Friday, October 7, 2011

A134177 Syazana Zainuddin JL3 Heuristika & Bias

    Assalamualaikum dan selamat sejahtera aku ucapkan kepada semua pembaca blog ini terutamanya kepada Dr Ahmad Zamri kerana beliau yang merupakan pembaca setia jurnal Kemahiran Membuat Keputusan (KMK) ini. Syukur Alhamdulillah, di minggu ke empat ini aku masih bernyawa dan bersemangat untuk mengarang jurnal KMK ini. Walaupun tugasan-tugasan subjek major menimbun bagaikan gunung tetapi aku masih mampu mencuri sedikit ruang untuk mengarang jurnal ini. Tajuk pada minggu ke empat ini agak menarik juga bagi aku iaitu Heuristika Dan Bias. Apa itu Heuristika? Apa itu Bias?? Aku tahu segelintir masyarakat tidak tahu apa pengertian istilah-istilah itu dan aku percaya bahawa ada juga yang tidak pernah langsung mengetahui kewujudan istilah-istilah itu dan salah satu daripada mereka itu adalah aku. Ini pertama kali aku mendengar istilah ini. Setelah Dr Ahmad Zamri menerangkan satu per satu mengenai tajuk ini, barulah aku fahami apa itu heuristika dan bias.
    Konsep 'heuristika' diperkenalkan oleh Herbert Simon yang membuat kajian tentang bagaimana manusia membuat keputusan yang banyak dilakukan oleh Tversky dan Kahneman. Heuristika juga menerangkan bagaimana manusia membuat keputusan dalam keadaan kekurangan maklumat. Tversky dan Kahneman (1974) telah mencadangkan pembuat keputusan dan biasanya menilai kebarabgkalian sesuatu peristiwa dengan menggunakan heuristika.Heuristika ialah teknik atau peraturan yang digunakan oleh individu bagi menjawab soalan-soalan seperti apakah yang akan berlaku sekiranya kita memandu kereta dalam keadaan yang mengantuk? Selain itu, konsep ini juga boleh diertikan sebagai pedoman-pedoman am atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian masalah yang betul dan berperanan dalam membuat proses menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Terdapat beberapa jenis heuristika iaitu heuristika jalan-jawapan, heuristika analogi, heuristika representatif dan juga heuristika ketercapaian.
    Heuristika jalan-jawapan merupakan satu kaedah berfikir kearah menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diingini, kemudian barulah kita cari jalan atau cara-cara untuk menyelesaikannya dan dengan menggunakan kaedah ini kita boleh menyelesaikan dimana-mana bahagian yang kita mahu. Dalam konsep ini, contoh yang boleh digambarkan adalah, seorang pendaki Malaysia yang ingin memecahkan rekod Malaysia mendaki Gunung Everest perlulah membuat persiapan dengan melakukan ujian kecergasan sebelum melakukan pendakian supaya misi itu tercapai. Heuristika analogi pula merupakan jalan penyelesaian masalah berdasarkan kepada keserupaan masalah dari segi struktur. Dalam konsep ini juga menggunakan penyelesaian masalah lain untuk selesaikan masalah baru. Maksud dalam konsep ini ialah menggunakan pengalaman yang lepas untuk menyelesaikan masalah baru. Contohnya, seorang pelajar Tahun 3 ini menghadapi masalah untuk mendaftar  kursus. Oleh itu, dia menggunakan pengalaman yang dia pernah lalui semasa di Tahun 1 untuk menyelesaikan masalah yang dia telah lalui sekarang.
    Tambahan lagi dalam heuristika representatif pula adalah menggunakan sesuatu peristiwa dengan bentuk prototaipnya, dan jikalau terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya, kita akan percaya ianya lebih munasabah. Melalui tontonan video yang ditontonkan oleh Dr Ahmad Zamri mengenai seorang pegawai bank ingin meluluskan pinjaman yang ingin dibuat oleh seorang doktor. Tanpa memikir panjang, pegawai bank ini telah meluluskan pinjaman doktor ini kerana dia menganggap bahawa seorang yang bekerja sebagai doktor mempunyai ekonomi yang teguh. Oleh itu, dengan tanggapan yang begitu,dia terus meluluskan pinjaman tersebut. Manakala heuristika ketercapaian pula berdasarkan peristiwa-peristiwa yang melekat dalam ingatan kita dan ia juga berkait rapat dengan ingatan jangka panjang serta penyelesaian masalah atau membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang mudah diingat semula dalam ingatan mereka. Melalui pengalaman yang aku pernah lalui iaitu ketika di lebuh raya utara selatan, tayar kereta aku dengan secara tiba-tiba meletup. Syukur Alhamdulillah kereta aku tidak terbalik dan aku pun masih hidup sampai sekarang. Mujur aku tidak panik semasa kejadian tayar meletup dan masih sempat berfikir. Aku pun dengan perlahan-lahan memandu dan memberhentikan kereta di lorong kecemasan dan baru-baru ini,kejadian ini berulang kembali. Oleh itu, aku menggunakan pengalaman dahulu untuk aku menyelesaikan masalah yang berulang kembali ini.
    Selain kami belajar konsep heuristika, konsep bias juga telah diperkenalkan kepada kami yang mengambil kursus ini. Sebelum ini aku hanya memahami konsep bias melalui ayat yang selali diungkapkan kepada sesiapa sahaja yang menonton perlawanan tidak kiralah perlawanan bola sepak, ragbi dan sebagainya. Sekiranya mereka melihat pengadil menyebelahi satu pihak sahaja maka ayat ini akan terungkap "bias betul pengadil ni." Dalam konsep ini heuristika kadangkala membawa kepada kesilapan dan bias yang bersistematik. Konsep ini diterbitkan dari heuristika representatif dan juga heuristika ketercapaian.
    Cukup setakat ini sahaja jurnal aku pada minggu ini. Konsep-konsep baru yang aku pelajari dalam kursus KMK ini membuatkan aku lebih matang untuk membuat keputusan sekiranya aku menghadapi masalah kelak.

No comments:

Post a Comment