuat keputusan berdasarkan data dan informasi yang dimiliknya sendiri.
 
Sekian sahaja penulisan aku pada kali ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment